Saturday, November 7, 2009

LAWYER YG JIWA ANWAR IBRAHIM...!!!


November 5, 2009

Peguam Terkenal Rosli Dahlan fail dua lagi tuntutan saman

By Darwis Said, Berita Harian Singapore

SELEPAS membuat tuntutan saman ke atas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kerajaan Malaysia dan akhbar Utusan Malaysia kerana memfitnah, menyerang dan menahannya secara salah, seorang peguam tersohor di Malaysia, Encik Rosli Dahlan, kini difahamkan mengajukan dua lagi tuntutan saman terhadap dua akhbar arus perdana di negara itu. Dalam pernyataan tuntutan keduanya yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur 21 Oktober lalu yang salinannya diperolehi akhbar Berita Harian, Encik Rosli, sebagai plaintif, mengemukakan tuntutan saman ke atas tiga defendan: The Star Publications (Malaysia) Bhd, syarikat pemilik dan penerbit akhbar The Star; ketua editor akhbar itu, Datuk Seri Wong Chun Wai; dan ketua wartawannya, Encik Lourdes Charles (kini bergelar Datuk).

Peguam itu juga difahamkan membuat tuntutan saman ketiga terhadap sebuah lagi akhbar bahasa Inggeris, SPRM (dulunya Badan Pencegah Rasuah, atau BPR), dan beberapa individu berhubung penyebaran laporan berunsur fitnah terhadapnya. Dalam saman pertamanya September lalu terhadap 17 defendan, termasuk pegawai SPRM, Jabatan Peguam Negara, Bank Negara dan akhbar Utusan Malaysia, Encik Rosli, 48 tahun, menuntut ganti rugi sejumlah RM50 juta ($20.4 juta). Dalam pernyataan tuntutan keduanya, beliau tidak menyatakan jumlah ganti rugi tetapi menuntut bayaran ganti rugi am, ganti rugi teruk/atau teladan, faedah, kos, permintaan maaf tanpa syarat dan perintah lanjut yang dianggap wajar oleh pihak mahkamah.

Difahamkan Encik Rosli berbuat demikian atas dasar prinsip dan menegakkan keluhuran undang-undang. Encik Rosli adalah rakan kongsi kanan firma guaman terkemuka di Kuala Lumpur, Lee Hishammuddin Allen & Gledhill, yang diasaskan oleh Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein Onn, yang juga Menteri Dalam Negeri Malaysia. Encik Rosli mewakili bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pesuruhjaya Polis Datuk Pahlawan Ramli Yusuff, pada 2007 dan juga menasihati Datuk Johari Baharom, yang menjadi Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Malaysia ketika itu. Ia melibatkan kes kontroversi mengenai kegiatan sindiket pinjaman wang haram atau ‘along’, yang disiasat pegawai kanan polis itu atas arahan Datuk Johari.

Encik Rosli juga terlibat dalam kes tuntutan sivil syarikat penerbangan milik negara, Malaysia Airlines (MAS), terhadap bekas Pengerusinya, Tan Sri Tajuddin Ramli, yang melibatkan kerugian melebihi RM8 bilion, yang turut disiasat oleh JSJK di bawah arahan Datuk Ramli ketika itu. Pada 2007, akhbar arus perdana Malaysia telah memetik sumber BPR sebagai berkata bahawa Datuk Ramli disiasat di bawah satu akta pencegahan rasuah negara itu kerana disyaki memiliki aset bernilai RM27 juta. Sebaliknya, pertuduhan ke atasnya ditukar menjadi penyalahgunaan kuasa, manakala aset yang dikatakan gagal diisytiharkannya itu melibatkan isu dua unit pejabat bernilai RM1 juta dan beberapa saham yang tidak mencapai jumlah RM27 juta seperti yang dilaporkan terdahulu.

Malah, Datuk Ramli telah pun dibebaskan daripada pertuduhan menyalahgunakan kuasa, iaitu menggunakan pesawat polis bagi kepentingan peribadi oleh Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu kerana pihak pendakwaan ‘gagal membuktikan kes prima facie dan Tertuduh berhak dilepaskan’ kerana mendapati Datuk Ramli sebenarnya menjalankan tugas rasminya ketika itu. Dalam siri tindakan guamannya, Encik Rosli juga mendakwa bahawa beliau dianiaya kerana kes kontroversi yang dikendalikannya dan juga kerana membela Datuk Ramli. Berita Harian difahamkan bahawa Datuk Ramli juga telah membuat aduan yang sama dalam laporan polis yang dibuatnya terhadap pihak terbabit. Semasa proses pembelaan itu, BPR sebaliknya turut mendakwa, menahan dan mengaitkan Encik Rosli dengan dakwaan yang dibuat mereka terhadap Datuk Ramli.

Dalam tuntutan terbarunya terhadap The Star, Encik Rosli merujuk kepada dua artikel akhbar itu pada 12 dan 13hb Oktober 2007 yang bertajuk: ‘ACA Arrest Singapore Lawyer’ dan ‘Lawyer Charged With Hiding Information On His Assets’. Beliau menyifatkan dua laporan itu mengandungi fitnah apabila memberikan gambaran bahawa beliau adalah rakyat asing dan mendakwa akhbar itu gagal mengesahkan fakta laporannya termasuk hakikat bahawa beliau sebenarnya adalah rakyat Malaysia. Menurutnya, laporan itu menyebabkan kegelisahan dan keaiban kepada beliau dan keluarganya serta kehilangan klien guamannya. Encik Rosli kini difahamkan sedang menyiapkan tuntutan terbarunya terhadap SPRM dan sebuah lagi akhbar bahasa Inggeris arus perdana kerana mengulangi dakwaan fitnah terhadapnya.

No comments: