Wednesday, February 4, 2009

ZACK: SEGERA LANTIK PENGURUS BOLASEPAK FAM SEPENUH MASA....!!!

KETIKA mengumumkan keputusan pemecatan jurulatih kebangsaan, B. Sathianathan dan pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Soh Chin Aun kelmarin, ada satu kenyataan yang dilihat pelik. Ketika sidang media itu, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Redzuan Sheikh Ahmad menjelaskan kekeliruan yang timbul kerana sebelum ini jawatan pengurus pasukan kebangsaan sebenarnya disandang oleh rakan sejawatannya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
"Sebenarnya Khairy telah mempunyai persefahaman dengan Chin Aun untuk membolehkan legenda bola sepak negara itu melaksanakan tugas selaku pengurus pasukan kerana Khairy tidak dapat memberikan komitmen sepenuhnya kepada skuad kebangsaan," kata Redzuan kelmarin. Yang peliknya, kenapa individu yang sudah mempunyai komitmen lain dipertanggungjawabkan menjaga skuad bola sepak negara?
Pemecatan Chin Aun juga dikatakan ada kaitan dengan masalah komitmen lain.Ketika dihubungi, Chin Aun enggan mengulas pemecatannya sebaliknya berharap agar perubahan ini akan membawa perubahan kepada bola sepak negara. Terbaru, FAM melantik pula seorang Naib Presiden FAM, Datuk Gulzar Mohamad sebagai pengurus pasukan kebangsaan yang baru sedangkan mereka tahu Gulzar juga mempunyai komitmen lain dengan urusan perniagaannya?
Pelantikan itu bakal mengundang masalah yang sama kerana individu yang mempunyai komitmen lain ini tidak akan mampu memberikan tumpuan 100 peratus untuk menguruskan pasukan kebangsaan. Justeru, sudah tiba masanya pengurus pasukan kebangsaan dijadikan jawatan sepenuh masa agar penjawatnya boleh memberi tumpuan kepada jawatannya itu. Bagi pasukan bola sepak negeri, hal serupa dilaksanakan oleh Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang menyaksikan jawatan pengurusnya diisi oleh seorang pengurus sepenuh masa.
Pengurus skuad Liga Super Selangor, Zakaria Ab. Rahim ketika ditanya tentang isu jawatan pengurus pasukan kebangsaan itu berkata, sudah tiba masanya FAM untuk melantik seorang pengurus sepenuh masa. "Bila FAM adakan satu jawatan pengurus pasukan kebangsaan sepenuh masa ini, individu tersebut akan bertanggungjawab daripada merancang pembangunan pasukan kebangsaan dari peringkat umur bawahan sehingga ke skuad utama.
"Persatuan bola sepak (FA) negeri pula perlu akur dengan perancangan yang dikemukakan pengurus tersebut. Dia mestilah bukan daripada kalangan pengurusan tertinggi FAM tetapi mestilah sepenuh masa bertugas sebagai pengurus," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam. Zakaria yang merupakan satu-satunya pengurus bola sepak sepenuh masa di negara ini menambah, langkah tersebut penting dilaksanakan sekiranya FAM mahu melihat bola sepak negara ini benar-benar maju.
"Pengurus pasukan kebangsaan ini perlu diberi KPI (Indeks Prestasi Utama) oleh FAM. Jika dia tak berjaya capai sasaran ditetapkan, barulah dia boleh dipecat.
"Ini tidak, Chin Aun dan Sathianathan telah dipecat tapi atas sebab apa? Mereka tak capai KPI? FAM ada letak KPI untuk mereka? "Setahu saya, FAM sendiri tak beri apa-apa sasaran untuk dicapai skuad kebangsaan pada kelayakan Piala Asia ini. Jadi sepatutnya kena ada alasan jelas mengapa mereka dipecat," soal Zakaria.
Namun, Zakaria tetap berpandangan pemecatan Chin Aun dan Sathianathan adalah wajar kerana kedua-dua mereka perlu bertanggungjawab terhadap kegagalan Malaysia pada Piala AFF Suzuki Disember lalu dan kekalahan 0-5 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) bulan lalu. Ditanya pandangannya terhadap Gulzar yang dilantik kelmarin sebagai pengurus pasukan kebangsaan yang baru, Zakaria berkata, Naib Presiden FAM itu diharap dapat memberikan sepenuh komitmen dalam menggalas tugasnya itu. "Kita tak mahu lihat pengurus yang hanya boleh bawa masuk duit tetapi tak dapat luangkan masa bersama pemain dan pasukannya.
"Mungkin dia (Gulzar) mampu menjanjikan habuan wang buat pemainnya jika mencapai sesuatu kejayaan. tapi ia tak bagus untuk pasukan kebangsaan. Kita mahukan pemain yang bermain untuk maruah negara, bukan mengejar wang ringgit," tegasnya. Memandangkan Gulzar sudahpun dilantik sebagai pengurus pasukan kebangsaan, Zakaria berharap Gulzar sendiri terlibat dalam menentukan calon-calon jurulatih kebangsaan yang akan bergandingan dengannya.
"Ini pasukan yang diuruskannya. Bila kalah nanti, dia juga kena bertanggungjawab. Jadi dia sendiri kena main peranannya mencari jurulatih baru yang betul-betul bagus. "Sebagai contoh saya di Selangor. Saya sendiri kena bertanggungjawab jika pasukan gagal mencapai sasaran. Saya letak sasaran dua piala musim ini dan jika gagal, jawatan saya dipertaruhkan," jelas Zakaria. Sementara itu, pengurus pasukan Shahzan Muda, Zainal Abidin Hassan berharap Gulzar dapat menjalankan tugas selaku pengurus pasukan kebangsaan dengan sebaik mungkin."Saya tahu Gulzar minat sangat dengan bola sepak.
Saya doakan dia berjaya naikkan semula prestasi pasukan kebangsaan," katanya ketika dihubungi di Kuantan semalam.Namun Zainal tetap berharap bekas pengurus pasukan, Chin Aun terus menyumbangkan idea dan pengalamannya untuk kemajuan bola sepak negara. "Memang tak dinafikan, dipecat ini adat resam dalam bola sepak. Apabila pasukan gagal, semua yang berada di dalam perlu bertanggungjawab. "Tapi tak dinafikan pengalamannya (Chin Aun) tiada bandingan. Sumbangannya (Chin Aun) masih diperlukan walaupun bukan lagi sebagai pengurus pasukan," jelas Zainal.

sumber dari KOSMO SEMALAM.

No comments: