Friday, September 11, 2009

KENYATAAN MEDIA UNTUK EDARAN SEGERA


KENYATAAN MEDIA......!!!

Tarikh: 11 September 2009

Hari ini saya membuat laporan polis terhadap ugutan rogol yang dilemparkan kepada saya ketika dalam Majlis Dialog di antara penduduk Seksyen 23, Shah Alam dengan Kerajaan Negeri Selangor pada 5hb September lalu di MBSA, Shah Alam.

Adalah bukan hasrat saya untuk memanjangkan isu ini kerana fokusnya adalah isu sebenar yakni pemindahan kuil Seksyen 19, namun keputusan ini dibuat setelah hampir seminggu berlalu kerana kegusaran tentang keselamatan diri saya, keluarga serta pegawai saya makin hari makin bertambah memandangkan pihak polis belum lagi mengambil sebarang tindakan dalam perkara ini.

Saya telah hadir sebagai salah seorang panel dan wakil rakyat Dun Batu Tiga bagi menyelesaikan isu pemindahan kuil, namun telah menerima kata-kata kesat dan ugutan rogol daripada mereka yang cuba menimbulkan kekecohan dalam majlis tersebut.

Antara kata-kata kesat terhadap saya yang dikenalpasti ialah;

“Jalang!”
“Rodziah mengalahkan pelacur!”
“Pelacur lebih baik dari kau!”
“Babi!”
“Sundal!”
“Kau jangan bersuara, Rodziah!”
Lemparan kata,”Aku akan rogol kau, Rozdiah!”

Intimidasi ini jelas adalah untuk memburukkan nama dan menghina saya. Saya berasa amat kecewa dengan sikap yang ditunjukkan oleh segelintir mereka ini sehingga merasakan keselamatan dan kehormatan diri saya terancam.

Kerisauan saya ialah: jika saya seorang Adun dan EXCO Kerajaan Negeri boleh dilemparkan kata-kata kesat and ugutan sebegini, apakah wanita-wanita lain akan terasa selamat menghadapi atau berurusan dengan mereka yang seperti itu?

Kekecohan yang ditimbulkan sepanjang sesi penerangan daripada Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, Dato’ Bandar dan saya sendiri selaku ADUN Batu Tiga juga memperlihatkan sikap tidak hormat kepada majlis tersebut serta pemimpin kerajaan negeri.

Kelakuan liar kumpulan kecil ini telah merosakkan majlis yang bertujuan untuk membuka ruang kepada penduduk berdialog secara berhemah. Tindakan mereka ini jelas bukan untuk berdialog tetapi mencemarkan kerajaan negeri dan nama individu atas agenda politik tertentu.Selain klip video, ungkapan-ungkapan tidak bermoral itu telah didengar dan disaksikan oleh ramai penduduk, wartawan, dan para petugas keselamatan MBSA yang telah hadir melihat sendiri gelagat segelintir mereka yang memporak-perandakan majlis secara sengaja.

Kedurjanaan yang menganjur keburukan, membudayakan unsur keganasan, seksisme, dan menakut-nakutkan orang lain serta merosakkan keharmonian sesama insan yang telah ditunjukkan oleh golongan tersebut wajar diperangi dan dibanteras sehingga rakyat, khususnya wanita dikembalikan nikmat rasa selamat dan aman di mana-mana saja mereka berada.

RODZIAH ISMAIL
ADUN BATU TIGA

MerangkapPengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita Kebajikan, Sains, Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan
Timbalan Ketua Wanita KEADILAN
---

Untuk sebarang pertanyaan mengenai kenyataan di atas, sila hubungi Rozaini Mohd Rosli, tel: 019-2676879, email: rozainiebbm@yahoo.com

No comments: