Wednesday, March 11, 2009

PENGURUS PROFESIONAL YANG PERTAMA DI MALAYSIA MENJUNJUNG KASIH KPD DYMM SULTAN SELANGOR...!!!

Salam,

Merujuk kepada titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Abdul Aziz Shah, Sultan Selangor ketika merasmikan persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor di Shah Alam pada 10hb. Mac, 2009, saya selaku Pengurus Pasukan Selangor berasa terharu, bangga dan menjunjung kasih diatas keperihatinan DYMM Sultan akan perkembangan prestasi pasukan bolasepak Merah Kuning bagi musim 2009 ini.

Kami berasa sungguh bertuah kerana mempunyai seorang Sultan yang juga peminat No 1 Pasukan Bolasepak Selangor mengambil berat diatas kemajuan dan kebajikan pasukan serta pemain. Cabaran daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan kepada pasukan untuk menaikkan semula maruah pasukan Selangor sebagai sebuah pasukan yang digeruni dalam arena bolasepak di negara ini, serta membawa pulang Piala Malaysia ke pangkuan Selangor kami sambut dengan hati yang terbuka dan ianya menyemarakkan lagi semangat kami terutama pemain-pemain untuk berusaha bersungguh-sungguh memenuhi cabaran dan hajat Tuanku.

Dengan penuh rendah hati, kami berjanji akan meningkatkan lagi usaha kami untuk menghadiahkan Piala Malaysia sebagai hadiah istimewa barisan skuad Merah Kuning untuk Tuanku Sultan pada tahun ini. Sebagai sebuah pasukan yang professional dan mempunyai sejarah yang gemilang di dalam kancah bolasepak negara, kami amat sedar akan tanggungjawab kami untuk rakyat negeri Selangor amnya, dan DYMM Sultan Selangor khasnya.


Selaku Pengurus Pasukan professional dan sepenuh masa yang pertama di Malaysia, saya sememangnya menghambakan diri saya kepada pasukan sepenuhnya dengan memastikan pasukan mempunyai barisan jurulatih yang terbaik, pemain yang terbaik dan berdisiplin, mendapat latihan yang sempurna, kemudahan latihan yang mencukupi serta kebajikan pemain dan pegawai saya serta keluarga mereka dijaga sebaik yang mungkin.

Setakat ini, prestasi mereka amat membanggakan saya dan penyokong Selangor kerana pemain telah bermain dengan sepenuh hati untuk memastikan pasukan Selangor terus mara dan maju untuk musim 2009 ini. Sehingga kini, pasukan Selangor sedang menduduki takhta Liga Super dan layak ke peringkat Separuh Akhir Piala F.A. Tahun ini, pelabagai pembaharuan dari segi fizikal dan mental pemain telah dan sedang diusahakan.

Dari segi fizikal, pemain telah diberikan latihan yang cukup sistematik dan terkini dibawah kendalian barisan jurulatih yang bertauliah, professional serta berdedikasi. Bagi sudut kerohanian pula, pelbagai program kerohanian telah, sedang dan akan terus dilaksanakan bagi meningkatkan kerohanian pemain dengan mengadakan pelbagai program seperti solat berjemaah, majlis tahlil dan tazkirah motivasi. Insyallah, pelbagai lagi program sedang diusahakan bagi memastikan pemain mempunyai gabungan daya fizikal dan mental yang mantap serta mempunyai keperibadian yang mulia untuk membina pasukan yang kuat serta menjulang semula pasukan bolasepak Selangor khasnya dan maruah bolasepak negara amnya.


Saya juga berusaha untuk mencungkil lebih ramai lagi bakat-bakat muda sebagai pelapis untuk mewarisi jersi Merah Kuning di masa hadapan. Saya turut mengharapkan agar semua penyokong Merah Kuning dan rakyat Negeri Selangor bersama-sama dengan pasukan, menyahut cabaran DYMM Sultan untuk sentiasa menyokong pasukan tanpa berbelah bagi walau apa sekalipun keadaan kerana pemain amat memerlukan sokongan dan dorongan anda semua bagi bersama-sama menyempurnakan hajat DYMM Sultan.

Beramai-ramailah memenuhkan Stadium dimana sahaja pasukan Selangor bermain. Tidak dilupakan juga, bantuan, sokongan serta dorongan daripada pimpinan kerajaan negeri terutama Y.A.B Dato' Menteri Besar Selangor juga amat dihargai dan diharap dapat dipertingkatkan lagi agar dapat menyuntik semangat yang lebih tinggi kepada semua pemain dan pegawai pasukan.


Sekian, wasalam.


MAJU SELANGOR!


Zakaria Ab. Rahim

Pengurus Pasukan Selangor

No comments: