Monday, March 29, 2010

Apa Bukti-Bukti Kejayaan Bisnes Kita...


Banyak bisnes orang Melayu 'lingkup' disebabkan pemiliknya membeli bukti-bukti kejayaan palsu seperti kereta mahal, rumah besar, dan gaya hidup mewah yang sebenarnya dia tidak mampu.

Akibatnya, duit yang sepatutnya digunakan bagi menjalankan bisnes digunakan bagi membeli benda-benda itu.

Memang dengan memandu kereta besar dan tinggal dalam rumah besar orang mungkin menyangka bisnes kita amat berjaya, tetapi kereta besar, rumah besar dan gaya hidup mewah bukan bukti kejayaan bisnes kita.

Bukti bahawa bisnes kita berjaya itu ada pada bisnes kita itu sendiri.

1. Modal berbayar kita bertambah banyak.

Sebagai contoh, dahulu RM10 ribu, kini RM60 ribu. Ini hanya dapat kita lakukan apabila duit keuntungan bisnes itu kita gunakan bagi menokok jumlah modal syarikat.

Apabila modal berbayar kita banyak, bank berani memberikan lebih banyak kemudahan.

2. Pengeluaran syarikat kita bertambah banyak.

Sebagai contoh, dahulu kita hanya mampu mengeluarkan 15 ribu botol kicap sebulan, tetapi kini kita mengeluarkan 40 ribu botol sebulan.

Kita dapat meningkatkan pengeluaran apabila kita menggunakan duit keuntungan bisnes bagi membeli mesin baru, peralatan tambahan, menyewa ruang kerja yang lebih besar, serta membayar gaji lebih banyak pekerja dan membeli lebih banyak bahan-bahan mentah.

3. Pelanggan kita bertambah banyak.

Sebagai contoh, dahulu kita hanya membekalkan kicap kita kepada 80 kedai, tetapi sekarang jumlah itu naik kepada 240 buah kedai.

Kita dapat menambah jumlah pelanggan apabila kita gunakan duit kentungan bagi membeli van-van tambahan dan mengambil driver tambahan bagi penghantaran kepada pelanggan.

4. Harta syarikat bertambah banyak.

Sebagai contoh, dahulu kita menyewa rumah kedai milik orang lain, tetapi sekarang kita sudah membeli 2 buah rumah kedai sendiri.

Syarikat dapat membeli bangunan sendiri apabila duit keuntungan digunakan bagi membayar down-payment bangunan dan bagi membayar hutang pembelian itu.

5. Jumlah pekerja syarikat kita bertambah banyak.

Sebagai contoh, dahulu kita hanya mempunyai 5 orang pekerja tetapi sekarang jumlah itu sudah menjadi 20 orang.

Kita dapat mengambil lebih banyak pekerja apabila duit kentungan digunakan bagi membayar gaji, KWSP, SOCSO dan pelbagai elaun yang mereka berhak terima.

http://puanainonmohd.blogspot.com/

No comments: