Friday, June 11, 2010

Kg.Baru: Melayu Makan Tulang?…

Isu kuota 40 peratus kepada bukan Melayu untuk pembangunan Kg. Baru di Kuala Lumpur terus dihambat kontroversi. Rata-rata di kalangan orang Melayu merasakan cadangan kerajaan untuk menisbahkan 60/40 antara Melayu dan bukan Melayu bukanlah satu formula yang bijak sebaliknya telah mengguris malah melukakan hati orang Melayu.

Keresahan masyarakat Melayu yang mewarisi tanah pusaka anugerah Sultan Selangor Almarhum Sultan Sulaiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa pada tahun 1899 itu jika tidak cermat diuruskan berkemungkinan akan memarakkan lagi kebencian dan kemarahan warga Melayu di situ yang masih sayangkan tanah milik mereka selama ini.
 
Jika cadangan ini tetap diteruskan dibimbangi Melayu akhirnya makan tulang sedangkan dagingnya akan dimamah oleh ‘orang luar’ yang tidak berperisa Melayu. Perdana Menteri ketika mengulas mengenai masa depan Kg. Baru ini ketika berucap di dalam Kongres Ekonomi Bumiputera anjuran MPM Ahad lalu telah memberi jaminan bahawa identiti Melayu tidak akan hilang jika pembangunannya dapat disertai oleh golongan bukan Melayu.

Persoalan yang berbangkit ialah apa guna dengan identiti itu jika harta milik orang Melayu selama ini dibiarkan pupus secara ‘pecah dan perintah’. Terfikirkah kita selama ini jika Kg. Baru dibangunkan dengan perancangan nisbah 60/40, Melayu hanya bermegah dengan projek mega itu, tetapi tidak mampu bersaing dengan golongan yang mendapat 40 peratus itu.

Melayu yang telah kehilangan 4o peratus itu akhirnya terjerumus dengan fenomena gulung tikar bahkan kemungkinan apa yang digenggam akan terlepas ke tangan mereka yang sudah pun memiliki 40 peratus hasil dasar yang tidak cermat yang dilakukan oleh kerajaan UMNO hari ini.

No comments: