Friday, July 30, 2010

Subsidi dipotong tetapi tidak pada IPP

Baru-baru ini, Petronas merungut kerana terpaksa menanggung beban subsidi gas sejumlah RM116 bilion, malah menyatakan harapannya agar kerajaan menunaikan janji untuk memansuhkan subsidi secara beransur-ansur.
Di samping itu, sementara Perdana Menteri Najib Razak mengumumkan potongan subsidi minyak, gas dan gula, subsidi kepada korporat dikekalkan sebaliknya, memberi manfaat yang terbesar kepada penjana kuasa bebas (IPP).
Sesetengah orang menuding jari terhadap IPP, lantaran daripada double standard yang diamalkan oleh PM Najib dalam isu subsidi.  Dalam satu kenyataan oleh Persatuan IPP pada 21 Julai 2010, mereka menafikan bahawa IPP menerima manfaat daripada subsidi gas, sebaliknya mendakwa bahawa manfaat ini disalurkan kepada pengguna melalui Pass-through mechanism.
Menurut Persatuan IPP, dalam model operasi IPP yang sedia ada, harga gas ditetapkan oleh kerajaan, dan gas ini dibekalkan kepada IPP.  Dalam hal ini, IPP yang menandatangani kontrak dengan TNB (Tenaga Nasional Berhad), hanya berperanan sebagai pembekal eletrik, dan tidak terlibat dalam hal ehwal pengguna.
PPA yang berat sebelah
Bagaimanapun, kenyataan Persatuan IPP ini hanya benar secara luarannya.  Sememangnya IPP tidak memperolehi manfaat kewangan secara langsung daripada subsidi gas ini, tetapi IPP telah mengaut keuntungan yang besar secara tidak langsung daripada subsidi gas ini.  Pada hakikatnya, Perjanjian Pembelian Tenaga (Power Purchase Agreement, PPA) antara kerajaan, TNB dengan IPP menjadi punca kepada mekanisme subsidi ini.
Seandainya dilihat dari struktur sektor bekalan elektrik secara menyeluruh, TNB adalah pembekal elektrik yang utama, dengan kira-kira 60% aset kilang penjana elektrik di Semenanjung Malaysia, dan 55% aset kilang penjana elektrik di seluruh Malaysia.  Sementara itu, IPP menguasai 40% aset kilang penjana elektrik di seluruh Malaysia, di samping 5% yang selebihnya dimiliki SESB di Sabah dan SESCo di Sarawak.
Sektor elektrik merupakan pengguna terbesar dalam pasaran gas semulajadi.  Menurut laporan kewangan Petronas pada tahun 2009, 59.7% gas semulajadi  disalurkan kepada sektor elektrik, dan kira-kira dua pertiga daripadanya pula dibekalkan kepada IPP.  Jikalau dilihat mengikut nisbah, IPP merupakan unit penerima subsidi gas yang terbesar dalam sektor elektrik.
Menurut maklumat daripada laporan kewangan Petronas pada tahun 2007, Petronas telah menanggung beban subsidi gas sebanyak RM58.2 bilion untuk sektor elektrik mulai tahun 1997.  RM27.6 bilion (47%) daripadanya dibekalkan kepada IPP, sementara TNB memperolehi subsidi gas sebanyak RM21.2 bilion (37%).  Malah, RM9.4 bilion (16%) yang selebihnya, dikongsi oleh perusahaan kecil dan sederhana, bidang komersial dan rumah tangga.  Jelas, IPP memperolehi subsidi gas yang tertinggi.
Petronas kini membekalkan gas semula jadi kepada sektor elektrik pada harga RM6.40 per mmBtu (Million Metric British Thermal Units), selepas subsidi.  Menurut harga antarabangsa pada pertengahan Julai, harga pasaran gas semulajadi adalah USD 4.39 atau RM14/mmBtu.  Dengan kata lain, IPP membeli gas semula jadi dengan harga RM7.60 (55%) lebih rendah daripada harga pasaran, selepas subsidi yang sudah tentu tidak kecil angkanya.
Subsidi menguntungkan IPP
Seandainya mengikut kenyataan Persatuan IPP, manfaat daripada subsidi akan dialihkan kepada pengguna melalui Pass-through mechanism.  Pada hakikatnya, keadaan tidak berlaku sebagaimana yang diperkatakan.  Setelah membeli gas semulajadi dengan harga yang lebih rendah dari pasaran, IPP tidak membekalkan elektrik kepada TNB dengan harga rendah, sebagaimana yang dijangkakan.  Sebaliknya, IPP menjual elektrik dengan harga yang lebih tinggi kepada TNB, lantas mengaut keuntungan berganda daripadanya.
