KOTA BHARU 27 Mei - Angkatan Muda KEADILAN perlu menjadikan kongres ini sebagai pentas untuk memantapkan diri dalam menghadapi perjuangan parti menghadapi Pilihanraya Umum Ke 13 nanti.
Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin dalam ucapannya sempena Majlis Perasmian Bersama Kongres AMK dan Wanita KEADILAN di Kelantan Trade Centre (KTC) malam tadi.
Beliau mahukan AMK mengambil peluang pada kongres kali ini bagi memperkemaskan ke seluruh jentera AMK agar terus berada dalam keadaan bersedia.
"Saya mahu kesemua anggota AMK mengambil peluang kongres pada kali ini untuk dalam memantapkan diri untuk terus berjuang dalam parti. Inilah masa yang terbaik perlu digunakan oleh setiap anggota selepas kemenangan kita pada PRU 2008.
"Kesediaan yang kukuh akan terus memberi jaminan kepada Parti KEADILAN Rakyat untuk terus mencapai kemenangan dan terus menawan Putrajaya pada PRU ke-13 nanti.
"Gunakan kongres untuk memahami dan membahas segala isu kerana pemahaman yang sebenar dapat mengukuhkan parti dan seluruh AMK," kata beliau kepada lebih 500 perwakilan.
Beliau juga berkata dua elemen penting perlu diterapkan kerana itu dapat mengukuhkan kekuatan parti mahupun AMK.
"Dua elemen penting setiap anggota AMK perlu faham, Keberanian dan juga keadilan. Elemen ini adalah asas kepada perjuangan kita dalam parti, pemahaman yang kukuh akan terus menguatkan parti dan juga AMK.
"Saya ingin ingatkan kepada setiap pengkhianat parti, kamu semua adalah pelacur dalam parti. Mula sekarang saya berikrar akan terus membenteras kamu semua agar dikeluarkan terus dalam KEADILAN.
"Kami semua tidak pernah tergugat dengan sikap yang diambil oleh pengkhianat parti kerana keluarnya mereka yang menjadi duri dalam daging ini dapat memperkasakan parti untuk menghadapi perjuangan pada masa yang akan datang," tegas Shamsul lagi.
Beliau mahukan AMK terus berjuang dalam memberi kekuatan kepada KEADILAN dalam mengorak senario politik sekarang.
No comments:
Post a Comment