15 Jun 2009
Muktamar PAS kali ke-55 yang lepas memperlihatkan usul mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan membuat penyelidikan ke atas Sisters In Islam (SIS) yang membawa aliran Islam Liberal dan seterusnya mengharamkan pertubuhan tersebut sekiranya terbukti bertentangan dengan Syariat Islam serta membuat program pemulihan ke atas ahli-ahlinya menjadi perdebatan yang hangat oleh pihak parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu-individu yang lain.
Isu ini semakin dipolemikkan sehingga masyarakat bertambah keliru tentang masalah yang timbul dan mungkin mengambil tindakan ‘lepas tangan’ dalam memahami persoalan akidah yang menjadi teras pegangan setiap umat Islam.Mutfi Perak, Sahibus Samahah Datuk Seri Harussani Zakaria bersetuju dengan gesaan PAS supaya pertubuhan wanita terkenal SIS disiasat berhubung dakwaan menggugat akidah Islam. Namun, beberapa pemimpin parti politik menyertai kira-kira 322 NGO dan individu membantah gesaan PAS supaya SIS diharamkan. Usul Muktamar Pas ini nampaknya sudah dijadikan mainan politik sehingga menyebabkan kekeliruan yang besar dalam masyarakat.
PAS hanya mendesak pihak yang berwajib untuk menyiasat SIS dan bukan menghukum SIS haram seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak. SIS dan penyokong mereka telah mengambil kesempatan untuk mempolemikkan isu ini dengan mengetengahkan isu ekstrimisme ulama’ dan hak kebebasan bersuara. Isu akidah dan Syariat Islam tidak harus dipolitikkan sebegitu rupa terutama sekali dalam konteks Islam sebagai agama persekutuan negara Malaysia.Islam Liberal sudahpun difatwakan sesat dan bercanggah dengan Syariat Islam dalam Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan kali ke-74 yang lalu. Pengeluaran fatwa ini merupakan tepat pada masanya apabila sejak akhir-akhir ini pelbagai salah faham terhadap Syariat Islam sengaja digembar-gemburkan oleh golongan Islam Liberal yang kuat berpegang kepada ideologi sekular-liberal dan humanisme anjuran Barat.
Golongan Islam Liberal ini mengakui berpegang kepada ajaran Islam tetapi Islam yang dibawa mereka adalah Islam yang beracuan pemikiran semata-mata berteraskan ideologi Barat. Kewajaran fatwa ini juga dilihat dapat menyekat pelbagai masalah-masalah lain yang bakal timbul dalam aspek kesucian ajaran Islam seperti yang sudah berlaku di negara jiran, Indonesia.Menurut Prof. Madya Dr. Mohamad Kamil Abdul Majid iaitu Ketua Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan dari Universiti Malaya, fahaman Islam Liberal ini juga akhirnya akan sampai kepada peringkat mempertikaikan wahyu. Beliau juga menambah bahawa antara bahaya ajaran ini ialah akan lahir pengikut yang meremehkan al-Qur’ān, meremehkan hadith dan autoriti ulama’.
Ini kerana mereka menganggap ulama’lah yang pandai-pandai “mentafsirkan” Islam, sedangkan mereka mahu supaya sesiapa sahaja dapat mentafsirkan Islam.SIS dikaitkan dengan fahaman Islam Liberal seawal bulan Disember 2000 setelah SIS terlibat secara langsung dalam usaha menubuhkan badan antara agama yang mempunyai kuasa undang-undang menyeru kepada kebebasan beragama yang menjadi kontroversi hangat sehinggalah timbulnya cadangan penubuhan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) yang cuba direalisasikan pada bulan Februari 2005 yang lalu.
Perkaitan SIS dengan fahaman Islam Liberal ini juga bertambah jelas pada awal tahun 2005 apabila sekumpulan aktivis hak asasi manusia yang diketuai oleh SIS sendiri telah melancarkan kempen Anti Kawalan Moral terhadap pihak berkuasa agama dan kerajaan tempatan ekoran tindakan para penguatkuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menahan lebih 100 orang pengunjung kelab malam Zouk di Kuala Lumpur.. Mereka ditahan atas pelbagai kesalahan termasuklah meminum arak, pergaulan bebas dan berpakaian kurang sopan. SIS juga dilihat seolah-olah anti-fatwa apabila terlibat secara langsung dalam membantah fatwa pengharaman yoga dan pengkid yang dibuat oleh Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan baru-baru ini. Ini merupakan sebahagian kecil daripada isu-isu yang dipolemikkan SIS dalam menyentuh kesucian akidah dan Syariat Islam.
Antara tokoh Islam Liberal yang sangat terkenal ialah Aminah Wadud, beliau telah membuat bida‘ah kesesatan ibadat yang besar dengan mengimamkan solat Jumaat di mana makmumnya bercampur-baur bersama-sama lelaki dan wanita.
Usul menyiasat kedudukan SIS dalam Islam juga dilihat bertetapan memandangkan program Musawah anjuran SIS pada 13 hingga 17 Februari yang lalu, Amina Wadud adalah salah seorang antara hampir seratus tokoh Islam Liberal antarabangsa yang telah dijemput sebagai salah seorang pembentang kertas kerja utama bertajuk “Islam Beyond Patriarchy Through Gender Inclusive Qur’anic Analysis” yang membahaskan tentang kesaksamaan jantina dalam perkara berkaitan Islam terutama dari sudut Perundangan Syariah dalam usaha cuba mentafsir semula al-Qur’ān berdasarkan pandangan mereka sendiri. Peluang kepincangan perjalanan sistem Mahkamah Syariah di Malaysia nampaknya direbut oleh SIS dalam menjadikan alasan kukuh buat mereka untuk mempertikaikan kewajaran Syariah dalam menjaga hak seseorang wanita.
Sepatutnya perjalanan sistem yang dilaksanakan oleh manusia itu dikaji dan diperbaiki semula, bukan mempertikaikan ketetapan hukum Syariah yang mutlak digariskan oleh Allah SWT.Sehubungan dengan itu, Angkatan Bertindak Banteras Islam Liberal (ABABIL) di bawah kelolaan Persatuan Ulama’ Malaysia cawangan Pulau Pinang (PUMPP) menggesa semua pihak memberhentikan sebarang pandangan dan kenyataan media terhadap SIS bagi mengelakkan tercetusnya perbalahan dan kekeliruan masyarakat yang bakal merosakkan nilai-nilai Islam dalam diri masyarakat Islam khususnya.
ABABIL juga menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Dalam Negeri untuk segera menyiasat latar belakang serta program-program kelolaan SIS bagi mendapatkan kepastian dakwaan pihak tersebut terhadap SIS. Hasil siasatan ini juga harus dilaporkan kepada umum bagi merungkai kekeliruan masyarakat terhadap tuduhan SIS membawa fahaman Islam Liberal.
Ustaz Rosidi bin Hussain,
Penolong Setiausaha, PUMPP.
b/p YDP PUMPP.(019-4704800)
`Izzat Anwari bin Hasni,
Koordinator, ABABIL, PUMPP. (013-4025770)
Angkatan Bertindak Banteras Islam Liberal (ABABIL),
Persatuan Ulama' Malaysia cawangan Pulau Pinang (PUMPP),
Pusat Tafaqquh al-Ghazali,
1003 Tingkat 1, Jalan Kubang Semang,
13500 Seberang Perai Tengah,
Pulau Pinang.
Emel: ABABIL.PUMPP@ Gmail.com
No comments:
Post a Comment