TNB terpaksa membeli kuasa elektrik daripada IPP dengan harga yang lebih tinggi, kerana terikat dengan PPA, wahal kos TNB untuk menjana elektrik sendiri jauh lebih rendah daripada kosnya membeli dengan IPP.  Akhirnya, beban peningkatan kos TNB dipindah kepada pengguna, apabila TNB meminta agar kerajaan meluluskan kenaikan harga elektrik.  Dengan kata lain, pengguna bukan sahaja tidak dimanfaatkan daripada subsidi, sebaliknya menanggung kos untuk membeli elektrik daripada IPP.
Lebih-lebih lagi, syarat-syarat yang berat sebelah dalam PPA telah mencungkil pertikaian.  Jeff Rector, seorang pengkaji dari Universiti Stanford di bawah The Program on Energy and Sustainable Development, pernah mengemukakan satu laporan berjudul The IPP Investment Experience in Malaysia pada tahun 2005.  Menurut laporan tersebut, syarat take or pay yang digariskan dalam PPA menyatakan bahawa TNB bertanggungjawab untuk membiayai kuasa elektrik IPP, sama ada bekalan tersebut diperlukan atau tidak.
Menurut laporan ini, kesemua IPP fasa pertama menjana kuasa elektrik dengan gas semulajadi, yang dibekalkan Petronas secara khususnya.  Syarat PPA menyatakan bahawa risiko kenaikan kos gas semulajadi ditanggung sepenuhnya oleh Petronas.  Malah, dalam PPA untuk IPP fasa pertama, bekalan elektrik ditetapkan pada harga antara 13.7 sen dengan 15.5 sen per kilowatt-hour, jelas lebih tinggi daripada kos yang dihasilkan TNB sendiri.
Harga ini ditetapkan dengan mengambil purata anggaran inflasi untuk tempoh 21 tahun.  Maka dengan ini, untuk beberapa tahun pada peringkat awal secara khususnya, IPP akan mengaut keuntungan yang besar, dan keuntungan akan berkurang apabila sampai ke peringkat akhir tempoh 21 tahun ini.  Malah, IPP berpeluang untuk menjelaskan kos permulaannya (modal) pada peringkat awal tempoh 21 tahun ini, dan terus menikmati keuntungan setahun demi setahun kemudiannya.
Selain itu, Jeff Rector mendedahkan bahawa lima buah IPP fasa pertama dijamin dengan pulangan 20%, dalam perjanjian konsesi ini.  Tetapi, IPP ini memperolehi pulangan yang lebih tinggi pada akhirnya.
IPP menjadi beban TNB
Manfaat sebagaimana yang disebut di atas tidak dikecapi oleh IPP fasa kedua, apabila PPA menyatakan bahawa risiko kos kenaikan harga bahan bakar ditanggung bersama oleh TNB dan IPP.  Namun demikian, syarat take or pay tetap dikekalkan, iaitu TNB wajib membeli kuasa elektrik daripada IPP, sama ada perlu atau tidak.  Syarat inilah yang menjurus kepada masalah 40% lebihan kapasiti elektrik (unutilized capacity), yang dihadapi oleh TNB.
Jelas, IPP menjadi beban TNB.  Dalam satu wawancara bersama Business Time, yang disiarkan pada 2 Mac 2009, bekas Ketua Pegawai Kewangan TNB, Izzaddin Idris  berkata, setinggi 80% kos operasi TNB dalam laporan kewangan tahun 2008 digunakan untuk membiayai IPP, perlombongan arang dan gas semulajadi yang dibekalkan Petronas.  Antaranya, RM8.7 bilion digunakan untuk membiayai IPP, dengan RM4.8 bilion daripadanya untuk bekalan elektrik.
Izzaddin Idris berkata, TNB akan memperuntukkan RM5 bilion untuk hasilan kuasa elektrik pada tahun kewangan 2009, dan kos ini dijangka akan bertambah pada masa depan.
Ringkasnya, dalam isu subisidi gas dan bekan elektrik, IPP menjadi penerima manfaat terbesar, sementara Petronas, TNB, kerajaan, malah rakyat perlu menanggung kerugian akibat daripadanya.  Subsidi tidak menguntungkan rakyat, yang sebaliknya perlu menanggung kosnya kerana penyelewengan dalam hasilan elektrik.
*Neo Chee Hua ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina.  Analisa asal dalam edisi bahasa Cina disiarkan pada 23 Julai 2010.  Disedut, diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang.

Sunday, July 25, 2010

Mesyuarat MPNWP semalam......


Semalam saya mempengerusikan buat pertama kali Mesyuarat Pimpinan Negeri Wilayah Persekutuan. Walaupun ada wakil rakyat Keadilan yang telah melompat (Wangsa Maju), ada cabang yang agak lemah, dan kegiatan mencari pengundi baru tidak sehebat yang diharapkan, namun sebahagian besar dari aktivis parti masih bersemangat dan mahu terus berjuang untuk keadilan rakyat.

Kita dalam parti pembangkang di Wilayah ini sukar untuk menjalankan aktiviti kerana kami tidak diberi izin oleh DBKL, polis dan sekolah-sekolah untuk mengadakan acara-acara kami -- dewan tidak ada, padang dan ruang tempat awam tidak  diberi permit dan sebagainya.

Demikianlah situasi yang dialami parti pembangkang di Malaysia: kami dianggap oleh kerajaan yang memerintah Pusat sebagai musuh, kami tidak diberi kemudahan yang wajar untuk bergerak walaupun kita pakatan parti politik yang sah.
Sepatutnya parti pembangkang juga mendapat kemudahan ini. Ini sesuatu yang lazim dalam sistem demokrasi berparlimen. Tapi tidak di negara kita.
Walaupun kami mengalami kerumitan  dan sekatan, rakyat tahu yang kita terus memperjuangkan kepentingan mereka.

Sumbangan kami adalah dalam menyuarakan kepentingan rakyat. Kita tidak ada sumber kewangan dan kuasa membina rumah pangsa, membina jalan, meluluskan LRT, atau MRT dan sebagainya. Tetapi rakyat yang tinggal di kota dan di Lembah Kelang meminta persekitaran yang sihat, padang permainan untuk anak-anak mereka, kemudahan-kemudahan asas serta kesihatan setempat yang dijaga rapi.
Mereka tidak mahu pembangunan yang tidak terkawal seperti di Bukit Gasing, keadaan seperti pembinaan LRT dekat rumah penduduk di Putera Perdana dan Alam Heights... dan pelbagai lagi masalah yang terpaksa diharungi rakyat.

Suara ini harus lantang dan kami mesti terus bergerak untuk memperbaiki kualiti hidup wargakota, serta menjaga hak mereka sebagai warga kota.
Dengan usaha yang gigih Wilayah dan Selangor akan  terus menjadi benteng yang kuat untuk Pakatan Rakyat kecuali kawasan “undi Pos”.

Biarlah kami mula berusaha sekarang. Dan kalaulah diberi amanah untuk memerintah Wilayah ini, saya akan pastikan kami akan berlaku adil kepada semua, mahupun kepada parti pembangkang masa itu.
Warga kota menaruh harapan tinggi untuk melihat kejayaan perubahan politik ini. Kami tidak akan mensia-siakan harapan mereka.

http://www.zaiduntukrakyat.com

Sunday, July 18, 2010

Cerita Harussani Di Sebalik Peristiwa....

"Sekembalinya ke Ipoh, Dato' Seri Harussani menemui Ustaz Ahmad Awang. Ustaz Ahmad berkata beliau tidak akan mahu bekerjasama dengan mereka yang zalim. Bagaimana beliau boleh menganggap sedemikian walhal mereka yang beliau tuduh zalim itu adalah orang Melayu beragama Islam tetapi Ustaz Ahmad lebih bekerjasama dengan orang kafir.

Hasil dari keengganan Ustaz Ahmad adalah senario politik di Perak hari ini. Ikuti luahan pandangan beliau, terhadap beberapa peristiwa yang berlaku di Perak hari ini ..."

Wednesday, July 14, 2010

Tuduhan Utusan-Umno Memakan Diri

Penafian Cable News Network mengundang reaksi Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Rakyat.

Ahli Parlimen Machang Saifuddin Nasution berkata penafian CNN ini membongkar strategi jahat Umno-BN yang terdesak mahu membunuh kerjaya politik Anwar Ibrahim.
" Barangkali UMNO-Barisan Nasional terlupa, sepanjang penglibatan Anwar dalam dunia politik beliau telah dilabel dan ditohmah dengan pelbagai gelaran. Semasa beliau sebagai aktivis belia, beliau dituduh sebagai agen Libya- agen Muammar Gaddafi. Kemudian selepas penyingkirannya dari kerajaan, beliau digelar sebagai pengkhianat negara, itu oleh Tun Dr Mahathir. Pengkhianat ini kalau ikut undang-undang negara hukumnya mati. Kemudian beliau dituduh sebagai agen asing, agen Yahudi, perpecah belah perpaduan Melayu, alat tunggangan kepada DAP dan yang terbaru ialah agen CIA," jelas Saifuddin.

