Wednesday, April 1, 2009

LAWAN TETAP LAWAN.....!!!



KENYATAAN AKHBAR

31 Mac 2009

SELANGOR SEDIA LAWAN KENAIKAN TARIF

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor kesal terhadap keputusan Kerajaan Persekutuan yang
membenarkan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) untuk terus beroperasi sebagai
konsesi dan yang secara langsung menyetujui permintaan Syabas hendak menaikkan tarif air.
Keputusan tersebut bukan sahaja mendatangkan kesan terhadap pentadbiran negeri Selangor,
Kuala Lumpur dan Putrajaya, sebaliknya terhadap pembayar cukai seluruhnya.

Malahan, Kerajaan Selangor berpendapat Syabas tidak layak diberikan lesen kerana ia gagal
memperlihatkan prestasi yang memberangsangkan sebagaimana dikehendaki oleh Akta
Perkhidmatan Industri Air 2006.

Sehingga kini, perkhidmatan Syabas yang tertakluk pada Perjanjian Konsesi (Concession
Agreement - CA) dilihat sangat tidak memuaskan dan gagal mencapai tanda aras atau parameter yang ditetapkan CA.

Tambahan pula Syabas didapati melanggar syarat-syarat dalam CA. Perkara ini sudahpun dibawa ke pengetahuan Menteri Tenaga, Air dan Telekomunikasi, di samping permohonan kita untuk membatalkan Perjanjian Konsesi (CA) dengan Syabas.

Walau bagaimanapun, Menteri berkenaan MASIH eggan mengambil tindakan terhadap Syabas,
sebaliknya telah menyatakan hasrat untuk memberikan lesen kepada Syabas untuk meneruskan operasinya dengan alasan hak tersebut di luar kuasa Kerajaan Selangor.
Keputusan ini bukan sahaja bertentangan dengan hasrat Kerajaan Persekutuan untuk menyusun semula perkhidmatan air di Malaysia tetapi juga menjejaskan kepentingan pengguna seluruhnya.
______________________________________________________________________________________________________________
SEKRETARIAT AKHBAR, PEJABAT MENTERI BESAR SELANGOR, TINGKAT 20, BANGUNAN SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH,

40502 SHAH ALAM, SELANGOR, MALAYSIA.
TEL: 603-554470032 FAX: 603-55109686

Sebenarnya keputusan untuk menaikkan tarif air tidak dapat dipertahankan. Kerajaan Negeri
Selangor percaya beberapa prasyarat bagi kenaikan tarif yang ditetapkan dalam Perjanjian Konsesi belum mampu dipenuhi oleh Syabas. Paling mendukacitakan, beberapa kepincangan ditemui semasa audit dilakukan, dan hal ini menguatkan lagi alasan betapa tidak layaknya Syabas memikul tanggungjawab meneruskan operasi air.

Justeru itu, berdasarkan pendirian keras yang diperlihatkan oleh Kerajaan Persekutuan dan kesan buruk yang bakal menyusul daripada tindakan tersebut, terutamanya terhadap kepentingan awam, maka Kerajaan Negeri Selangor tiada pilihan lain, sebaliknya mengambil tindakan undang-undang untuk mencari jalan penyelesaian.

Kerajaan Pakatan Rakyat berharap rakyat akan terus memberi sokongan padu kepada Kerajaan
Negeri dalam penstrukturan semula perkhidmatan air diSelangor. Untuk memahami isu-isu terbabit dalam pengurusan air di Selangor, orang ramai bolehlah melayari laman web rasmi berhubung isu ini di www.airuntukrakyat.com.

SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT MENTERI BESAR SELANGOR

No comments: