Wednesday, June 29, 2011

BERSIH 2.0: PANDUAN KEPADA SEMUA

*Perkara yang perlu anda bawa/sediakan * 
1. Kad pengenalan, lesen memandu, satu kad ATM sahaja. 
2. Duit-maksimum RM100 sahaja. 
3. Memakai pakaian yang sopan-T-shirt /baju berwarna Kuning.Sebaiknya ada logo Bersih 2.0
4. Setiap peserta diwajibkan memakai kasut. 
5. Aksesori kempen-Button, kopiah arm band, bendera kecil, banner dan placard yang ada Logo atau Slogan Bersih 2.0 / Bersihkan Pilihanraya boleh digunakan. 
6. Bendera Malaysia atau negeri masing-masing. 
7. Air mineral, sedikit makanan ringan atau gula-gula. 
8. Sedikit garam-ia penting dan boleh dimakan sedikit (bukan sapu dimuka) bagi mengembalikan tenaga terutamanya jika Pihak Polis sembur air dari Water Canon atau Gas pemedih mata. 
9. Kain tuala kecil basah untuk tutup mata dan hidung untuk elak terkena gas pemedih mata. 
10. Digalakkan memakai penutup mulut dan hidung jenis *N100 Respirator, N95 Respirator *dan* Surgical facemask* untuk mengelak penularan wabak Influenza H1N1 dan juga menghindarkan sedutan gas pemedih mata yang melampau. 
11. Jika anda mempunyai asma atau alahan sila bawa inhaler atau ubat sendiri. 
12. Sila bawa beg plastik sampah kecil bagi mengelakkan anda membuang sampah merata-rata. 
13. Sila bawa pen dan kertas (mini note pad) bagi mencatat nama dan no. pengenalan Polis atau perkara-perkara yang mencurigakan. 
14. Jangan lupa bawa kamera, video cam atau handphone berkamera bagi merakamkan suasana himpunan - gambar-gambar atau klip video boleh dihantar kepada kami selepas himpunan di email Setiausaha Bersih 2.0 H/P: 0162208784; Email: bersih2.0electoral@gmail.com [Kita perlu alamat email yang boleh id lindungi dari spam/hacking, etc – siapa boleh tolong?]


*Perkara yang tidak dibenarkan* 
1. Jangan bawa kad matrik pelajar bagi student atau pass kakitangan bagi pekerja Kerajaan dan Swasta. 
2. Jangan bawa terlalu banyak wang atau kad kreadit untuk elakkan penyeluk saku, tercicir atau hilang semasa perhimpunan atau ditahan. 
3. Jangan memakai selipar, kasut tumit tinggi atau sandal yang menghalang pergerakkan. 
4. Jangan memakai kain atau skirt, digalakkan memakai seluar. 
5. Jangan memakai barang kemas atau aksesori yang tiada kaitan dengan tuntutan Bersih 2.0 / Bersihkan Pilihanraya.
6. Jangan bawa sebarang banner, placard, bendera yang melambangkan logo parti dan organisasi. 
7. Sebarang slogan yang tiada kaitan dengan tuntutan Bersih 2.0 tidak dibenarkan. 
8. Jangan bawa sebarang benda tajam kecuali pen. 
9. Jangan bawa bahan-bahan yang boleh meletup atau mudah terbakar seperti, mancis, molotov cocktail dan mercun. 
10. Tidak dibenarkan merokok semasa perhimpunan kerana akan menganggu orang lain. 
11. Jangan bawa sebarang senjata seperti kayu, besi, rantai besi, pistol dan yang merbahaya. 
12. Bagi yang membawa anak-anak, anda tidak dibenarkan membawa permainan yang berupa seperti senjata seperti pistol, senapang atau pisau mainan. 
13. Jangan bawa anak-anak yang berumur 10 tahun ke bawah bagi mengelakkan sebarang masalah. 


*Perkara yang perlu anda lakukan sebelum perhimpunan* 
1. Servis kenderaan dan periksa peralatan yang perlu dibawa. 
2. Jangan makan atau minum terlalu banyak sebelum perhimpunan. 
3. Pastikan anda telah menunaikan 'hajat' sebelum memasuki perhimpunan. 
4. Bagi yang Islam, Lakukanlah solat taubat dan hajat, semoga Allah berkati perhimpunan ini dan yang bukan Islam boleh berdoa mengikut ritual masing-masing. 
5. Pastikan anda telah mengunci rumah atau meninggalkan pesanan-pesanan penting kepada keluarga atau jiran anda yang tidak pergi perhimpunan. 
6. Maklumkan mereka tujuan anda keluar. 
7. Maklumkan mereka nombor telefon sahabat lain yang bersama anda jika handphone anda tidak dapat dihubungi nanti. 
8. Jangan lupa *charge*bateri handphone dan kamera. 
9. Pastikan anda tahu arah tuju anda iaitu tempat berkumpul yang ditetapkan -- Sogo, DBKL, & Masjid Kg Baru
10. Pastikan anda datang awal untuk elakkan kesesakan jalan raya atau terpaksa berbaris panjang untuk beli tiket tren LRT atau Komuter. 
11. Datang secara berkumpulan, jangan bersendirian. 
12. Sekiranya perjalanan anda dihalang dari memasuki pusat bandar anda boleh meletakkan kenderaan dan berjalan kaki ke Sogo, DBKL, & Masjid Kg Baru(Jangan terus ke Istana Negara bersendirian). 
13. Jangan memakai baju Bersih 2.0 sebelum perhimpunan bermula. 

*Semasa perhimpunan dan perarakan* 
14. Berkumpul di tempat pertemuan yang ditetapkan Sogo, DBKL, & Masjid Kg Baru
dan tunggu arahan dari *Field Commander* yang dilantik. 
1. Ikutilah arahan dari Unit Amal atau *Field Commander* sepanjang program. Jangan pedulikan arahan lain tanpa merujuk kepada *Field Commander* 
2. Jangan berganjak dari tempat perhimpunan melainkan dengan arahan *Field Commander*. 
3. Laporkan pada Unit Amal bertugas jika terlihat sesuatu yang mencurigakan. 
4. Jangan tolak menolak sepanjang perhimpunan dan perarakan. 
5. Elakkan mencerca, memaki hamun atau menunjukkan isyarat lucah semasa perhimpunan berlaku. 
6. Raikan perhimpunan ini dengan aman dan harmoni. 
7. Pastikan anda memberikan keutamaan laluan kepada kenderaan yang lalu lalang dan tidak melintas sesuka hati dijalanraya. 
8. Pastikan anda memberikan keutamaan, membantu dan melindungi warga emas, orang kurang upaya atau kanak-kanak yang hadir bersama. 
9. Maklumkan sahabat anda jika anda ingin keluar dari perhimpunan disebabkan hal kecemasan atau kerana ingin ke tandas bagi mengelakan masalah lain. 
10. Pastikan anda dapat duduk semasa pimpinan berucap. 
11. Pastikan anda tidak bersembang semasa pimpinan berucap kerana kemungkinan bunyi *sound system* akan tenggelam dengan suara ratusan ribu peserta. 
12. Ikutilah laungan pimpinan jika perlu. 
13. Pegang bendera Malaysia atau negeri anda sepanjang perarakan. 
14. Jangan buang sampah merata-rata sepanjang perhimpunan. Masukan dalam beg plastik yang anda bawa. 
15. Rakamkan suasana himpunan - gambar-gambar atau klip video boleh dihantar kepada kami selepas himpunan di email Setiausaha Bersih 2.0 H/P: 0162208784; Email: bersih2.0electoral@gmail.com
16. Kalau boleh rakamkan sekali wajah-wajah polis yang bertugas atau tragedi-tragedi penting seperti keganasan atau provokasi Polis jika ada. 

*Selepas perhimpunan* 
1. Pastikan anda bersurai secara perlahan-lahan dan dengan aman selepas diberikan arahan bersurai. 
2. Pastikan sahabat atau saudara dan anak-anak anda ada bersama selepas perhimpunan. Jika tiada, sila laporkan ___________________________________[KL LAC?]
3. Jika ada sahabat atau saudara anda ditahan, jangan terus balik. 
Dapatkan maklumat ___________________________ berkaitan untuk bebaskan mereka. 
4. Jangan tinggalkan apa-apa sampah ditempat perhimpunan. Pastikan semuanya dibuang ke tong sampah atau dibawa balik dan dibuang dirumah. 
5. Berikan ucapan terima kasih kepada pasukan Keselamatan bertugas jika perhimpunan berjalan lancar. 
6. Jangan lupa sebarkan gambar dan berita perhimpunan kepada semua sahabat-sahabat terutamanya yang tidak hadir. Segala info dan maklumat bolehlah diemailkan kepada kami di email Setiausaha Bersih 2.0 H/P: 0162208784; Email: bersih2.0electoral@gmail.com.

*Apa anda perlu buat jika kumpulan Anti-tuntutan Bersih 2.0 buat Provokasi* 
1. Jangan pedulikan mereka, diam dan teruskan mengikut arahan *Field Commander* Unit Amal. 
2. Jangan menyahut provokasi mereka, jangan baling apa-apa, jangan tunjukkan isyarat apa-apa pada mereka. Anggap mereka tidak wujud pada hari berkenaan. 
3. Jangan hampiri mereka. 
4. Jika mereka bertindak agreasif secara tiba-tiba, tahan, jangan pukul tetapi serahkan mereka pada pihak Polis. 
5. Jangan lupa buat laporan Polis terhadap mereka jika anda dicederakan atau diganggu. 
6. Buat rakaman wajah-wajah mereka jika perlu. 

*Apa anda perlu buat jika polis buat provokasi dan serbuan* 
1. Jangan lari atau keluar dari perhimpunan melainkan dengan arahan pimpinan, anda akan mudah ditangkap jika keluar dahulu. 
2. Jangan bersendirian, pastikan anda bergandingan tangan dan berdiri rapat-rapat bila polis acah nak buat serbuan atau tembakan water canon. 
3. Duduk jika pimpinan arahkan. 
4. Basahkan tuala anda dengan sedikit air, dan tekup dimuka bila gas pemedih mata dilepaskan. Basuh muka anda dengan air dan makan sedikit garam jika terkena air *water canon* berwarna kuning. 
5. Jangan melawan atau cuba bertikam lidah dengan polis bila mereka provoke…hanya diamkan diri. 
6. Ambil gambar mereka jika sempat. 
7. Buat laporan Polis jika anda dikasari. 

*Apa yang anda perlu buat jika ditahan* 
1. Jangan banyak cakap dengan polis. Diamkan dan tenangkan diri. 
2. Minta nama dan nombor polis yang menahan anda dan tanya dia sebab anda ditahan, seksyen berapa yang digunakan. 
3. Berikan maklumat asas sahaja jika diminta seperti nama, no kad pengenalan, alamat rumah (berikan ikut alamat dalam IC sahaja). 
4. Jika mereka tanya soal pekerjaan, jawap yang ringkas sahaja. Jangan bagi maklumat yang lengkap. 
5. Bagi pelajar, jika mereka tanya anda masih belajar atau tidak, anda hanya perlu jawab "Masih tengah cari kerja" atau berikan jawapan lain yang sesuai. Elakkan mengaku sebagai student. Biar mereka siasat sendiri jika mereka perlukan maklumat lanjut. Jangan jawab soalan yang tidak perlu. 
6. Bagi kakitangan Kerajaan jika mereka tanya tempat kerja anda, jawab 
”Saya kerja swasta atau kerja sendiri”. Biar mereka siasat sendiri jika mereka perlukan maklumat lanjut. Jangan jawab soalan yang tidak perlu. 
7. Minta berjumpa dengan peguam sebelum beri apa-apa keterangan. Peguam akan menunggu diluar balai jika anda ditahan. 
8. Kalau boleh jangan beri terlalu banyak keterangan, anda hanya perlu jawab "saya akan bagi keterangan di Mahkamah sahaja". Ingat! Apa yang anda cakap di Balai Polis boleh dijadikan bahan bukti di Mahkamah. Anda berhak untuk tidak memberikan sebarang keterangan kepada Polis melainkan di Mahkamah. 
9. Semasa ditahan, jangan pedulikan provokasi polis atau jangan mudah cair bila mereka berlembut. 
10. Pastikan anda ingat semua yang berlaku, termasuklah pegawai polis yang tahan dan soal siasat anda. 
11. Jangan terlalu risau kerana, diluar balai telah disediakan orang-orang yang akan jamin dan bela anda. 

