Friday, January 8, 2010

Najib buka jalan demonstrasi bantah hina Allah....!!

oleh Abdul Aziz Mustaffa
KUALA LUMPUR, 7 Jan: Tindakan kerajaan membenarkan demonstrasi perkauman membantah penggunaan kalimah Allah bagi agama lain membuka jalan kepada demonstrasi membantah tindakan menghina Allah, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

"Jika Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein) menyatakan perhimpunan perkauman yang mereka restui tidak boleh dihalang, kita ingin tegaskan bahawa adalah haram jika mereka menghalang demonstrasi umat Islam membantah tindakan menghina undang-undang Allah," kata beliau mengulas kenyataan Najib bahawa perhimpunan membantah penggunaan kalimah Allah oleh penerbitan agama lain tidak boleh dihalang.

Bagi membuktikan bahawa perhimpunan yang akan diadakan itu bersifat perkauman, Salahuddin merujuk kepada kenyataan bekas Naib Presiden Umno, Tengku Razaleigh Hamzah yang menyifatkan kontroversi mengenai penggunaan kalimah Allah oleh majalah Herald The Catholic Weekly kelihatan "lebih kepada sentimen perkauman berbanding agama".

Mengenai tindakan menghina Allah yang dinyatakannya, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu membangkitkan kenyataan Najib sebelum ini yang terang-terang menghina Allah.

"Pada 20 April 1983, Najib dilaporkan mendakwa bahawa negara akan huru-hara sekiranya undang-undang Islam dilaksanakan," katanya.

Pada 20 April 1992 pula, kata Salahuddin lagi, Najib dilaporkan membuat kenyataan menghina Allah seperti berikut:

"Kerajaan Kelantan harus dipertanggungjawabkan jika berlaku huru-hara, ketidakstabilan politik, perpecahan di kalangan umat Islam dan kegelisahan rakyat apabila hukum hudud dilaksanakan di negeri itu.

"Rakyat harus menyoal perlaksanaan hukum itu menguntungkan atau menyebabkan perpecahan, pertentangan dan ketidakstabilan politik.

"Tidak semua negara Islam mengamalkan hukum hudud bahkan ada negara Islam lebih makmur tanpa hukum itu".

Salahuddin meminta Najib bersumpah dengan kalimah sumpah yang diajarkan oleh Islam bahawa beliau tidak pernah membuat kenyataan sedemikian.

"Jika beliau enggan berbuat demikian, akan ada pihak yang akan menggerakkan perhimpunan, solat hajat dan munajat kepada Allah bagi mengadukan penghinaan terhadap-Nya itu.

"Najib kini adalah Perdana Menteri. Adalah satu penderhakaan kepada Allah jika negara ini dibiarkan mempunyai Perdana Menteri yang menghina Allah kerana undang-undang Islam adalah ciptaan dan ketetapan Allah," tegas beliau.

Menurut beliau, demonstrasi membantah perbuatan menghina Allah itu akan membuktikan belang sebenar Najib dan Hishammuddin.

"Kita yakin ramai yang sudah lama mahu mengadakan demonstrasi membantah kenyataan Najib yang menghina Allah itu dan benci kepada perhimpunan kerana sentimen perkauman seperti yang disebutkan oleh Tengku Razaleigh," katanya.

"Mereka akan gerakkan perhimpunan itu walaupun kita tahu sikap double standard adalah pegangan hidup kerajaan yang dikuasai Umno,"tegas beliau.

Salahuddin mengajak rakyat sama-sama melihat bagaimana dolak-dalik kerajaan Najib apabila perhimpunan membantah perbuatan menghina Allah itu diadakan.

"Sama-sama kita lihat gelagat mereka nanti setelah mereka menyatakan perhimpunan perkauman yang mereka restui itu tidak boleh dihalang," katanya.

No comments: