Thursday, June 10, 2010

KENYATAAN AKHBAR

9 JUN 2010

KERAJAAN SELANGOR KAJI PENUKARAN TANAH KEMUDAHAN AWAM KEPADA KOMERSIL YANG DILULUSKAN SEBELUM 2008



SHAH ALAM: Kerajaan Negeri akan mengkaji semua kes yang melibatkan penukaran status tanah dari status kemudahan awam atau kawasan lapang kepada status komersil yang telah diluluskan sebelum 2008.

Sehubungan itu, semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Majlis Daerah telah diarah mengemukakan kepada Kerajaan Negeri senarai tanah-tanah untuk kemudahan awam atau kawasan lapang yang telah ditukar kepada komersil.

Langkah ini bagi membolehkan kajian dilakukan terhadap penukaran status tanah berkenaan untuk memastikan proses itu itu dilakukan mengikut prosedur yang betul.

Kajian dan siasatan ini yang mendalam ini bagi membolehkan Kerajaan Negeri bertindak SEKIRANYA ADA berlaku sebarang penyelewengan atau salah guna kuasa dalam permohonan atau sepanjang proses kelulusan yang diberikan.

Jika ada elemen sebarang penyelewengan atau salah guna kuasa dalam kelulusan yang diberikan, pihak kerajaan akan membuat aduan kepada pihak yang tertentu supaya mereka yang terlibat boleh didakwa dimahkamah.

Kerajaan Negeri prihatin kepada rasa tidak puashati penduduk tentang pertukaran status yang diberi. Akan tetapi, Kerajaan Pakatan tidak sewenang-wenangnya mengubah perjanjian yang telah diluluskan secara sah oleh Kerajaan Negeri terdahulu.

Tindakan ini boleh mendedahkan Kerajaan Negeri sedia ada kepada tindakan undang-undang atau pembayaran pampasan yang tinggi.

Oleh itu, setiap kes membabitkan penukaran status tanah yang telah diluluskan sebelum 2008 perlu dikaji dan disiasat secara terperinci sebelum sebarang keputusan dibuat.

Selepas Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran Selangor, Kerajaan Negeri telah membuat pembaharuan dengan mewartakan tanah-tanah yang telah dikhaskan untuk kemudahan awam seperti sekolah, taman rekreasi , hospital dan sebagainya.

Cara ini sebagai jaminan tanah-tanah untuk kemudahan awam ini tidak boleh ditukar statusnya dengan senang.

Ini adalah kerana permohonan untuk menukar status tanah juga perlu melalui banyak proses termasuk mengadakan sesi pendengaran awam bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas penduduk yang tinggal berdekatan tanah itu.


TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM
MENTERI BESAR SELANGOR

No comments: