Thursday, September 23, 2010

Shamsul Akan Hubungi Khalid Melalui Facebook..



Oleh Fazli Othman

SHAH ALAM 22 Sept - Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata beliau akan terus menghubungi Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar melalui laman sosial Facebook bagi memberitahu tarikh dan masa pertemuan dengan pihak polis yang mahu mengambil keterangannya mengenai dakwaan pihak ketiga dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya yang disiarkan dalam portal berita TV Selangor minggu lalu.

Ketika dihubungi Suara Keadilan, beliau menasihatkan Khalid tidak menggunakan media untuk mengumumkan hasrat pihak polis untuk merekod keterangannya kerana ini bukanlah pendekatan yang wajar selaku seorang ketua polis negeri.

Katanya, memandangkan Khalid lebih senang dihubungi melalui facebook, beliau akan memberikan tarikh dam masa yang sesuai bagi beliau memberi keterangan.

"Sekarang ini, saya sibuk mengendalikan kes perbicaraan di mahkamah di Melaka sehingga 4 Oktober ini, selepas itu saya akan terus menghubunginya melalui facebook.

"Sebenarnya saya tidak ada masalah nak berjumpa, sedangkan kes rasuah yang melibatkan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Hong Kong (ICAC) di Hong Kong pun saya pergi, inikan pula di Shah Alam," ujar beliau.

Sebelum itu, dua wartawan TV Selangor dipanggil untuk memberi keterangan kepada polis berhubung kenyataan Shamsul yang mengaitkan campur tangan pihak ketiga dalam siasatan kes pembunuhan tersebut ketika ditemuramah portal berita itu 13 September lalu.

No comments: