Friday, September 24, 2010

KENYATAAN AKHBAR

KENYATAAN AKHBAR
24 SEPTEMBER 2010
SYABAS TUNTUT RM308 JUTA KERANA KERAJAAN NEGERI HALANG NAIKKAN HARGA AIR

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) telah menuntut bayaran sebanyak RM308 juta dari Kerajaan Selangor didakwa sebagai “pampasan” kerana terhalang dari menaikkan tarif air di Selangor.

SYABAS membuat tuntutan itu menerusi dua surat tuntutan bertarikh 15 Septermber lalu dengan memberi alasan kononnya syarikat itu mengalami kerugian disebabkan keengganan Kerajaan Selangor membenarkan tarif air dinaikkan yang dikatakan terkandung di dalam perjanjian konsesi.

SYABAS pada masa yang sama mengugut untuk mengheret Kerajaan Selangor ke mahkamah jika gagal menunaikan tuntutan mereka dan enggan mematuhi syarat perjanjian.

Ditegaskan di sini, Kerajaan Negeri sedikit pun tidak gentar dengan tuntutan SYABAS dan berpendapat syarikat itu tidak layak sama sekali untuk menaikkan tarif air sedangkan rakyat Selangor masih berdepan dengan pelbagai masalah air antaranya; bekalan air yang teruk, bekalan air yang tidak berkualiti dan peratusan air tidak berhasil (NRW) yang tinggi disebabkan penyelenggaraan paip yang buruk yang telah mengakibatkan Kerajaan Negeri kerugian berjuta ringgit.

Jika SYABAS dibenarkan menaikkan tarif air sehingga 37% seperti yang disebut dalam perjanjian konsesi, harga air akan menjadi lebih mahal dari harga petrol hari ini. Kerajaan Negeri tidak akan membenarkan perkara ini berlaku kerana rakyat masih dibelenggu dengan kemelut ekonomi global, apatah lagi perkhidmatan air yang diberikan tidak setimpal dengan harga yang dikenakan.

Adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Selangor mempertahankan hak rakyat Selangor mendapatkan perkhidmatan air yang terbaik dengan harga yang berpatutan. Air adalah keperluan asas yang dianugerahkan Allah dan oleh itu, hanya kos minimal bagi proses rawatan air patut dikenakan.

Konsep penswastaan yang diperkenalkan pada 1982 mempunyai matlamat jelas iaitu mengurangkan tanggungan Kerajaan dalam memberi perkhidmatan asas  kepada rakyat dan pada masa yang sama tidak membebankan rakyat dengan bayaran yang melampaui kemampuan.

Pengenalan konsep tersebut tidak tercatatat langsung bahawa  penswastaan bertujuan untuk memberi keuntungan melampau kepada mana-mana pihak apatah lagi mereka yang berkait rapat dengan pemerintah. Dengan ini, Kerajaan Negeri menyatakan semangat konsep penswastaan telah dicabuli oleh golongan yang tamak dan berkepentingan sekali gus telah mencabar kepentingan rakyat.

Kerajaan Selangor pada masa yang sama yakin mempunyai hak dan alasan yang kukuh untuk mengheret SYABAS ke mahkamah kerana kegagalan mereka mematuhi beberapa asas penting yang terkandung dalam perjanjian konsesi air yang ditandatangani. Akibat kegagalan tersebut telah merugikan rakyat Selangor sehingga mencecah jutaan ringgit. 

 Menteri Besar, YAB Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim telah berulang kali menegaskan bahawa Kerajaan Negeri akan menentang dengan cara apa sekali pun, usaha SYABAS atau mana-mana pihak yang mencabar rakyat Selangor terhadap hak mutlak air.

Bagaimanapun, Kerajaan Negeri menangguhkan sebarang niat untuk menggunakan hak sedia ada (undang-undang) bagi menghormati perbincangan pihak-pihak yang terlibat dalam menyelesaikan penstrukturan semula hak konsesi air dan model perancangan yang boleh digunapakai.

SYABAS sesungguhnya maklum akan perbincangan yang dilakukan dan adalah amat tidak wajar bagi SYABAS membuat tuntutan pampasan di peringkat ini. Surat-surat tuntutan ini juga mendedahkan pekung SYABAS yang tidak mengendahkan kepentingan rakyat,

SYABAS menyebarkan program kemasyarakatan yang dikatakan untuk membantu golongan kurang berkemampuan membayar bil air semasa dan tertunggak  tetapi sebenarnya SYABAS telah meminggirkan rakyat dengan mendesak supaya tarif air dinaikkan.

Sikap dan keikhlasan SYABAS ini diragui kerana lebih mementingkan kenaikan tarif daripada menyelesaikan rundingan pengambilalihan syarikat konsesi air yang bertujuan menyelesaikan penstrukturan air secara menyeluruh supaya  mutu perkhidmatan bekalan air dapat ditingkatkan

Kerajaan Negeri akan dalam masa terdekat melancarkan gerakan menyelamatkan rakyat Selangor dari terus dicengkam ketidakadilan perjanjian konsesi yang nyata membelakangi tanggungjawab sosial. Rakyat dengan ini digesa untuk bersatu bersama Kerajaan Negeri demi mempertahankan hak dan maruah. Percayalah, dengan usaha yang gigih dan doa yang berpanjangan usaha rakyat Selangor akan beroleh kejayaan.


PUAN FAEKAH HUSIN
SETIAUSAHA POLITIK KEPADA DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

3 comments:

Anonymous said...

Kat rumah saya di Ampang, Selangor kena tukar penapis setiap 2 hari. penapis tu dah jadi hitam legam. aku x halalkan duit tu...

Anonymous said...

Kat rumah saya di Ampang, Selangor kena tukar penapis setiap 2 hari. penapis tu dah jadi hitam legam. aku x halalkan duit tu...

Anonymous said...

Kat rumah saya di Ampang, Selangor kena tukar penapis setiap 2 hari. penapis tu dah jadi hitam legam. aku x halalkan duit tu...