Saturday, June 5, 2010

KENYATAAN AKHBAR

KENYATAAN AKHBAR
4 JUN 2010
MENTERI BESAR LAWAT TAPAK BARU BAGI PROJEK PENYAMBUNGAN LANDASAN LRT 

SHAH ALAM:  Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini melawat empat tapak yang dicadangkan untuk projek penyambungan khidmat Tren Transit Aliran Ringan dari Subang Jaya ke Puchong.

Empat tapak yang dicadangkan itu ialah Kampung Sri Aman, Taman Medan Mas, Kampung Sungai Baru dan Putra Heights-kesemuanya bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Taman Medan Mas menjadi tapak cadangan terbaru yang diputuskan hari ini selepas lawatan kerja dan perbincangan selama 20 minit dengan wakil penduduk Kampung Sri Aman.

Penduduk Kampung Sri Aman berpendapat Taman Medan Mas lebih pratikal kerana terletak di kawasan perumahan baru dan berdekatan dengan lebuh raya.

Tapak baru itu dicadangkan kerana penduduk Kampung Sri Aman  mahu Kerajaan Negeri melindungi kampung itu yang menjadi salah satu kampung tradisional Melayu yang masih ada di Selangor.

Menteri Besar memberi jaminan agensi yang terlibat akan membuat kajian terhadap tapak baru yang dicadangkan itu.

“Kita tidak akan memberi persetujuan sebelum cadangkan ini dibincangkan,’ katanya ketika melawat tapak baru di Taman Medan Mas.
 
Sejurus selepas lawatan itu, Abdul Khalid mengarahkan pegawai Jabatan Keretapi Malaysia dan Syarikat Prasarana Negara Berhad (SPNB) membuat kajian terhadap kesesuaian tapak baru itu dan membentangkannya dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) dalam tempoh dua minggu.

“Kita yakin penduduk tidak menolak pembangunan tetapi mereka juga mahu melindungi kediaman mereka dari diroboh. Jadi kita perlu seimbangkan pembangunan infrastruktur dan sosial.

“Kerajaan Negeri akan melakukan yang terbaik supaya pembangunan ini memberi faedah kepada semua pihak,” kata Abdul Khalid.

Turut serta pada lawatan itu, Exco Negeri, Yaakob Sapari, Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo,  Yang Dipertua MPSJ, Datuk Adnan Mohd Ikhsan dan Pengarah Perancang Bandar dan Desa Selangor, Datuk Jaafar Atan.
SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT MENTERI BESAR SELANGOR

No comments: