Tiba-tiba saja nama Erdogan kembali menggegar. Kali ini bukan dunia yang digegarkannya, tapi bumi Malaysia. Gegarannya terasa semakin kuat dari ke hari, dan mereka yang dikaitkan dengan Erdogan digelarkan sebagai Erdoganis, dan Erdoganis ini bukannya gelar biasa dalam Parti Islam Se Malaysia, ianya bukan bahasa PAS, ianya ialah bahasa suratkhabar – bahasa untuk memecah belahkan umat.
Erdogan tidak ada kena mengena. Kelompok Erdoganis juga tidak salah. Cuma suratkhabar berbahasa Melayu yang cuba menangguk di air keruh, cuba-cuba untuk melagakan ulama’ dan profesional. Ah, itukan taktik musuh yang semakin terhimpit lagi tersepit. Erdoganis ini diberi gelar kepada mereka yang rapat, pernah kenal, baik, bersahabat, serta pernah terlibat dengan Anwar Ibrahim.
Mencari jalan memecahkan PAS dari luar agak sukar, pertahanannya kukuh, bentengnya mantap, pengawalnya sentiasa siaga, menaranya beroperasi siang dan malam. Sukar untuk dilepasi walaupun dikirim pasukan elit. Erdoganis adalah gelar untuk menjadi penyebab kepada perpecahan dalaman PAS. Tidak ada benteng yang tidak boleh dimusnahkan sekiranya berlaku persengketaan dalaman. Justeru, PAS harus dilihat tidak lebih dan tidak kurang sama seperti ”gu”nya iaitu UMNO. Berpecah sana sini, berpuak-puak, team A dan team B, tuduh menuduh, berburuk sangka, singkir menyingkir, sindir menyindir dan saling syak wasangka.
Kenapa diberi gelar Erdoganis? Bukan Jebat atau boneka US? Tidak lain dan tidak bukan sekadar hanya untuk mengumpul pemimpin-pemimpin PAS yang berpotensi dalam satu kelompok untuk memudahkan mereka ini dicantas. Kebetulan juga mereka ini baik, pernah kenal, bersahabat, satu universiti malah pernah berdemonstrasi bersama Anwar Ibrahim itu sahaja. Ini kerja siapa? Ini bukan kerja orang PAS, ini kerja musuh PAS dan agensi-agensi kawalan mereka.
Siapa yang kenal Erdogan pasti akan menghormatinya. Masih ingat lagi World Summit dimana Erdogan telah menyelar Simon Peres secara berdepan dalam satu forum dimana Erdogan telah bangkit dan keluar dari dewan sebagai tanda protes terhadap tindakan Israel keatas rakyat Palestin. Tidakramai pemimpin Islam yang mempunyai keberanian seperti beliau. Akibatnya, Erdogan dikutuk oleh Israel, US, sekutu-sekutunya termasuk oleh akhbar-akhbar pro sekular di Turki sendiri. Namun, dari episod ini, ianya telah mengangkat Erdogan sebagai hero baru masyarakat Arab dan Dunia Islam. Erdogan dibenci oleh dunia kafir tetapi amat dicintai oleh kaum muslimin. Justeru meletakkan label Erdogan pada individu-individu tertentu didalam PAS seharusnya dilihat sebagai pengiktirafan kepada kerja-kerja yang telah mereka lakukan untuk agama, bangsa, negara dan jemaah.
Erdogan adalah hero kepada dunia Islam moden. Sekiranya kelompok Erdoganis ini dapat digandingkan dengan kelompok Ulama’ – masya Allah, terlalu besar bahayanya kepada puak-puak musuh yang semakin tertekan dan terumbang ambing. Bayangkan kesan kerjasama Erdoganis dan Ulama’. Ianya pasti membuahkan natijah yang cukup bermakna buat rakyat Malaysia dan ummah seluruhnya. Tentang kepimpinan tertinggi PAS samada ianya seorang Ulama’ atau profesional, serahkanlah kepada kebijaksanaan Majlis Syura memikirkannya, PAS harus berbangga dan memegang kukuh tradisi ini.
Musuh PAS tidak pernah menghormati keputusan-keputusan yang dihasilkan oleh jawatankuasa yang dibentuk oleh mereka sendiri dan akibatnya ialah mereka hanyut tanpa haluan. Erdoganis adalah percubaan musuh PAS untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa PAS adalah sebuah parti yang tidak matang, berpuak-puak, parti radikal, menolak pembaharuan dan sebagainya. Itu saja hajat dan hasrat mereka. Isu Erdoganis ini jelas menunjukkan bahawa PAS cukup dicemburui oleh parti lawan dan setiap gerak geri sedang diperhatikan. Kalau dari dalam PAS sendiri sudah dicantas senanglah sikit kerja parti lawan nanti.
SHAHRUL PESHAWAR
Alor Setar
No comments:
Post a Comment