*Apa yang anda buat selepas dibebaskan* 
1. Pastikan semua barang-barang anda dikembalikan oleh Polis. 
2. Buat pemeriksaan kesihatan jika ada kecederaan. 
3. Buat laporan Polis jika anda dikasari semasa perhimpunan atau semasa ditahan. 
4. Ceritakan dan rakamkan pada peguam dan media jika anda dianiaya polis. 
5. Jangan lupa catatkan semua yang anda ingat bila balik ke rumah untuk memudahkan anda mengingatinya bila dibawa ke Mahkamah kelak. 
6. Pastikan anda ingat dan ambil nombor perhubungan orang yang jamin anda dan juga peguam yang terlibat.
7. Serahkan pada peguam segala maklumat dan gambar yang anda ada tentang himpunan bagi memudahkan pembelaan. 
8. Jangan lupa solat sunnat syukur selepas dibebaskan dan kembalilah bertemu dengan sahabat-sahabat seperjuangan. 
9. Jangan menyepi dari perjuangan selepas melalui pengalaman ditangkap kerana itu secara semulajadi akan menyebabkan motivasi anda akan menjadi lemah dan anda akan rasa keseorangan. 
10. Teruskan perjuangan bersama sahabat-sahabat lain. 
11. Sesungguhnya anda akan rasa lebih hebat dan berani lagi selepas ditangkap kerana tidak semua orang berpeluang merasai apa yang anda lalui ketika ditahan. 

*Perhatian!* 
1. Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kesalahan atau pelanggaran undang-undang yang tidak ada kena mengena dengan perhimpunan ini. 
2. Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang provokasi atau tindakan ganas yang dilakukan oleh mana-mana pihak secara berkumpulan atau individu. 
3. Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kecederaan yang disebabkan oleh kecuaian atau tindakan diluarkan arahan penganjur. 
4. Pihak kami tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang penangkapan yang dibuat kerana pergaduhan atau aktiviti agreasif yang tiada kaitan dengan arahan himpunan ini 

Secara keseluruhannya, kita berharap Perhimpunan ini dapat berjalan lancar tanpa adanya sebarang masalah atau tangkapan. 

Kita berharap agar dengan sedikit usaha dan kehadiran kita ini akan dapat memberikan kesedaran kepada pihak SPR dan kerajaan persekutuan mempergunakan kuasa yang ada untuk memperbaiki kelemahan sistem perundangan dan proces implementasi negara kita. 

Ingat, Himpunan Bersih berjaya pada 10 November 2007 kerana kesungguhan rakyat. Maka, kini adalah masa untuk kita berjuang bersama untuk mereformasikan pilihanraya, mengkukuhkan berbadanan institusi dan hentikan korupsi. 

Pastikan anda mengikuti arahan-arahan yang diberikan. Sebarang masalah anda boleh rujuk kepada *Field Commander* atau Unit Amal yang bertugas pada perhimpunan ini. 

Ingatlah, peristiwa ini adalah peluang untuk anda sekali seumur hidup dan ianya akan kekal menjadi sejarah yang akan menjadi sebutan kepada anak cucu kita. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian dari sejarah ini.

ISRAK & MIKRAJ

Sebelum Israk dan Mikraj

Rasulullah S.A.W. mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika'il. Hati Baginda S.A.W.. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman.ke dalam dada Rasulullah S.A.W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu.

Semasa Israk ( Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa ):

Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah S.A.W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.
ii. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah;
iii. Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa A.S. dilahirkan);

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S.A.W. menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :

§ Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S.A.W. dibertahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

§ Tempat yang berbau harum. Rasulullah S.A.W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Mayitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).

§ Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

§ Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebeis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

§ Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.

§ Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.

§ Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

§ Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

§ Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

§ Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

§ Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

§ Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S.A.W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.

§ Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat. ----------------------------------------- Salam Israk mikraj..;-)

Sunday, June 12, 2011

Lagi Surat Terbuka Dato' Mat Zain Ibrahim Untuk Perdana Menteri

Mat Zain bin Ibrahim,
10hb.Jun 2011.
Kepada;
YAB Dato Seri Mohd.Najib Tun Abdul Razak,
Perdana Menteri Malaysia,
Jabatan Perdana Menteri,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Dengan Tangan
62152 Putrajaya,
Wilayah Persekutuan.
Yang Amat Berhormat Dato Seri,
PERANAN PEGUAM NEGARA DALAM SKANDAL MAS.
Assalamualaikum wbt.
1. Saya muncul kali ini untuk, menarik perhatian YAB kepada pengumuman yang dibuat oleh Tan Sri Dr.Hadenan Abdul Jalil pada 31.5.2011 yang “membersihkan” Tan Sri Abdul Gani Patail, Peguam Negara sekali lagi, daripada sebarang salah laku jenayah,berkaitan pemergiannya menunaikan Haji di-Mekah, bersama-sama dengan seorang Shahidan Shafie yang dikatakan seorang proxy kepada Tan Sri Tajuddin Ramli.
2. Saya menyatakan bahawa tindakan Tan Sri Hadenan sedemikian itu, adalah tidak teratur serta tidak mengikut peraturan Undang-Undang sedia ada.Ini memandangkan beliau, sama ada secara persendirian atau sebagai sifat Pengerusi Operation Review Panel MACC tidak mempunyai sebarang kuasa atau hak mengikut Perlembagaan atau mana-mana Undang-Undang,untuk menyemak apa-apa keputusan yang dibuat oleh Pendakwa Raya atau SPRM sendiri.
3. Untuk penekanan yang lebih jelas,saya sertakan salinan surat Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) bertarikh 23.7.2009, menyentuh bidangkuasa mereka,yang ditanda tangani sendiri oleh YA Bhg.Tun Abdul Hamid bin Haji Mohamad,Pengerusi LPPR dengan maksudnya berpenerangan sendiri.
4. Sekiranya Jawatankuasa induk LPPR yang diperngerusikan oleh seorang mantan Ketua Hakim Negara, telah mengesahkan bahawa mereka sendiri TIDAK mempunyai kuasa menyemak keputusan yang dibuat oleh Pendakwa Raya atau SPRM,maka persoalannya ialah;darimana pula Tan Sri Hadenan memperolehi kuasa beliau untuk membersihkan Gani Patail.Selain itu Tan Sri Hadenan sendiri dipercayai telah menerima surat rayuan saya bertarikh 15.4.2009 dialamatkan kepada LPPR dan dipercayai juga, telah mengambil pendirian secara kolektif sepertimana jawapan Pengerusi LPPR bertarikh 23.7.2009 tersebut.
5. Pada pendapat saya persoalan sama ada Tan Sri Hadenan serta Ahli-Ahli jawatankuasa beliau berpuas hati atau sebaliknya, berkaitan siasatan SPRM itu tidak timbul,memandangkan beliau tidak ada kuasa untuk berbuat apa-apa sekalipun beliau tidak berpuas hati.Malahan Tan Sri Hadenan sendiri telah membuat kenyataan umum, bahawa Operations Review Panel (ORP) tidak terlibat didalam sebarang proses penyiasatan SPRM memandangkan ORP bukan sebagai sebahagian organisasi SPRM melainkan sekadar mewakili orang ramai sahaja,sepertimana yang dilaporkan oleh Bernama pada 12.11.2009. Beliau membuat kenyataan ini ketika mengesahkan akan menghantar peromohan ORP kepada Peguam Negara untuk mendapatkan kebenaran bertulis meneliti kes berkaitan V.K.Lingam.Saya sendiri tidak nampak apa yang ORP boleh buat dengan kes berkenaan oleh kerana ORP tidak mempunyai kuasa penyiasatan atau pendakwaan ataupun kuasa dan hak menyemak semula apa apa keputusan yang dibuat oleh SPRM atau Pendakwa Raya.
6. Seterusnya saya berpendapat bahawa tindakan Tan Sri Hadenan membuat pengumuman berkaitan pemergian Peguam Negara ke-Mekah sedemikian itu, sekadar merupakan suatu eksesais “white-washing” yang tidak teratur dan sia-sia,bertujuan untuk menyelamatkan Gani Patail daripada dikenakan hukuman jenayah, berdasarkan daripada penerangan yang saya berikan diatas dan juga hujah lanjutan dalam perenggan-perenggan yang akan menyusul selepas ini.
7. Antara dakwaan utama yang dibuat terhadap Gani Patail berkaitan isu pemergiannya ke-Mekah itu,ialah beliau didapati bersekongkol dengan seorang En.Shahidan Shafie yang dikatakan sebagai seorang proxy kepada Tan Sri Tajuddin Ramli (TRI) yang sedang menghadapi penyiasatan SPRM berkaitan skandal MAS.Hubungan erat antara Gani Patail dengan Shahidan seperti ahli keluarga didakwa telah mempengaruhi Gani Patail untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap TRI.
8. Saya menyatakan bahawa Shahidan bukan sekadar seorangproxy biasa kepada TRI.Malah Shahidan mempunyai liabiliti penjenayahannya yang tersendiri dalam Skandal MAS tersebut, berasingan dengan liabiliti jenayah TRI.Dakwaan ini dapat dilihat dengan jelas dalam laporan kepada SPRM yang dibuat oleh En.Shahari bin Sulaiman Pengarah Urusan MASKargo Sdn Bhd.sebuah anak syarikat MAS pada 20.5.2009.Untuk kemudahan rujukan,saya lampirkan salinan laporan berkenaan yang pernah disiarkan kepada umum oleh blog Malaysia Today sekitar bulan Ogos 2010.
9. Siapa Shahidan,apa hubungan beliau dengan TRI dan apa peranan yang dimainkan oleh Shahidan, dilaporkan secara teratur dan kemas dalam laporan berkenaan.Begitu juga dengan peranan dan tanggungan liabiliti jenayah oleh individu-individu lain yang dinamakan dalam laporan sama.Kredibiliti laporan oleh MAS tersebut tidak boleh dipertikaikan memandangkan terdapat wakil Kerajaan dalam Lembaga Pengarah MAS sendiri. Malahan laporan dari MAS itu seharusnya dianggap sebagai laporan daripada Kerajaan.Kerugian terkumpul RM 8 Billion akibat Skandal MAS itu juga wajar dianggap sebagai pendedahan oleh Kerajaan sendiri.
10. Pada 15 Disember 2010,Tan Sri Hadenan telah membuat pengumuman bahawa Skandal MAS tersebut masih dalam siasatan SPRM setelah muncul keterangan dan saksi-saksi baru.Pengumuman ini telah disiarkan secara meluas oleh media MSM dan alternatif.Ini bermakna status TRI ialah beliau masih dalam siasatan.Begitu juga dengan status setiap seorang yang dinamakan dalam laporan MAS tersebut.Ini juga bermakna bahawa status Shahidan dalam Skandal MAS ini juga, adalah beliau masih dalam siasatan SPRM.
11. Persoalannya ialah adakah wajar,Gani Patail seorang Peguam Negara yang masih berhidmat dilihat sebagai bersekongkol dengan Shahidan, seorang yang masih dalam siasatan serious SPRM, yang mana hasil siasatannya kelak, dipertimbangkan oleh Jabatan Peguam Negara yang diketuai oleh Gani Patail sendiri.Mampukah SPRM atau Jabatan Peguam Negara bertindak berkecuali serta memberikan pertimbangan yang adil dan saksama dalam kes ini sedangkan skandal ini melibatkan kerugian melebihi RM 8 Billion wang Rakyat.
12. Ketika membuat pengumuman pada 31.5.2011 itu pula,Tan Sri Hadenan tidak langsung menyebut berkaitan status Shahidan dalam penyiasatan SPRM ataupun mengesahkan sama ada Gani Patail dan keluarganya benar telah pergi dan tinggal bersama dengan Shahidan ketika di-Mekah ,walapun fakta ini adalah fakta material dalam penyiasatan.Sekiranya Tan Sri Hadenan mengharapkan untuk menemui rekod transaksi kewangan antara TRI atau Shahidan didalam akaun persendirian Gani Patail,maka itu seolah mengharapkan bulan jatuh keriba.Sama ada beliau sedar atau tidak,Tan Sri Hadenan boleh disifatkan telah menyembunyikan sesuatu fakta material yang boleh dianggap sebagai suatu perdayaan sepertimana yang ditakrifkan dalam Kanun Keseksaan.
13. Perkara utama dalam isu ini, tidak lain daripada mempertimbangkan tingkah laku atau conduct Gani Patail.Sama ada sebagai seorang Peguam Negara,sepadan atau tidak, beliau bersekongkol secara terang-terang dengan seorang yang sedang dalam penyiasatan pihak berkuasa kerana didakwa terlibat dalam suatu skandal besar melibatkan wang Rakyat.Apabila ianya melibatkan isu conduct seorang Peguam Negara yang sedang berhidmat,maka pihak yang mempunyai kuasa atau hak mengadilinya, hanyalah sebuah Tribunal yang dilantik oleh SPB Yang Di-Pertuan Agong setelah dinasihatkan oleh Perdana Menteri, sepertimana yang sedia ada secara spesifiknya dalam Artikel 125 (3) dibaca bersama Artikel 145 (6) Perlembagaan.Saya yakin saya tidak perlu menjelaskan perkara ini lebih lanjut lagi memandangkan Kerajaan sendiri pernah menghadapi situasi serupa dalam isu conduct mantan Ketua Hakim Negara, YA.Bhg.Tun Salleh Abbas.
14. Seorang Peguam Negara yang berwibawa dan mempuyai kredibiliti tidak tercemar, akan mempertahankan hak dan keistimewaan jawatan beliau yang sedia diperuntukkan dalam Perlembagaan.Beliau tidak akan sama sekali membenarkan, mana-mana pihak yang tidak berkenaan, sewenang-wenangnya mengadili atau meneliti perihal conduct beliau sepertimana yang pernah dicabar oleh Tun Salleh Abbas suatu ketika dahulu.Malangnya Gani Patail yang kita kenali, sanggup merelakan dirinya diadili oleh sesiapa jua asalkan pihak berkenaan sanggup mengistiharkan secara umum, bahawa beliau bebas daripada sebarang salah laku jenayah.Sekiranya Gani Patail tidak mampu dan berani mempertahankan hak dan keistimewaan jawatan beliau sendiri,maka bagaimanakah Rakyat boleh mengharapkan beliau menjadi pelindung serta mempertahankan hak kesamarataan Rakyat dari sudut Perlembagaan dan undang-undang Negara.
15. Walaubagaimanapun perkara yang ,menarik dalam laporan Pengarah Urusan MASKargo itu ialah; “modus operandi” (M.O.) yang diamalkan oleh TRI dan lain-lain individu terlibat dalam Skandal MAS tersebut. M.O yang dimaksudkan ialah, “membuat perjanjian/konrak jangka panjang yang berat sebelah”. M.O sebegini dikatakan telah diamalkan oleh TRI dalam beberapa perjanjian/kontrak sejak beliau mengambil alih MAS dari tahun 1994 sehingga 2001 yang menyebabkan kerugian terkumpul lebih daripada RM 8 Billion.
15.1. Rakyat juga kini mendapat tahu bahawa Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga dilaporkan telah menandatangani beberapa perjanjian/kontrak jangka panjang yang berat sebelah dengan beberapa Penjanakuasa Bebas (IPP),yang mengakibatkan Rakyat menanggung kerugian lingkungan RM 20 Billion.
15.2. Begitu juga dalam hal skandal kewangan Syarikat Perwaja Steel, dimana beberapa perjanjian/kontrak jangka panjang yang berat sebelah telah dibuat dengan beberapa Syarikat dalam dan Luar Negara yang mengakibatkan dana Rakyat sekitar RM 4 Billion lesap.
16. Secara kebetulan pula ketiga-tiga “skandal kewangan” ini berlaku atau bermula antara tahun 1994 hingga tahun 1996.Tidak salah jika demi kepentingan Rakyat, Kerajaan meneliti semula kesemua perjanjian/kontrak yang dikatakan berat sebelah itu memandangkan terdapat keserupaan dalam M.O yang digunakan oleh ketiga-tiga Syarikat terlibat untuk mencari “common factor”yang mungkin boleh ditemui jika penyiasatannya dilakukan dengan teliti.Kita tidak boleh mengenepikan kemungkinan mendapati orang atau kumpulan orang-orang yang menyediakan terma-terma perjanjian/kontrak berkenaan terdiri dari kumpulan orang yang sama.Kajian kriminologis telah membuktikan bahawa pencuri,perompak dan penipu lazimnya akan mengamalkan M.O yang sama setiap kali melakukan jenayah kerana itu adalah kelebihan atau kemahiran mereka.
16.1. Saya percaya eksesais ini berbaloi memandangkan kerugian yang Rakyat telah tanggung melebihi RM 30 Billion.Mungkin Rakyat sendiri tidak dapat membayangkan nikmat dan kemudahan yang mereka akan rasai jika wang sebanyak itu telah dibelanjakan untuk kepentingan mereka.
17. Boleh dikatakan tahun 1994 hingga 1996 merupakan suatu tempoh bila mana “skandal-skandal” dan kontroversi menggemparkan Negara berlaku atau bermula.Selain daripada skandal kewangan melibatkan MAS,TNB dan Perwaja Steel yang telah dibincangkan dalam perenggan diatas, beberapa peristiwa menarik perhatian umum yang saya masih ingat antaranya;
17.1. Beberapa orang Menteri Kanan dan Ketua Menteri didedahkan melakukan salahgunakuasa dan rasuah melibatkan ratusan juta Ringgit.
17.2. Pendedahan percutian mantan Ketua Hakim Negara Tun Eusuff Chin dan keluarga ke New Zealand bersama VK Lingam dan keluarga.
17.3. Pendedahan percutian Peguam Negara Allahyarham Tan Sri Mohtar Abdullah dengan VK Lingam dan ahli perniagaan Vincent Tan ke-Italy/Spain.
17.4. Rompakan terbesar dalam sejarah Negara berlaku di-gudang MASKargo, Terminal B Lapangan Terbang Subang dalam bulan Ogos 1994.Dalam kejadian ini kumpulan “Geng Mamak” terdiri daripada kumpulan 6 adik-beradik berasal dari Kuala Kangsar,Perak telah melakukan rompakan nekad, 300 ketul jongkong emas bernilai RM 10 juta.Kami mengenalpasti Geng Mamak yang melakukan rompakkan ini berdasarkan daripada kajian M.O mereka.
18. Kecuali kes rompakan 300 jongkong emas di-MASKargo itu,peristiwa-peristiwa lain yang disebutkan diatas masih lagi diperbualkan dan dibahaskan sehingga hari ini.Mungkin kerana kerugian lebih RM 30 Billion itu adalah terlalu besar untuk Rakyat berdiam diri atau memaafkan sesiapa juga yang terlibat mengakibatkan kerugian sebanyak itu yang menyebabkan sebilangan besar Rakyat menderita selama itu.
19. Dalam tempuh 1994 hingga 1996 itu juga,Gani Patail turut sibuk memainkan peranannya menutup kes atau membenamkan maklumat yang melibatkan Menteri-Menteri atau Ketua Menteri berkaitan yang boleh dibuktikan sebagai telah melakukan salahguna kuasa dan rasuah.Tidak ketinggalan juga berkaitan kes Perwaja dan kemudiannya yang berkaitan dengan TRI.
20. Berbalik kepada perkara eksesais membersihkan Gani Patail daripada sebarang salahlaku jenayah pada 31.5.2011 itu, bukanlah kali pertama SPRM lakukan. Bukan sahaja keputusan ini sudah dijangkakan,malahan Rakyat telah sampai ketahap meluat dengan tindak-tanduk SPRM yang tidak putus-putus berbohong, semata-mata untuk menyelamatkan Gani Patail daripada dikenakan hukuman jenayah. Rakyat telah hilang keyakinan terhadap SPRM sehinggakan apa juga kebaikkan dan kejayaan yang dipamirkan oleh SPRM dianggap sebagai sandiwara untuk mengabui mata Rakyat semata-mata.
21. Padahalnya, Operasi 3B yang SPRM lancarkan 2 bulan lalu, yang menghasilkan kejayaan cemerlang, patut diberi pujian dan sepatutnya mampu mengembalikan maruah SPRM yang telah tercemar.Bukan mudah untuk mencapai kejayaan sedemikian itu,melainkan operasinya dirancang dan dilaksanakan dengan tahap professionalisma yang tinggi dan kerahsiaan maklumat yang ketat, yang diamalkan oleh setiap seorang Pegawai dan angguta terlibat dalam operasi tersebut. Malangnya segala usaha mereka dianggap sebagai sandiwara semata-mata.Namun kita tidak boleh menyalahkan Rakyat kerana mereka mempunyai sebab untuk membentuk persepsi sedemikian.
22. Walaubagaimanapun dalam hal ini hanya SPRM sahaja yang berhak memilih jalan terbaik untuk mereka.Sama ada mereka terus memilih untuk melindungi Gani Patail seorang dan sanggup membiarkan Rakyat terus mengecam mereka, ataupun mereka memilih mempertahankan nama baik dan maruah organisasi dan setiap seorang warga SPRM dan keluarga mereka.Saya yakin Yang Amat Berhormat tidak keberatan membantu mereka.
Selamat sejahtera.Wassalam.
Terima kasih,
Yang benar,
(MAT ZAIN IBRAHIM)