Sunday, July 25, 2010

Mesyuarat MPNWP semalam......


Semalam saya mempengerusikan buat pertama kali Mesyuarat Pimpinan Negeri Wilayah Persekutuan. Walaupun ada wakil rakyat Keadilan yang telah melompat (Wangsa Maju), ada cabang yang agak lemah, dan kegiatan mencari pengundi baru tidak sehebat yang diharapkan, namun sebahagian besar dari aktivis parti masih bersemangat dan mahu terus berjuang untuk keadilan rakyat.

Kita dalam parti pembangkang di Wilayah ini sukar untuk menjalankan aktiviti kerana kami tidak diberi izin oleh DBKL, polis dan sekolah-sekolah untuk mengadakan acara-acara kami -- dewan tidak ada, padang dan ruang tempat awam tidak  diberi permit dan sebagainya.

Demikianlah situasi yang dialami parti pembangkang di Malaysia: kami dianggap oleh kerajaan yang memerintah Pusat sebagai musuh, kami tidak diberi kemudahan yang wajar untuk bergerak walaupun kita pakatan parti politik yang sah.
Sepatutnya parti pembangkang juga mendapat kemudahan ini. Ini sesuatu yang lazim dalam sistem demokrasi berparlimen. Tapi tidak di negara kita.
Walaupun kami mengalami kerumitan  dan sekatan, rakyat tahu yang kita terus memperjuangkan kepentingan mereka.

Sumbangan kami adalah dalam menyuarakan kepentingan rakyat. Kita tidak ada sumber kewangan dan kuasa membina rumah pangsa, membina jalan, meluluskan LRT, atau MRT dan sebagainya. Tetapi rakyat yang tinggal di kota dan di Lembah Kelang meminta persekitaran yang sihat, padang permainan untuk anak-anak mereka, kemudahan-kemudahan asas serta kesihatan setempat yang dijaga rapi.
Mereka tidak mahu pembangunan yang tidak terkawal seperti di Bukit Gasing, keadaan seperti pembinaan LRT dekat rumah penduduk di Putera Perdana dan Alam Heights... dan pelbagai lagi masalah yang terpaksa diharungi rakyat.

Suara ini harus lantang dan kami mesti terus bergerak untuk memperbaiki kualiti hidup wargakota, serta menjaga hak mereka sebagai warga kota.
Dengan usaha yang gigih Wilayah dan Selangor akan  terus menjadi benteng yang kuat untuk Pakatan Rakyat kecuali kawasan “undi Pos”.

Biarlah kami mula berusaha sekarang. Dan kalaulah diberi amanah untuk memerintah Wilayah ini, saya akan pastikan kami akan berlaku adil kepada semua, mahupun kepada parti pembangkang masa itu.
Warga kota menaruh harapan tinggi untuk melihat kejayaan perubahan politik ini. Kami tidak akan mensia-siakan harapan mereka.

http://www.zaiduntukrakyat.com

No comments: