Tuesday, February 2, 2010

Mahfuz puji inisiatif SRJK(C) Chiao Nan bina surau

Dzulfikar Mashoor
KUALA LUMPUR, 1 Feb: Di sebalik tercetusnya isu kalimah Allah dan pengeboman beberapa gereja kebelakangan ini, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar memuji inisiatif seorang penganut Kristian, Alex Ong melancarkan tabung dana membina sebuah surau untuk 107 pelajar beragama Islam di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Chiao Nan, di sini.

Menurut beliau, inisiatif tersebut merupakan suatu hikmah di sebalik keadilan Islam mempertahan hak beragama di kalangan penganut Islam dan bukan Islam di Malaysia.

"Seperti kita yang mengutuk pengeboman gereja walaupun sekiranya dilakukan sendiri (oleh) orang-orang Melayu beragama Islam, inisiatif mereka membina surau untuk anak-anak kita merupakan suatu hikmah (dan) membuktikan mereka juga benci dengan permusuhan agama," jelasnya ketika dihubungi Harakahdaily, petang tadi.

Sebelum pada itu, Alex yang juga Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG) sekolah tersebut menjelaskan bahawa pihaknya terpaksa melancarkan tabung dana sumbangan tersebut kerana PIBG dan kementerian tidak mempunyai dana peruntukan untuk membina surau, seperti yang dimaklumkan oleh Guru Besar SRJK (C) tersebut.

Menurut Alex lagi, sekiranya projek pembinaan surau tersebut berjaya, SRJK (C) Chiao Nan mungkin merupakan sekolah pertama di Malaysia yang menyediakan surau untuk pelajar-pelajar Muslim supaya mereka digalakkan belajar tentang keindahan Islam secara teori dan praktikal.

Memberitahu Harakahdaily petang tadi, beliau berkata, daripada 107 pelajar Muslim tersebut, seramai 90 orang pelajar adalah berbangsa Melayu, manakala 17 pelajar yang lain adalah mereka yang datang dari keluarga muallaf dan berkewarganegaraan asing.

Jelasnya lagi, mereka yang mahu memberi sumbangan boleh bertemu dengan AJK surau merangkap guru Pendidikan Islam di SRJK (C) Chiao Nan, Encik Azani atau menyalurkan dana kepada penama 'PIBG SRJKC Chiao Nan berakaun nombor 014066403996, MayBank (M) Berhad atau menghubunginya, 019-6001728.

No comments: