Oleh Syed Mu’az Syed Putra
July 03, 2011
KUALA LUMPUR, 2 Julai — Mohamad Sabu menegaskan PAS hanya menyokong Himpunan Bersih 2.0 sambil menyifatkan Datuk Seri Najib Razak mahu “memperbodohkan” rakyat dengan mengaitkan parti Islam itu bekerjasama dengan penganjur semata-mata untuk menawan Putrajaya.
Sebaliknya, tegas Timbalan Presiden PAS ini, beliau secara peribadi tidak mempunyai apa-apa kaitan atau jawatan dalam Himpunan Bersih 2.0 yang dianjurkan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).
Jelas Mohamad yang mesra dengan panggilan “Mat Sabu”(gambar), PAS hanya menyokong tuntutan yang dibuat Bersih yang dipengerusikan Datuk Ambiga Sreenevasan.
“Saya timbalan presiden PAS, saya tidak berada dalam jawatankuasa Bersih... PAS hanya menyokong tuntutan yang dibuat Bersih, jadi tidak timbul soal kita mahu menawan Putrajaya bersama Bersih.
“Dulu pada himpunan Bersih kali pertama ia dipengerusikan Syed Shahir Syed Mohamud, kita sokong tuntutan Bersih bukan ketuanya,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Tambah beliau, Najib cuba untuk mengelirukan rakyat dengan menuduh PAS mahu menawan Putrajaya dengan apa jua cara termasuk melalui demonstrasi.
“Najib nak kelirukan orang ramai, memang kita (Pakatan Rakyat) mahu menawan Putrajaya dan ia memang cita-cita parti politik.
“Tapi kita mahu tawan Putrajaya melalui sistem pilihan raya yang bersih dan adil, ini yang kita mahukan dan kita tidak mahu menang melalui pilihan raya yang kotor,” katanya.
Justeru tambah Mohamad, beliau percaya rakyat tidak akan mudah terpedaya dengan tuduhan palsu yang dilemparkan Perdana Menteri dan Presiden Umno itu.
“Itu hanya rekaan untuk kelirukan orang ramai, dia (Najib) sekadar nak perbodohkan rakyat... kita sokong tuntutan Bersih dan kalau selepas ini ada perhimpunan lain dan tuntutannya kita tidak setuju, kita tidak akan sokong Bersih.
“Sebab itu, saya kata PAS dan Bersih tidak ada apa-apa hubungan, Bersih adalah NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan kita sokong tuntutan mereka, sudah-sudahlah kalau nak buat tuduhan yang bukan-bukan,” katanya.
Semalam, Najib mengecam Ambiga dan PAS bahawa Himpunan Bersih 2.0 mahu diadakan untuk merampas kuasa Putrajaya.
Beliau berkata Ambiga adalah individu yang pernah menggugat kedudukan Islam dan Mohamad sanggup menjadi timbalan kepada Ambiga demi mendapatkan kuasa politik bagi PAS, yang memerintah Kelantan sejak 1991.
Bersih, yang terdiri daripada 62 pertubuhan bukan kerajaan akan meneruskan Himpunan Bersih 2.0 walaupun polis tidak akan mengeluarkan sebarang permit.
Lapan tuntutan Bersih adalah agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.
Bersih bersama Pakatan Rakyat dan aktivis parti bersedia menggerakan Himpunan Bersih 2.0 menuntut pilihan raya adil dan bebas sebagai kesinambungan himpunan yang kali pertama diadakan pada November 2007.
No comments:
Post a Comment