Utusan Malaysia pada 9 Julai lalu memuatkan laporan "Anwar didakwa bayar CNN". Laporan berkenaan berkata penulis mendakwa Anwar telah mengupah Cable News Network untuk mewawancara beliau.
Selang beberapa hari kemudian, pada 11 Julai, Utusan sekali lagi mencetuskan kontroversi. Kali ini memetik penulis blog, Elaine Meinel Supkis yang menurut Utusan mendakwa Anwar adalah alat CIA. 
Namun ujar Saifuddin, dalam keghairahan menyerang peribadi Anwar, malang bagi UMNO-Barisan Nasional senjata telah memakan tuannya.
"Tidak mungkin satu peribadi itu menjadi agen kepada banyak pihak yang berbeda-beda," kata Saifuddin.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad pula melahirkan rasa lucu dengan media milikan kerajaan yang sewenang-wenangnya memetik sumber yang tidak diragui kesahihannya.
Walhal baru-baru ini sahaja kerajaan berhasrat untuk menubuhkan jawatankuasa khusus menangani penyebaran berita palsu.

"Utusan Malaysia ketika memainkan isu ini mengambil dari sebuah blog kononnya, yang dijadikan sebab dan alasan untuk mengambil tindakan terhadap Anwar Ibrahim. 24 jam bertalu-talu media milik BN melabel Anwar talit-barut CIA," kata Zulkefly.

"Bagaimana pula dengan pendedahan-pendedahan yang dibuat pengendali Malaysia-Today, Raja Petra Kamaruddin yang telah lama menyatakan keterlibatan Perdana Menteri dalam kes Altantuya Shaariibuu. Mengapa kerajaan membisu?" tambah beliau.
"Saya kira CNN dan Datuk Seri Anwar perlu menyaman kesemua media-media ini dan peribadi-peribadi yang secara keterlaluan membuat serangan kepada peribadi beliau yang tidak perlu seya sebutkan betapa jelik dan buruknya kecaman-kecaman itu," katanya lagi.

Sementara itu pemimpin lain berpendapat bahawa adanya usaha terancang untuk menyerang keperibadian pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat sebelum Pilihanraya Umum ke-13 diadakan.

"Itu menandakan bahawa apa yang berlaku pada hari ini khususnya apa yang berlaku terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah sesuatu yang dirancang, sesuatu yang mereka cuba ambil kesempatan di atas apa sahaja isu tanpa mereka mengambil kira kebenaran fakta itu," kata Ahli Parlimen Parit Buntar Mujahid Yusuf Rawa.

"BN yang tidak dapat menafikan mereka membayar APCO RM77 juta, mereka tidak dapat menafikan fakta itu," kata Ahli Parlimen Kubang Kerian Salahuddin Ayub.

Anwar: Fitnah Terbaru Utusan Bongkar Rasa Dendam, Benci Mendalam

SHAH ALAM 13 Julai - Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan fitnah terbaru Umno-Barisan terhadap dirinya melalui apparatus propaganda mereka, Utusan Malaysia yang dipintal daripada sebuah blog menunjukkan ketandusan idea dan hilang integriti sebagai sebuah organisasi media yang bebas.
Ketika menghantar komen beliau semasa mengerjakan ibadah umrah di Mekah bersama Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, Anwar berkata kempen fitnah yang dilancarkan Utusan Malaysia sekian lama terhadapnya hanya semata-mata berasaskan dendam dan kebencian.
"Alhamdulillah saya dan Azizah dapat menunaikan ibadat umrah dengan tenang. Doa kami moga umrah mabrur, sa'i mashkur dan amalan solehah.

"Rupa-rupanya tatkala di Makkah al Mukarramah, serangan fitnah bertali arus ditujukan kepada peribadi saya. Namun apa yang baru? Pencak mereka hanyalah fitnah, jika tidak agen Cina, India pastinya tali barut CIA. Khabar ini langsung tidak mengejutkan. Apatah lagi walau Umno-BN punyai dana puluhan juta, kemiskinan idea begitu terserlah apabila mahu memintal fitnah.

"Hanya dengan mengutip tulisan blog Elaine Supkis (kononnya blog terkenal) dan kenyataan seseorang yang bernama Joshua Trevino, Utusan Malaysia milik Umno, tanpa berpandukan etika kewartawanan mulai satu kempen dangkal dan berakarkan kebencian. 
"Terpampang di muka hadapan fitnah 'Anwar Agen CIA'. Pimpinan Umno pula bersahuti-sahutan menyokong. Tidakkah mereka sedar rakyat Malaysia mual untuk disogok dengan berita sedemikian. Hari ini terungkailah segala pembohongan yang dipintal serta dianyam pimpinan Umno yang diketuai Dato' Sri Najib Razak. CNN telahpun mengeluarkan satu kenyataan bahawa organisasi media tersebut tidak menerima sebarang bentuk bayaran dari saya. Kemunculan saya untuk ruang 'Connect The World' merupakan keputusan penerbit program tersebut," jelas  Anwar.

Anwar menegaskan penafian keras yang dibuat CNN mendedahkan perancangan Utusan Malaysia untuk terus merencana fitnah ke atas beliau.

"Penafian CNN bukan sahaja meruntuhkan bongkah penipuan media berhaluan kanan ekstrem seperti New Ledger, namun mendedahkan makar Utusan selaku lidah rasmi Umno yang berusaha memfitnah saya. Malahan organisasi CNN yang berpengkalan di Hong Kong berpandangan adalah janggal mengapa tiada usaha dari pihak Utusan untuk mendapatkan kepastian dari pihak mereka. Namun bagi kita tidaklah mengejutkan kerana mengetahui peranan Utusan yang selama ini sudahpun luluh integritinya sebagai sebuah organisasi yang bebas," kata Ketua Pembangkang lagi.

Friday, July 2, 2010

Anwar Label Khairy Tukang Salak Umno

Oleh Faizal Ezzany
KUALA LUMPUR 1 Julai - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberitahu Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin hanya sebagai tukang 'salak' Umno. 
Anwar juga menambah tindakan Ketua Pemuda itu hanya ingin menarik perhatian pemimpin atasan sahaja.
"Kita pun tidak tahu apa tujuan beliau sebenarnya, sekarang kita lihat beliau menyalak dengan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali," jelasnya.

Anwar yang diminta mengulas tentang kenyataan Khairy pagi tadi berkenaan dengan beliau meminta maaf dengan pemimpin Yahudi semasa di Washington, beliau menjelaskan sepatutnya Khairy tanyakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak siapa yang bayar yuran pengurusan komunikasi bernilai USD22 juta kepada syarikat yang ada kaitan dengan Israel.

"Bukankah kerajaan Umno dan Najib yang bayar. Perkara pokoknya isu Apco.
"Umno juga menggunakan Apco untuk menyerang saya di luar negara, selama ini saya dituduh sebagai agen Yahudi tetapi Umno menggunakan wang rakyat dan diberikan kepada Israel," katanya lagi.
Anwar yang juga memberitahu laporan di dalam Utusan Malaysia adalah satu penipuan besar kerana kenyataan yang dikeluarkan berkenaan dengan dunia sudah hilang kesabaran terhadap Israel tidak dijadikan tajuk utama tetapi menggunakan tajuk yang menyeleweng.
"Tajuk di dalam Utusan Malaysia hari ini jelas penipuan kenapa mereka tidak meletakkan kenyataan bila dunia sudah hilang kesabaran dengan Israel, inilah kerja Apco yang menjadi penasihat tidak berguna kepada Kerajaan. Bayar RM70 juta maka semua itu tidak boleh disebut.
"Jadi atas alasan yang sama TV3 dan RTM tidak akan mengeluarkan kenyataan tersebut. Jadi apa isunya? Pendirian saya tentang Palestin tidak pernah berubah malah saya mengecam dasar yang digunakan Israel.

"Walaupun saya berkawan dengan semua tetapi saya tidak bayar beberapa tokoh Israel untuk mempertahankan saya, Umno lain mereka bayar kerana untuk mendapat pembelaan dari puak-puak Israel. Begitu juga lesen judi, saya tidak pernah luluskan lesen tetapi Umno meluluskanya. Jelaskanlah,? soal Anwar.
Ketua Pembangkang itu memberitahu beliau ke sana kerana diundang oleh Woodrow Wilson Centre untuk satu ucapan dan sudah tentu mesyuarat diadakan bersama dengan kakitangan editor dan juga media antarabangsa.

"Kebanyakan dari mereka dari Amerika dan Yahudi mengatakan tidak adil bila menuduh Israel kejam kerana Zionis mempunyai negara yang adil dan sah. Saya nyatakan itu pendapat mereka tetapi pendapat saya jelas rejim Zionis Israel adalah penjajah dan zalim," tegas Anwar.