Wednesday, June 8, 2011

KENYATAAN AKHBAR

JUN 7, 2011

AKTIVITI PERNIAGAAN TAPAK SEMAIAN TANAMAN SUNGAI BULOH PERLU DIKAJI SEMULA

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini telah memberitahu pengusaha tapak semaian Sugai Buloh yang juga dikenali sebagai “Green Lane” bahawa tanah yang mereka usaha itu adalah rizab keselamatan kerana terdapat dua batang paip bertekanan tinggi yang membekalkan air kepada lebih satu juta penduduk. 
Beliau berkata Kerajaan Negeri sepatutnya tidak membenarkan apa-apa aktiviti dijalankan diatas tapak semaian seluas 20 ekar namun, perkara ini tidak dilakukan oleh kerajaan yang terdahulu walaupun mengetahui kedudukan paip tersebut.  
"Pada waktu dahulu, semua pihak lepas tangan dan tidak mahu menyelesaikan masalah ini walaupun mereka mengetahui paip tersebut berada di situ.  Ianya begini ketika pengswastaan air berlaku pada 2001. Kerajaan, mahupun  Syabas (Syarikat Bekalan Air Selangor) tidak mahu membuat apa-apa sebelum ini.  
"Sebagai Menteri Besar yang bertanggungjawab, saya tidak boleh tutup mata kepada masalah ini," kata Tan Sri Abdul Khalid kepada pengusaha tapak semaian yang wakili oleh Sunny Low, presiden Landscape and Agriculture Nursery Operators of Subang Association. 

Perjumpaan tersebut telah juga dihadiri oleh setiausaha kerajaan negeri Dato’ Khusrin Munawi,  Dato’ Bandar Petaling Jaya, Dato Roslan Sakiman, pegawai daerah Petaling, Dato Zulkifli Yaakob, pegawai daerah Gombak Ahmad Zaharin Mohd Saad. 

Setelah dimaklumkan semua isu-isu yang terlibat, Menteri Besar berkata Kerajaan negeri telah membuat keputusan untuk menolak semua permohonan TOL termasuk permohonan yang dibuat oleh Yayasan Selangor.  
Namun begitu, beliau prihatin dengan kebajikan lebih 60 pengusaha di Green Lane dan akan memastikan penyelesaian yang diambil tidak akan menjejaskan perniagaan mereka. 

"Oleh itu, kami meminta Yayasan Selangor untuk menyediakan satu kajian (feasibility study) bagi memastikan sekiranya aktiviti mengusaha tapak semaian di kawasan Green Lane selamat atau tidak. Jika boleh, kita mahu tahu bentuk pembangunan apakah yang boleh dibuat dan siapakan yang boleh ditugaskan untuk menjaga kawasan tersebut agar tidak berlakunya perkara yang tidak diingini. 

"Dan jika ianya tidak selamat, kerajaan negeri akan memastikan pengusaha akan diberi tempat lain untuk meneruskan perniagaan mereka," kata menteri besar. 

Beliau juga menjemput badan wakil pengusaha tapak semaian melantik pakar jurutera untuk membuat laporan yang sama. Mereka telah diberi masa satu bulan untuk menyiapkan laporan tersebut.  
Sementara menunggu laporan tersebut, beliau telah mengarahkan pejabat tanah dan galian serta pejabat daerah untuk mencari kawasan alternatif untuk pengusaha di kawasan berdekatan. 

Tan Sri Khalid berkata tanah berdekatan dipunyai oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri akan menulis kepada ketua pengarah tanah dan galian jika ada tanah yang sesuai.  

"Saya harap tiada siapa yang akan mempolitikkan perkara ini kerana ianya soal keselamatan. Sepatutnya kerajaan persekutuan berkejasama dengan kerajaan negeri dalam menyelesaikan perkara ini. Walaubagaimanapun, jika meraka tidak mahu, saya akan cuba mendapat penyelesaian untuk semua,” tambah beliau.

Dikeluarkan oleh:

SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO MENTERI BESAR SELANGOR

No comments: