Friday, April 29, 2011

Nabi Muhammad SAW tidak guna al-Mubahalah menghadapi fitnah seks ..!

SILA KLIK DISINI..

http://www.youtube.com/watch?v=fk6Wfe22QcY&feature=youtu.be

"Sepanjang kisah tersebut berlaku, selama 40 hari (ada yang mengatakan 3 bulan), tapi....sepanjang peristiwa itu, lihatlah dari mana-mana sumber Islam, tafsir (atau) hadis, Nabi (Muhammad SAW) tidak menggunakan cara al-Mubahalah, nabi tidak minta Ai'syah bersumpah dan tidak sesiapa pun meminta Safwan bersumpah,"tegas Dr. Haron Din

Friday, April 22, 2011

Surat dari bekas Ketua CID KL kepada Ketua Polis Negara

Mat Zain Ibrahim
18hb.April 2011

Kepada;

YDH Tan Sri Haji Ismail Hj.Omar,
Ketua Polis Negara,
Polis Di-Raja Malaysia, Melalui:Email dan Dengan Tangan
Bukit Aman,
50560 Kuala Lumpur,
Email:iho@rmp.gov.my

YDH Tan Sri,

SIASATAN VIDEO SEKS 2011-PERSAMAAN DAN PERBEZAAN DENGAN VIDEO SEKS PERTAMA 1999.

1. Sepertimana juga sebilangan besar rakyat,saya turut mengikuti perkembangan penyiasatan Polis berkaitan isu video seks menerusi MSM dan juga media alternatif yang akan masuk minggu ke-empat.Berdasarkan kepada komen-komen mereka yang berpeluang membuatnya,menampakkan ramai yang mempersoalkan hala tuju penyiasatan Polis. Malah ramai yang membantah secara lantang pendirian Polis yang dikatakan jelas kelihatan berat sebelah terhadap satu pihak yang bertelagah dalam isu ini.

2. Saya jemput Tan Sri merujuk kepada Surat Terbuka saya bertarikh 28 March 2011 yang kemudiannya dibahaskan diParlimen. Saya mengekalkan dan mengulangi kenyataan-kenyataan saya dalam Surat Terbuka tersebut,serta mengambil kandungannya sebagai sebahagian dan lanjutan kepada surat ini.Saya mengekalkan pendirian saya bahawa isu video lucah ini adalah merupakan pertembungan peribadi antara Rahim Thamby Chik dan Anwar Ibrahim.

3. Saya yakin Polis mampu mengambil pendirian yang professional dan berkecuali menangani siasatan ini,serta memberikan pendengaran yang adil kepada kedua- dua belah pihak,sambil memberikan mereka “gelanggang yang samarata”(level playing field),untuk membuktikan kebenaran masing-masing.

4. Bukan menjadi hasrat saya mencampuri siasatan Polis,namun begitu sebagai seorang pesara Polis yang berpeluang menangani isu-isu yang berkaitan dengan Anwar dan Rahim serta beberapa kenamaan lain ketika dalam perhidmatan,saya rasa terpanggil untuk mendedahkan maklumat-maklumat yang saya percaya dapat membantu siasatan.

4.1. Saya dapati ada beberapa perkara mustahak yang ada hubungkait dengan siasatan isu video lucah ini,tetapi tidak diumumkan kepada rakyat yang boleh mengelirukan persepsi mereka.Saya berharap ketinggalan ini adalah disebabkan Polis terlepas pandang dan bukannya dengan sengaja atau curang menyembunyikan fakta-fakta mustahak demikian.

VIDEO SEKS PERTAMA 1999.

5. Saya percaya sebilangan besar rakyat malahan warga Polis sendiri tidak sedar dan mungkin akan terkejut bila mengetahui keujudan Video Seks Pertama yang kononnya dikatakan melibatkan Anwar juga,yang diedarkan dalam tahun 1999.Pengedaran video seks ini disekitar Bandaraya Kuala Lumpur berlaku pada 24 dan 25 November 1999 beberapa hari sebelum Pilihanraya Umum ke-10 yang diadakan pada 29 November 1999.

5.1. Terdapat dua video seks yang diedarkan serentak. Iaitu satu berjudul “Siapa Anwar” manakala yang satu lagi berjudul “Skandal Seks Mat Sabu” (merujuk kepada Mohamed Sabu seorang pemimpin PAS).Bagi maksud eksesais ini saya akan ketepikan video Skandal Seks Mat Sabu, memandangkan isu beliau tidak berkaitan dengan penyiasatan yang sedang berjalan sekarang.

5.2. Beberapa ramai orang awam dari sekitar Kuala Lumpur yang menemui video-video ini yang dikatakan ditinggalkan dihadapan rumah atau pejabat atau lain-lain premis,tampil membuat laporan masing-masing dan menyerahkan video-video berkenaan kepada Polis.Antara mereka adalah seorang Encik Mohd.Zainuddin Arman dan seorang Encik Onn Abu Bakar.Antara report Polis yang berkaitan ialah Ceras Rpt No:19068/99 dan Sungai Besi Rpt No:5894/99 bertarikh 25.11.1999.Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur telah membuka satu kertas siasatan berkaitan kes ini dengan kesemua laporan-laporan yang diterima di-“cross refer” kepada laporan Pertama seperti yang lazimnya.KJSJ Kuala Lumpur ada membuat kenyataan akhbar mengesahkan menerima laporan-laporan dan video-video tersebut, serta memperakukan yang kes berkenaan sedang dalam siasatan Polis.

5.3. Saya sendiri telah melihat video-video tersebut sekurang-kurangnya dua kali. Pertama kali adalah bersama dengan beberapa Pegawai Kanan JSJ Kuala Lumpur bagi menentukan klasifikasi penyiasatan yang betul.Kali kedua bersama mantan Datuk Bandar Kuala Lumpur ketika itu, dipejabat KJSJ setelah YBhg. Tan Sri Datuk Bandar terbaca berita mengenai edaran video ini diakhbar. Setakat yang saya masih ingat, antara kandungan Video Seks Pertama 1999 ini, terdapat juga rakaman perbualan telefon antara seorang lelaki yang dikatakan Anwar dengan seorang teman wanitanya.

5.4. Penyiasatan JSJ Kuala Lumpur berjaya mengesan dan mengenalpasti “sumber” Video Seks Pertama 1999.Bagaimanapun gagal untuk mengenalpasti orang atau orang-orang yang bertanggungjawab dengan pengedarannya kepada umum. Namun begitu pengedarannya dipercayai bermotifkan politik bersandarkan ianya dibuat beberapa hari sahaja sebelum Pilihanraya Umum ke-10.Sepanjang yang saya ingat tidak ada pihak yang mengaku bertanggung jawab mengedarkan video seks berkenaan.

5.5. Selain itu,tidak dapat disahkan sama ada pengadu-pengadu yang tampil membuat report mengenai penemuan Video Seks Pertama ini, telah membuat salinan untuk simpanan mereka sendiri atau sebaliknya,sebelum menyerahkan kepada Polis. Beberapa orang pengadu dikenalpasti sebagai ahli Parti Keadilan.

VIDEO SEKS KEDUA 2011.

6. Memandangkan Kumpulan yang menggelar diri mereka Datuk T,terdiri daripada Rahim,Shuib dan Eskay telah membuat pengakuan secara terbuka dan mengambil tanggung jawab diatas penemuan dan penayangan video lucah (akan dirujuk sebagai Video Seks Kedua 2011) kepada beberapa ramai pemberita di-Carcosa Seri Negara pada 21 March 2011,maka beberapa perbandingan dan persoalan boleh ditimbulkan berkaitan kedua-dua video seks ini.Saya berpendapat penyiasatan lanjut berkaitan Video Seks Kedua 2011 wajib mengambilkira keujudan dan keadaan berkaitan Video Seks Pertama 1999.Terdapat “nexus” antara kedua Video Seks ini.

Antara persoalannya adalah seperti berikut:-

6.1. Adakah Video Seks Pertama itu juga tulen sepertimana Video Seks Kedua yang ketulenannya telah diistiharkan secara rasmi.

6.2. Adakah kandungan adegan-adegan dalam Video Seks Pertama, sama ada sepenuhnya atau sebahagian daripadanya terdapat juga dalam Video Seks Kedua.

6.3. Adakah identity lelaki dalam Video Seks Kedua yang Polis telah istiharkan boleh dikenalpasti secara positif itu, lelaki yang sama dalam Video Seks Pertama.

6.4. Adakah rakaman suara lelaki dalam Video Seks Pertama itu milik lelaki yang dikatakan boleh dikenalpasti dalam Video Seks Kedua.

6.5. Adakah rakaman suara wanita dalam Video Seks Pertama itu milik wanita yang dikatakan telah dikenalpasti dalam Video Seks Kedua .

6.7. Adakah lokasi pengambaran Video Seks Pertama itu sama dengan lokasi pengambaran Video Seks Kedua.

6.8. Adakah Rahim,Shuib dan Eskay terlibat atau mempunyai apa-apa peranan dalam
pembikinan atau pengedaran Video Seks Pertama 1999, memandangkan ketiga-tiga mereka dilaporkan telah mengenali dan mempunyai sesuatu hubungan dengan Anwar.Lebih-lebih lagi Rahim yang dipercayai mempunyai sebab untuk menyimpan dendam terhadap Anwar oleh kerana Anwar telah membuat laporan Polis membabitkan salahlaku jenayah dan perbuatan rasuah Rahim bersabit Tun.H.S.Lee Rpt:22517/99 pada 20.8.1999.Iaitu lebih kurang 3 bulan sebelum Video Seks Pertama diedarkan kepada umum pada 24/25 November 1999.

7. Selain daripada laporan Polis melibatkan Rahim,Anwar juga telah membuat 3 laporan berasingan melibatkan beberapa orang kenamaan lain beberapa bulan sebelum pengedaran Video Seks Pertama itu,seperti berikut;

7.1. Dang Wang Rpt:20255/99 bertarikh 9.7.1999.Laporan ini mendakwa Perdana Menteri,Peguam Negara dan Gani Patail telah menyalahgunakan kuasa kerana tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap Datuk Seri Rafidah Aziz, atas sifat Menteri MITI, telah dengan secara rasuah memberikan saham kepada menantunya.

7.2. Tun H.S.Lee Rpt:19625/99 bertarikh 21.7.1999.Laporan ini mendakwa Perdana Menteri menyalahgunakan kuasanya dengan menghalang tindakan undang-undang terhadap Tan Sri Eric Chia (mendiang), yang telah dikatakan melakukan penyelewengan dan rasuah menyebabkan Kumpulan Perwaja mengalami kerugian RM 2.7 billion.

7.3. Tun H.S.Lee Rpt:20455/99 bertarikh 30.7.1999.Laporan ini mendakwa Perdana Menteri menyalahgunakan kuasa dengan melindungi perbuatan rasuah Tun Daim Zainuddin.Dalam laporan ini juga Anwar membuat dakwaan khusus terhadap Tun Daim yang dikatakan telah mengumpul harta peribadi secara rasuah bernilai ratusan juta ringgit. Anwar turut menyertakan tiga surat perakuan oleh individu berlainan selaku penyimpan dan pemegang amanah harta bagi pihak Tun Daim. Mereka yang dimaksudkan ialah; Tan Sri Abdul Halim Saad sebagai pemegang amanah saham-saham dalam Syarikat Senarai Awam bernilai lebih kurang RM 150 juta.Tan Sri Wan Azmi Wan Hamzah sebagai pemegang tunai berjumlah RM 150 juta. dan Tan Sri Tajuddin Ramli sebagai pemegang tunai RM 70 juta.

8. KJSJ Kuala Lumpur memberi perhatian kepada laporan-laporan yang dibuat oleh Anwar seperti diatas memandangkan dokumen-dokumen bukti yang Anwar kemukakan dengan tiap satu laporan beliau,telah diperolehinya ketika beliau masih memegang jawatan dalam Kerajaan sebagai Timbalan Perdana Menteri.Laporan-laporan beliau diterima sebagai dibuat oleh seorang mantan Timbalan PM dan bukan sebagai seorang individu bernama “Anwar”.

8.1. Sama ada pendedahan yang beliau buat seperti diatas telah menyebabkan individu-individu terlibat atau orang-orang sekeliling mereka marah dan menyimpan dendam terhadap Anwar tidak diketahui tetapi tidak boleh diketepikan.

SUMPAH PALSU RAHIM BUAT KEPADA PERDANA MENTERI.

9. Satu diantara 4 kesalahan jenayah yang pihak BPR dan Jabatan Peguam Negara sahkan mempunyai keterangan “prima-facie” terhadap Rahim ialah; kerana membuat satu Akuan Statutori Palsu (atau dalam bahasa yang mudah;”Angkat Sumpah Palsu”), suatu kesalahan yang boleh dihukum dibawah Seksyen 193 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara 7 tahun jika disabitkan kesalahannya.Akuan palsu ini dikatakan dibuat kepada Perdana Menteri dan di-Jabatan Perdana Menteri ketika itu.

9.1. Persoalan yang boleh ditimbulkan dalam situasi ini adalah; sama ada keterangan Rahim dalam siasatan Video Seks Kedua, boleh diterima pakai sepenuhnya, memandangkan Rahim telah sanggup sehingga mengangkat sumpah palsu kepada Perdana Menteri dan Kerajaan untuk menyembunyikan kesalahan-kesalahan jenayah yang beliau telah lakukan seperti yang dilaporkan oleh BPR sedemikian itu.Jika demikian,kesanggupan Rahim memberi kesaksian palsu dalam siasatan Video Seks Kedua tidak boleh diperkecilkan.

9.2. Walaubagaimanapun saya berpendapat “benefit of the doubts” wajar diberi kepada Rahim berkaitan penglibatannya dalam Video Seks Kedua.Saya sarankan siasatan wajar dijalankan sama ada Rahim telah dihasut,dipaksa atau diugut untuk mendapatkan apa-apa keterangan dengan apa cara sekalipun untuk mensabitkan sesuatu kesalahan jenayah terhadap Anwar;sebagai balasan Peguam Negara kepada Rahim yang tidak dituduh atas beberapa kesalahan salahguna kuasa,rasuah dan membuat akuan statutory palsu.

9.3. Kemungkinan ini tidak boleh diketepikan begitu sahaja.Ini memandangkan Peguam Negara,Gani Patail antara 26.10.1998 hingga 21.12.1998 telah dengan cara yang menyalahi undang-undang mendapatkan seorang Dr. Abdul Rahman Yusof menyediakan tiga laporan perubatan palsu terhadap Anwar dalam siasatan kes mata-lebam.Dipercayai sebagai balasannya, Dr.Rahman tidak dikenakan apa apa pertuduhan oleh Gani Patail dalam kes ugutan jenayah terhadap Dr.Rahman. Salahlaku jenayah Gani Patail sedemikian itu beserta dengan bukti-bukti yang tidak disangkal adalah dalam pengetahuan persendirian YAB Perdana Menteri sejak dua-setengah tahun yang lalu.

JAM TANGAN OMEGA

10. Pada pendapat saya,sekiranya penyiasatan kes Video Seks Kedua ini dikekalkan dibawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan semata-mata,maka penyiasatan lanjut untuk mengesan pemilik Jam Tangan Omega tersebut adalah tidak relevan serta melampaui keperluan “ingredients” yang wajib dibuktikan dibawah Seksyen 292 KK tersebut.

10.1. Dengan itu izinkan saya menyarankan supaya Pegawai Penyiasat kes melebarkan klasifikasi penyiasatan kepada Seksyen 192 Kanun Keseksaan iaitu, mereka keterangan palsu. Saya sarankan supaya Pegawai Penyiasat memfokuskan perhatian kepada misalan-misalan yang sedia ujud sekian lama,sepertimana diperturunkan dibawah.

Seksyen 192 Kanun Keseksaan.

Misalan-Misalan.
(a)A memasukkan barang-barang kedalam sebuah peti kepunyaan Z, dengan niat supaya barang-barang itu boleh dijumpai dalam peti itu,dan supaya keadaan ini boleh menyebabkan Z disabitkan atas kesalahan mencuri. A telah mereka keterangan palsu.

(English version)
(a)A puts jewels into a box belonging to Z,with the intention that they may be found in that box,and that this circumstance may cause Z to be convicted of theft.A has fabricated false evidence.

10.2. Berdasarkan kenyataan Eskay sendiri kepada media cara bagaimana Jam Tangan Omega tersebut sampai ketangan beliau,serta mengambil kira hubungan akrab beliau dengan Anwar, serta motif Eskay mendedahkan video seks berkenaan, tidak keterlaluan untuk saya berpendapat bahawa misalan (a) dalam Seksyen 192 Kanun Keseksaan tersebut, mungkin adalah relevan.

10.3. Pada pendapat saya beban bukti yang jam Omega tersebut tidak diperlakukan sepertimana misalan yang tersebut diatas kini terletak dibahu Eskay dan bukan pemilik berdaftar jam Omega tersebut.

10.4. Berdasarkan kepada keadaan yang mengelilingi Video Seks Kedua ini,saya berpendapat bahawa terdapat kewajaran untuk melebarkan siasatan meliputi pembuktian kes dibawah Seksyen 192 Kanun Keseksaan.Ini sebagai peringatan kepada orang ramai akan betapa seriousnya perbuatan mereka keterangan palsu dan kesan jangka panjangnya terhadap Sistem Keadilan Jenayah kita.

PENYELESAIAN ISU “ONCE AND FOR ALL”

11. Ada kalanya kita harus berani melakukan sesuatu yang luar biasa untuk menyelesaikan sesuatu masaalah “once and for all”.Asalkan tindakan-tindakan yang diambil tidak menyalahi undang-undang Negara dan Hukum Syariah atau melanggar paraturan moral.Sekiranya kita tersesat jalan, tidak salah kita berpatah balik kepangkalnya untuk mencari jalan yang betul.

11.1. Selama lebih 12 tahun pemikiran rakyat telah bergelumang dan diracuni serta dicemari dengan isu-isu yang berkisar dengan seks luar nikah dan seks luar tabii,seolah-olah tidak ada perkara yang lebih penting daripada itu untuk rakyat fikirkan.Malahan pemain-pemain utama yang terlibat dalam kekalutan ini juga berkisar diantara beberapa individu sahaja yang nama-nama mereka hampir kesemuanya terdapat dalam surat kecil ini.

11.2. Sebelum kita tersasar lebih jauh,tidak salah untuk kita dibawa berpatah balik kepangkal jalan, untuk meneliti semula peristiwa lampau bagi mencari penyelesaian yang ideal dan membuat keputusan siapa yang benar dan siapa yang patut dipersalahkan kerana telah menyebabkan kegusaran dan kekeliruan dikalangan rakyat.Saya mencadangkan tindakan-tindakan berikut;

TAYANGKAN VIDEO SEKS PERTAMA 1999 KEPADA UMUM.

12. Saya menjangka akan dikecam membuat cadangan ini. Percayalah, saya yang menyelia penyiasatan kes ini dan ingatan saya masih segar akan apa yang terkandung dalam video tersebut. Video tersebut tidak mengandungi adegan- adegan seksual seperti dalam “blue film” yang mungkin sesetengah orang harapkan. Kandungan keseluruhannya pada pendapat saya tidak tergulung sebagai bahan lucah sepertimana tafsiran dalam Seksyen 292 Kanun Keseksaan. Tayangannya kepada umum juga pada pendapat saya tidak menyalahi mana-mana undang-undang Am atau Syariah.

12.1. Sepanjang yang saya ingat, kandungan Video yang dibertajuk “Siapa Anwar” lebih berbentuk documentary yang menggambarkan kisah hidup seksual Anwar. Video ini juga mendedahkan gambar-gambar lokasi/bilik hotel dimana Anwar dikatakan sering kunjungi untuk melakukan aktibiti seks luar nikah atau luar tabii beliau. Turut dimuatkan dalam video ini adalah rakaman perbualan telefon antara seorang lelaki yang dikatakan Anwar dengan teman wanitanya dan bercakap mengenai seks. Video ini disunting sedemikian rupa yang sesuai digunakan untuk meyakinkan penuntun bahawa Anwar adalah seorang yang tidak bermoral dan tidak layak dan sesuai untuk menjadi pemimpin, lebih-lebih lagi kepada Masyarakat Melayu yang beragama Islam.

12.2. Saya yakin selepas rakyat diberi peluang menuntun video ini,khasnya orang-orang Melayu, mereka boleh membuat keputusan masing-masing, sama ada Anwar benar-benar seorang yang tidak mempunyai moral untuk layak menjadi pemimpin dan Perdana Menteri seperti yang cuba digambarkan, ataupun video tersebut telah direkacipta oleh musuh-musuh peribadi dan politik Anwar bertujuan memfitnah dan membunuh karier politik beliau,ataupun kerana membalas dendam akibat pendedahan Anwar berkaitan dengan penyalahgunaan kuasa dan rasuah pemimpim-pemimpin tertentu sepertimana yang disebutkan dalam perenggan 6.8 dan 7 diatas.Sekiranya anggapan yang terkemudian ini yang betul,maka tindakan undang-undang yang setimpal terhadap individu yang melakukan jenayah tersebut hendaklah dilaksanakan tanpa lengah lagi without fear or favour.

PENUTUP.

13. Lebih cepat kita menyelesaikan isu ini,lebih baik untuk rakyat jelata.Selamat maju jaya dan selamat sejahtera.


Yang benar,
(Mat Zain Ibrahim)
18 April 2011


Sk.
SUPM (untuk makluman KPN dan T/KPN)

Kes Sarbaini: Keluarga tak puas hati, nak tahu ‘kisah sebenar’

April 22, 2011
Keluarga Ahmad Sarbaini tidak puas hati dengan hasil siasatan polis. — Foto oleh Jack Ooi
KUALA LUMPUR, 22 April — Keluarga Allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamed tidak berpuas hati dengan hasil siasatan polis sambil mendakwa ia tidak dibuat secara menyeluruh untuk mengetahui sebab-sebab kematian penolong pengarah Kastam Diraja Malaysia itu. Sebaliknya, ketika dihubungi The Malaysian Insider, sumber yang rapat dengan keluarga Ahmad Sarbaini berkata pihaknya mempersoalkan hasil siasatan polis kerana ia tidak dibuat secara menyeluruh selain nampaknya mahu “menyembunyikan” sesuatu daripada diketahui umum.
“Keluarga mempersoalkan kenapa hasil siasatan tidak begitu menyeluruh, macam nak sorokkan sesuatu... bila sudah jadi macam ini, cuba pula nak sorokkan sesuatu.
“Kami sekeluarga tertanya-tanya adakah cerita ini akan habis begini sahaja, kami memang tidak berpuas hati dengan hasil siasatan dan kami tetap nak tahu apa yang terjadi, kami nak tahu kisah sebenar,” katanya.
Kata sumber itu, keluarga Ahmad Sarbaini sedia maklum punca kematian adalah jatuh dari bahagian tinggi tetapi apa yang dipersoalkan adalah bagaimana dia boleh jatuh sehingga membawa kepada kematian bapa lima anak itu.
“Kami sekeluarga tetap mempersoalkannya, siasatan macam tak begitu menyeluruh... kami memang tahu Allahyarham jatuh dari tempat tinggi tapi atas sebab apa dia jatuh? Sebab apa dia mati, sebab apa yang saya tahu kebiasaannya kalau jatuh dari tingkat tiga dia mungkin hanya akan patah-patah sahaja tapi ini sampai mati (meninggal dunia) pula.
“Sebab itu kami nak tahu apa yang terjadi, sebab apa dia jatuh? Adakah benar dia jatuh dari tingkat tiga dengan sindiri atau ditolak dari atas?
“Kami nak tahu semuanya, kami memang tidak puas hati dan kami nak tahu cerita yang sebenarnya,” tambah sumber itu.
Ditanya mengenai kemungkinan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan kelalaian serta mahu membersihkan dakwaan kononnya Ahmad Sarbaini membunuh diri sebagaimana dikatakan sebelum ini, sumber itu berkata, ia akan dibincangan bersama keluarga terdekat.
“Kami akan bincangkan dulu perkara ini, nanti akan dimaklumkan kemudian,” jawabnya ringkas.
Semalam polis berkata kematian Ahmad Sarbaini disebabkan kecederaan pada bahagian kepala selepas jatuh daripada bahagian tinggi bangunan SPRM.
Justeru kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Zulkifli Abdullah, kini terserah kepada Peguam Negara untuk menentukan tindakan susulan.
“(Dengan ini) saya minta semua spekulasi dihentikan kerana siasatan sudah dilengkapkan.
“Kertas siasatan akan dihantar kepada Pejabat Peguam Negeri minggu ini atau paling lewat minggu depan,” katanya.
Kata beliau, siasatan menunjukkan ia adalah kematian mengejut dan tiada elemen jenayah terlibat buat masa sekarang.
Zulkifli juga berkata punca kematian ditentukan selepas siasatan terperinci membabitkan pelbagai pihak termasuk polis, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia dan Jabatan Kimia.
Minggu lalu, keluarga Ahmad Sarbaini memberitahu The Malaysian Insider bahawa berkemungkinan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap SPRM jika hasil siasatan polis tidak memihak keluarga pegawai kastam itu.
Ahmad Sarbaini ditemui mati di aras satu pejabat SPRM Wilayah Persekutuan 6 April lalu.
Dia merupakan salah seorang daripada 62 pegawai kastam yang menjadi tumpuan Operasi 3B kendalian SPRM dan beberapa agensi kerajaan yang lain.
Kematian Ahmad Sarbaini merupakan kejadian kedua dalam dua tahun ini membabitkan premis SPRM. Kes kematian Teoh Beng Hock, yang ditemui jatuh dari Plaza Masalam, yang menempatkan pejabat SPRM Selangor pada Julai 2009, masih disiasat oleh suruhanjaya diraja.

Monday, April 18, 2011

Ulama gesa pemimpin Muslim elak politik fitnah

April 17, 2011
KUALA LUMPUR, 17 April — Golongan ulama hari ini membuat pendirian menggesa pemimpin-pemimpin Islam mengelak daripada terlibat dalam politik fitnah atas alasan ia bertentangan dengan Islam dan boleh mengaibkan orang lain.
Anggota gerakan Saf Anti Fitnah (SAF) mendakwa ahli-ahli politik terlalu ghairah untuk menggunakan fitnah lucah terhadap pesaing-pesaing politik mereka.
Kata mereka, dakwaan palsu bukan sahaja membawa impak buruk ke atas soal maruah mangsa, malah ke atas keseluruhan masyarakat.

Jurucakap SAF, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, media mempunyai peranan besar dalam menghentikan penyebaran fitnah sedemikian.
“Media khususnya media arus perdana harus mengelak daripada terlibat dalam budaya fitnah menjatuh dan mengaibkan seseorang sama ada menerusi berita ataupun temu bual.

“Media juga seharusnya tidak bersubahat dalam menyebarkan fitnah dan mencetuskan keraguan di kalangan masyarakat Islam,” kata beliau pada satu forum yang diadakan di sebuah masjid di Ampang.
Malah kata beliau, media juga seharusnya mengamalkan prinsip kewartawanan yang beretika dan profesional.
Mohd Azmi juga menafikan pemimpin-pemimpin agama mengambil sikap membisu dalam isu berkaitan video seks, yang didedahkan “Datuk T”, yang lelaki dalam aksi seks adalah mirip seorang pemimpin kanan Pakatan Rakyat.

Sebaliknya kata beliau, media tidak membolehkan pihaknya memberi pandangan mereka.
“Mereka yang membenarkan dan tidak mengatakan apa-apa mengecam fitnah juga bersalah tidur atas katil syaitan,” katanya.
Rakaman video seks itu didedahkan oleh “Datuk T” oleh bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan bekas bendahari Perkasa Datuk Shuiab Lazim tiga bulan lalu.

Laporan media hari ini juga menyebut siasatan rakaman video aksi seks, didedahkan “Datuk T” itu, mengikut Akta Kanun Keseksaan kerana kesalahan mengedar bahan lucah telah siap.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata laporan lengkap siasatan itu akan diserah kepada Pejabat Peguam Negara pada bila-bila masa dari sekarang untuk tindakan selanjutnya.
Dalam pada itu, bekas mufti Wilayah Persekutuan Datuk Hashim Yahya berkata, Nabi Muhammad s.a.w berkata mereka yang terlibat dalam fitnah bukan sebahagian daripada komuniti Islam.

“Adalah sesuatu yang mengarut apabila beliau (Abdul Rahim) mengatakan yang beliau mendedahkan video seks demi kebaikan masyarakat. Ia menunjukkan bahawa beliau tidak faham Islam,” katanya.
Presiden Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Datuk Sheikh Abdul Halim Abdul Kadir juga menekankan bahawa rakaman video tidak boleh digunakan di mahkamah syariah memandangkan soal ketulenan boleh dipersoalkan.

“Tidak pernah video atau foto digunakan sebagai bukti dalam tuduhan berzina. Malah, penggunaan DNA juga tiada konsensus di kalangan ulama.
“Secara peribadi, DNA hanya dibenarkan jika ujian makmal dikendalikan oleh seorang Muslim yang alim,” katanya lagi.

Tuesday, April 12, 2011

SARAWAK SELEPAS 48 TAHUN DIBAWAH BN....



Mengupas serba sedikit mengenai keadaan ekonomi Sarawak hari ini selama 48 tahun di bawah pemerintahan BN.

·       Selepas 48 tahun di bawah BN, baru sekarang BN bercadang untuk menjadikan Sarawak negeri terkaya di Malaysia. Ini sungguh menyedihkan kerana walaupun Sarawak sememangnya negeri terkaya dari aspek sumber asli dan keluasan tanah, namun Sarawak adalah negeri keempat termiskin di Malaysia.

·       TPM baru2 ini kata BN telah berjaya menurunkan kadar kemiskinan di Sarawak ke sekitar 3% akan tetapi saya ingin mengingatkan hadirin sekalian bahawa “kejayaan” ini adalah berdasarkan pendapatan garis kemiskinan (PGI) atau definisi kemiskinan yang tidak mencerminkan sama sekali realiti. Menurut kaedah yang digunapakai dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh, satu isirumah dengan 5 orang anggota di Sarawak hanya akan dikategorikan sebagai miskin jika pendapatan bulanan secara purata adalah kurang daripada RM912. 

Bayangkan apa yang boleh dibelanjakan dengan pendapatan sebanyak itu untuk hidup selesa pada zaman yang penuh mencabar ini. Saya yakin kalau kita naikkan pandapatan garis kemiskinan ini kepada RM2,000 yakni paras pada hemat saya paling realistik sebagai kayu pengukur kemiskinan hari ini, kadar kemiskinan Sarawak sudah tentu akan berada di sekitar 20%-30%.       

·       Peluang pekerjaan sangat terhad di Sarawak walaupun di bandar besar. Kalau ada pun, pendapatan adalah rendah, sangat jauh lebih rendah daripada apa yang diterima di Semenanjung. Saya diberitahu rata-rata pekerja kilang di sekitar Kuching hanya mendapat lebih kurang RM400 sebulan yang saya yakin tidak mencukupi untuk menampung keperluan hidup seseorang tambahan pula dengan kenaikan kos sara hidup sejak akhir2 akibat kenaikan mendadak harga barangan keperluan harian. 

·       Sarawak ada banyak sungai yang besar dan panjang serta empangan tetapi rakyatnya di banyak kawasan terpaksa menadah air hujan untuk bekalan air walhal Selangor, negeri termaju di Malaysia, rakyatnya dapat bekalan air percuma bagi 20 meter padu pertama

Dengan Pakatan, InsyaAllah, hak rakyat Sarawak sebanyak 20% sebagai royalti daripada hasil minyak & gas akan dikembalikan. Kalau sekarang negeri Sarawak hanya berhak mendapat 5% royalti atas hasil minyak & gas yang keluar dari perut buminya sendiri, dengan Kerajaan Pakatan Rakyat yang diterajui oleh Keadilan, rakyat Sarawak akan diberi peluang lebih besar untuk mentadbir hasil sumber aslinya terutamanya minyak & gas.

Kenaikan royalti ini daripada 5% kepada 20% inilah yang akan membiayai penubuhan Dana Pembasmian Kemiskinan sebanyak RM1 bilion untuk menangani masalah rakyat di bawah paras kemiskinan seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Rakyat untuk Sarawak. Dengan royalti hasil minyak & gas yang lebih tinggi ini juga Kerajaan Pakatan Rakyat di Sarawak bercadang membiayai:

·       Bantuan pendaftaran kerakyatan rakyat tempatan Sarawak
·       Sumbangan RM200 untuk setiap anak-anak masuk darjah satu
·       Pemberian RM600 untuk warga emas berumur 60 tahun ke atas setiap tahun
·       Pelaburan dalam pembentukan modal insan dan infrastruktur lain termasuk membangunkan prasarana jalur lebar (WiFi) dalam masa 2 tahun

Monday, April 4, 2011

Fitnah Seks Memang Sudah Sekian Lama Didedahkan Al-Quran



SHAH ALAM 3 APRIL : Al Quran bukan buku cerita atau buku sejarah. Ia adalah pedoman dan pembimbing manusia mengenal diri, tanggungjawab dan siapa Tuhannya.

Sebab itu kisah-kisah dalam al Quran harus digarap dan difahami demi mencari pengajaran dan teladan yang boleh dijadikan petunjuk pada semua masa dan persekitaran.

Cerita Nabi Yusuf alaihi salam (a.s.) misalnya, amat relevan dengan kehidupan dahulu, kini dan selamanya.

Ketika mengupas kisah ini dan hubungannya dengan realiti sosial, ekonomi dan politik hari ini, ahli pemikir Dr Sidiq Fadzil menyerlahkan betapa serasinya al Quran ini digunakan untuk umat manusia di Malaysia membaca suhu politik, dan ragam kemanusiaan rakyat serta pemerintahnya.

Beliau menghuraikan bahawa manusia memang sukar menceraikan sikap dan perasaan dengki.
Ia biasa menjeruk jiwa sesiapa dan dalam persekitaran apa jua. Dalam kes Nabi Yusuf a.s, yang dengki kepadanya ialah adik beradiknya sendiri. Alasan dendam dan dengki mereka amat lumrah – berebut kasih sayang. Atau, mungkin juga kerana kekurangan unsur itu dalam diri.

Didorong sifat dengki kerana kononnya Yusuf a.s. kononnya lebih disayangi oleh bapa, Yaakob a.s, mereka pun melakar konspirasi untuk memadamkan kehadiran Yusuf a.s. dalam persekitaran hidup mereka. Kisahnya: Yusuf a.s. dibuang ke dalam telaga.

Di sebalik itu al Quran pun mendedahkan helah manusia (dalam kes ini adik beradik Nabi Yusuf a.s. sendiri) mereka cipta bukti palsu dengan melumur darah kambing pada baju Yusuf dan dikemukakan kepada bapa mereka kononnya adik mereka itu telah dibaham serigala. Kecurangan begini masih berulang hingga hari ini hingga kepada usaha “menanam” DNA sebagai bukti.

Nabi Yusuf ditemui kafilah yang lalu dekat telaga ketika mencari air. Namun gerombolan ini mengambil kesempatan penemuan ini dan menjadikan modal niaga. Yusuf dijual sebagai hamba sahaya. Iktibar daripada ini, kata Dr Sidiq ialah, meskipun menjadi hamba, kemuliaan Yusuf tidak luntur. Dia tetap pilihan Allah.

Maka dikurniakan Yusuf pelbagai keelokkan – rupa diri, syaksiah dan kebijaksanaan yang tinggi. Ini menimbulkan ghairah pelbagai pihak untuk memiliki dan menguasainya.
Maka terjadilah fitnah lebih besar terhadap Yusuf. Meskipun terbukti bukan dia menggoda isteri Al Aziz, majikan Yusuf, bahan fitnah berbaur seks ini menyebabkan lebih ramai yang berkepentingan di Mesir yang mahu Yusuf dipenjara.
Sifat dengki dan dendam kesumat menjadi inti konspirasi. Maka ramailah yang tampil berbohong tentang “kejelekan” peribadi Yusuf dan terperosoklah baginda dalam penjara.

Status banduan tidak melunturkan kemuliaan Nabi Yusuf a.s. Ilmu tamsil mimpi dan sifat abidnya kepada Allah, menjadi jatidirinya. Dia terus jadi pedoman banduan lain dan sentiasa diberi penghormatan dan dimuliakan.
Yang signifikannya ialah apabila Yusuf dapat menafsirkan mimpi raja. Lebih istimewa lagi, Yusuf juga mampu menampilkan pelan induk ekonomi untuk Mesir.
Nasib Yusuf berubah ketika itu. Bukan sahaja ditawarkan kebebasan, tetapi pelan ekonomi Yusuf mendorong Raja memberinya tanggungjawab menguruskan ekonomi negara. Yang mengkagumkan ialah, Yusuf tidak segera menerima tawaran Raja itu.
Nabi Yusud mahu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan untuk menyiasat mengapa beliau dipenjara.

Setelah terbukti nasib malang Yusuf itu berpunca daripada konspirasi yang membabitkan soal seks, dan namanya kemudian dibersihkan, barulah Yusuf menerima tanggungjawab sebagai penguasa ekonomi negara.
Yusuf sedar, di hadapan Allah, tiada guna pangkat atau nama jika soal maruah tidak diutama.

Pengajaran daripada kisah Yusuf ini ialah soal dengki tidak pernah mati dalam diri mana-mana manusia dan tamadun. Yang jadi persoalan ialah bagaimana mengawalnya.
Rentetan itu, soal naluri seks juga tidak pernah lekang daripada jiwa manusia. Maka yang menjadi persoalannya ialah bagaimana pula ia harus dikendali dan jangan dijadikan modal konspirasi sesama insan.

Bayangkan betapa besarnya aib yang menimpa diri ketika usia telah lanjut apabila Suruhanjaya Siasatan Diraja membongkar di depan mata anak cucu bahawa diri terbabit dalam konspirasi seks hanya kerana ketika itu hendak mengekalkan kuasa, kedudukan dan pangkat?

Sifat buruk ini memang ada pada manusia. Sebab itu al Quran diturunkan untuk menjadi pedoman supaya mengelak mengulang kesilapan dan keterlanjuran manusia silam.

Lebih penting daripada itu, kata Dr Sidiq, setiap insan mesti meyakini bahawa ujian ada di mana-mana.
Lebih besar status dan kaliber seseorang itu, maka lebih getirlah ujian yang dihadapinya. Namun paksi ujian ialah bagaimana menundukkan kedengkian sesama insan.

Dan, lebih penting lagi, ialah bagaimana mengenal dan mengelak diri terjerumus dalam sikap kepetualangan itu. Kisah seperti pengalaman Nabi Yusuf menunjukkan betapa tema kedengkian manusia – memadamkan kehadiran saingan dengan cara fitnah dan membunuh serta motif politik bertema rasuah dan seks sentiasa jadi juadah konspirator untuk menundukkan lawan politik mereka; dari zaman ke zaman.

Maka jika kita percaya pada Allah dan sentiasa mengintai kebijaksanaan dan pedoman yang diselitkan dalam kisah-kisah Al Quran, maka tidak mungkin kita gusar akan fitnah dan cabaran dunia ini.
Sebagai tunjang iman, kita percaya balasan Allah akan tetap berlaku terhadap yang memfitnah dan juga yang difitnah. Jika tidak di dunia, orang beriman yakin, di akhirat nanti ada ganjaran dan hukumannya.
Sebab itu Allah menjanjikan Yaumil Masyar, Syurga dan Neraka.