Datuk Zaid Ibrahim, ahli Majlis Pimpinan Pusat, Parti Keadilan Rakyat (PKR), dilahirkan pada 1951 dan mendapat pendidikan undang-undang di ITM & di London.
Walaupun Datuk Zaid seorang peguam dan ahli politik yang berjaya, beliau tidak pernah melupakan jati dirinya. Berdasarkan pengalamannya sebagai seorang anak kampung, beliau sememangnya memahami masalah kemiskinan, pendidikan, dan pekerjaan bagi penduduk luar bandar. Beliau senantiasa prihatin terhadap keperluan peneroka FELDA, isu hakmilik tanah, kemelut pengangguran, dan masalah harga barang yang naik mendadak. Datuk Zaid berjuang bertungkus-lumus demi masyarakat marhaen di dalam dan luar Parlimen.
Datuk Zaid dan isterinya Suliana Shamsud memiliki tiga orang cahaya mata. Pasangan ini merupakan dermawan yang aktif menyumbang kepada masyarakat. Pada tahun 1998, mereka menubuhkan Yayasan Kurang Upaya (YOKUK) untuk berkhidmat kepada warga emas yang kurang upaya dengan melibatkan mereka dalam kegiatan produktif seperti berkebun taman dan kesenian. Datuk Zaid juga giat terlibat dalam pemeliharaan dan penggalakan kesenian tradisional Melayu, khususnya di Kelantan.
Pendedahan politik awal Datuk Zaid mula semenjak usia remaja tatkala mula mengikut ayahnya mendengar ceramah-ceramah pemimpin politik era 1960an di Kota Bharu, terutamanya sekali para pemidato PAS yang hebat. Beliau menyertai Umno pada tahun 1986 dan dipilih menjadi calon ahli parlimen BN di Kota Bharu pada tahun 2004 dan menang.
Pada tahun 2008, Datuk Zaid memberikan pandangan jujurnya berhubung betapa perlunya BN mengalami pembaharuan dalaman dan beliau tidak terpilih untuk bertanding dalam pilihanraya umum tahun itu. Namun, beliau ditawarkan jawatan senator dan kedudukan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi mempromosikan reformasi badan kehakiman negara.
Selang beberapa hari menduduki jawatan Menteri, disebalik suara penentangan dari Umno, Datuk Zaid melakukan tindakan-tindakan perdamaian dengan para hakim seperti Tun Salleh Abas yang dipecat secara tidak adil dalam krisis kehakiman tahun 1988. Beliau juga mendesak jemaah menteri untuk mengisytiharkan harta mereka. Suatu cadangan untuk membuktikan ketelusan yang ditolak Umno.
Pada September 2008, kurang enam bulan menjawat jawatan Menteri, Datuk Zaid meletakkan kesemua jawatan yang disandangnya dalam kerajaan, sebagai tindakan mempertahankan prinsipnya membantah penahanan penulis blog Raja Petra Kamarudin, Ahli Parlimen DAP Teresa Kok dan wartawan Tan Hoon Cheng di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Beliau menunjukkan iltizam serta istiqamahnya terhadap prinsip keadilan. Natijah daripada itu, pada Disember 2008 beliau dipecat dari Umno.
Datuk Zaid mendaftar sebagai ahli Parti Keadilan Rakyat pada bulan Jun 2009. Beliau yakin bahawa PKR merupakan pentas terbaik untuk mencapai keadilan untuk semua rakyat Malaysia dan reformasi sejati dalam kerajaan. Beliau kini mahu kembali ke Parlimen dengan amanah dari rakyat bagi meneruskan perjuangannya untuk menyuarakan hak-hak dan kebajikan semua warga Malaysia.
No comments:
Post a Comment