Sunday, July 5, 2009


KELUARGA TAN SRI HAMZAH ABU SAMAH BERHUTANG NYAWA DENGAN PAK SAKO...!!!
Kelmarin pagi, seusai rutin biasa didalam kamar mahkamah di Temerloh, seperti lazimnya saya turun ke kantin mahkamah dengan teman-teman untuk minum dan tentunya bergebang. Sedang enak menikmati nasi goreng-ikan sembilang berlada,saya diajak oleh Rama untuk bergabung di mejanya.

Bersama-sama dengan Rama ialah bekas Hakim Mahkamah Tinggi Malaya,Abdul Razak bin Abu Samah (beliau lebih dikenali dengan panggilan Hakim Razak).Hakim Razak ialah adik kepada Tan Sri Hamzah Abu Samah,bekas menteri UMNO suatu ketika dahulu.Hakim Razak ini seorang yang berprinsip;beliau menolak sebarang anugerah 'Datukship' (rasanya beliau satu-satunya Hakim Mahkamah Tinggi yang tiada gelaran Datuk),malah menolak untuk dinaikkan pangkat semata-mata kerana berpegang kepada prinsip.

Malah beliau antara tokoh yang membela Tun Salleh Abas ketika krisis kehakiman di tahun 1980-an yang lalu.Kami bersembang panjang, dari pengalaman beliau sebagai hakim sehinggalah kenapa beliau sanggup membuat kenyataan terbuka menawarkan diri untuk menjadi penjamin (bailor) kepada Dato Seri Anwar Ibrahim didalam kes konspirasi dan fitnah sedekad yang lalu.Saya menyarankan kepada Hakim Razak untuk menulis memoir atau biografinya.

Tentu banyak pengalaman dan teladan yang boleh dikutip dan dijadikan pengajaran oleh generasi,ujar saya.Beliau hanya tersenyum sambil menjawab ramai yang menyaran untuk beliau menulis biografi tetapi masih belum terbuka pintu hati.Saya memberikan pandangan bahawa budaya menulis biografi ini wajar digalakkan sambil memberitahu bahawa tahun ini merupakan 100 Tahun Pak Sako sekiranya beliau masih hidup.

Saya melihat Hakim Razak agak tersentak apabila nama Ishak Hj Muhammad atau Pak Sako disebut.Sambil memandang kepada saya beliau menyebut bahawa keluarganya terhutang budi kepada Pak Sako.Hakim Razak terdiam seketika seoalah-olah mengimbau kenangan lama yang tentunya tersimpan berpuluh tahun.Saya tidak memberikan sebarang tanggapan.Sekadar menanti ulas-ulas kata berikutnya keluar dari dua bibirnya.Kedua-dua bola mata beliau kelihatan meredup mungkin mengingatkan peristiwa lalu yang sudah sekian lama berlalu dimamah zaman."Selepas Jepun kalah,orang Bintang Tiga datang mencari arwah abang saya.Mereka nak tangkap untuk dibicarakan oleh Mahkamah Rakyat kerana peranannya sewaktu zaman Jepun. Masa tu sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa Bintang Tiga kerana cukup dengan fitnah dan tuduhan palsu pasti ada yang akan dibunuh Bintang Tiga",begitulah kata-kata yang keluar dari dalam diri Hakim Razak.

Seterusnya beliau menceritakan bagaimana dengan bantuan dan campurtangan Allahyarham Pak Sako,abang beliau dapat diselamatkan dari menjadi mangsa kekejaman Bintang Tiga (waktu itu dikenali sebagai zaman Pemerintahan 16 Hari Bintang Tiga sebelum Inggeris kembali semula menubuhkan pemerintahan BMA-British Military Authority).Pak Sako merupakan tokoh yang disegani oleh Bintang Tiga dan dengan wewenang Pak Sako telah dapat menyelamatkan abang sulung Hakim Razak dan Tan Sri Hamzah Abu Samah dari menjadi mangsa."Arwah abang saya seorang nasionalis.

Beliau memang mengenali Ishak dan saya rasa mereka memang rapat",tutur Hakim Razak lagi.Memang dari maklumat yang saya perolehi Pak Sako memainkan peranan yang cukup besar dan berjasa dikala itu.Beliau antara tokoh yang dapat mententeramkam keadaan yang serba gawat tatkala Jepun menyerah diri dan sebelum British kembali.Pak Sako yang meninggalkan Pulau Bentan,tempat beliau berkebun,kembali ke Temerloh.Dengan wewenang dan ketokohan Pak Sako,bukan sedikit nyawa orang Temerloh yang dapat diselamatkannya.

Mungkin pimpinan Bintang Tiga merasa segan atau hormat kepada Pak Sako sebagai tokoh pemimpin bangsa ketika itu.Malah Pak Sako mencadangkan majlis khas diadakan antara masyarakat dan Bintang Tiga;tujuan utamanya untuk mengujudkan suasana yang harmonis dan mengelakkan pertumpahan darah.Diceritakan bahawa suatu majlis jamuan makan dengan beberapa ekor kerbau disembelih telah diadakan di Kuala Semantan.Orang ramai serta Bintang Tiga menghadiri majlis tersebut dan dengan itu keamanan telah dapat di pulihkan di Temerloh;malah beberapa orang yang ditangkap Bintang Tiga termasuk pemimpin setempat seperti Penghulu berjaya dibebaskan.

Selanjutnya Hakim Razak meneruskan cerita beliau,abangnya dengan pertolongan Pak Sako telah pergi berjuang ke Indonesia menyertai Perang Revolusi Indonesia melawan penjajah Belanda."Abang saya menyertai tentera Indonesia dan menyandang pangkat Kapten.Di Indonesia arwah abang saya dikenali sebagai Kapten Arba* dan terkorban ketika bertempur dengan Belanda",tutur Hakim Razak selanjutnya.

Jenazah Kapten Arba,anak kelahiran Bumi Pahang dan anak Semantan yang berjiwa besar dan patriotiks turut sama menghulurkan darma-bakti demi membebaskan bangsa dari penjajahan akhirnya di berikan penghormatan disemadikan di Makam Pahlawan Kalibata,Jakarta Indonesia. Hakim Razak memberitahu beliau pernah diundang oleh Pemerintah Indonesia menghadiri Majlis Memperingati Pahlawan Revolusi di sana.*Saya terlupa nama sebenar abang sulung Hakim Razak dan Tan Sri Hamzah Abu Samah walaupun ada disebut oleh beliau.Mungkin kerana terlalu kusyuk mendengar cerita tersebut sehingga saya terlupa untuk sekurang-kurangnya mencatatkan nama tersebut di dalam PDA saya.



No comments: