Wednesday, August 5, 2009

Elak Petronas diresapi politik...!!!!



Tan Sri Muhammad Ali : WAQAFKAN GLC SEPERTI PETRONAS...!!!

June 24, 2009

FORUM: “WAQAFKAN GLC SEPERTI PETRONAS!” (Berikut adalah versi asal respon Blog Business Jihad kepada artikel yang diterbitkan dalam ruangan Forum, Utusan Malaysia, 24hb Jun, 2009, di bawah tajuk: “Elak Petronas diresapi politik”. Respon ini telah disiarkan dalam ruangan Forum, Utusan Malaysia pada 26 Jun, 2009 di bawah tajuk: “Wakafkan syarikat milik kerajaan”, dengan terdapat sedikit pindaan oleh Pengarang UM)

Tulisan Kamarulzaman Ismail di bawah tajuk “Elak Petronas diresapi politik” yang tersiar di Akhbar Utusan Malaysia, 24 Jun, 2009, sangat menarik perhatian saya. Dan saya menyokong penuh saranan Kamarulzaman supaya Petronas dielakkan daripada “diresapi politik”.

Seperti kata beliau, “Hakikatnya, sudah terlalu banyak syarikat-syarikat berkaitan kerajaan yang tenat atau hampir gulung tikar kerana campur tangan politik yang melampau.”

Sebenarnya, kita dapat juga saksikan bahawa banyak syarikat-syarikat milik GLC yang dahulunya telah diswastakan atas campur tangan politik, akhirnya terlepas langsung hakmiliknya. Terdapat juga beberapa daripada kepentingan bisnes bernilai yang telah menjadi milik asing, sehingga merosot kedudukan pegangan kepentingan negara.

Dengan demikian kita perlu mencari satu formula yang lebih mantap untuk mengelakkan GLC-GLC berwibawa seperti Petronas, Felda, PNB, Tabung Haji dan seumpamanya daripada juga terlepas pegangan satu hari nanti.

Saya berpandangan bukan sahaja kita tidak harus mengizinkan campur tangan politik melampau, kita sebenarnya harus bertindak lebih berani dari itu, jika hendak menjamin warisan GLC seperti Petronas dapat dikekalkan berpanjangan untuk manfaat bangsa dan negara.
Sekiranya hendak kekalkan dan selamatkan GLC-GLC yang berwibawa dan besar manfaatnya ini, cara yang lebih sesuai ialah kita waqafkan sahaja mereka, menjadikan mereka badan-badan Waqaf Korporat Kebangsaan.

Syukur Alhamdulillah, seperti kata Kamarulzaman, Petronas sejauh ini telah dapat dielakkan dari campur tangan politik melampau. Demikian juga dengan banyak GLC lain di peringkat pusat dan negeri-negeri, termasuk seperti Johor Corporation, yang mendapat manfaat daripada kebijaksanaan dan pandangan jauh pemimpin-pemimpin politik kita sejauh ini.


Bagaimanapun, kebimbangan saya, dan demikian juga kebimbangan Kamarulzaman dan saya yakin ramai rakyat serta warganegara Malaysia lainnya, ialah sejauh mana kebijaksanaan dan pandangan jauh seperti ini dapat dikekalkan. Lebih-lebih lagi dalam keadaan suasana politik negara yang semakin tidak menentu hari ini.

Waqaf Korporat

Konsep Waqaf Korporat mungkin sesuatu yang baru bagi ramai. Namun, di dalam Kongres Ekonomi Islam Ke-3 yang berlangsung pada 12 Januari, 2009, Kongres telah sebulat suara menerima gagasan Jihad Bisnes yang telah menjadikan Waqaf Korporat sebagai strategi terpenting untuk menjayakannya.
Di samping itu, Johor Corporation juga telah memulakan langkah untuk menuju ke arah itu dengan mewaqafkan sebahagian saham miliknya dalam beberapa buah syarikat tersenarai dengan nilai aset bersih berjumlah RM 200 juta pada 3hb Ogos, 2006. Tujuannya, apabila jelas terbukti manfaatnya, satu hari nanti seluruh kepentingan korporat Johor Corporation, Insya Allah, akan diwaqafkan sepenuhnya.

Jelasnya, Petronas dan GLC lain boleh diwaqafkan untuk menjamin kesinambungannya bagi manfaat generasi akan datang. Walaupun konsep waqaf korporat ini perlu dimantapkan lagi, dan kemungkinan juga perlu diberi dokongan perundangan untuk memangkinkannya, saya penuh yakin dan percaya bahawa ianya adalah merupakan satu formula yang dapat melindungi bukan sahaja kepentingan anak bangsa di zaman ini, bahkan juga kepentingan seluruh generasi warganegara Malaysia di zaman-zaman mendatang.

Muhammad Ali

No comments: