Sunday, December 18, 2011

Skandal NFC: Umno mula bercakaran sesama sendiri- Johari

(Oleh: Nabihah Hamid)
 
KUALA LUMPUR 16 Dis: Skandal National Feedlot Corporation (NFC) yang melibatkan keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil jelas memberi tekanan kepada Umno- Barisan Nasional.
Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata, parti itu kini dilihat bercakaran sesama sendiri apabila ada antara pemimpinnya turut mendesak Shahrizat meletakkan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
“Jelas menunjukkan bahawa isu lembu ini bukan direka-reka oleh KEADILAN dan kita juga nak mematahkan hujah Shahrizat yang kata kononnya kita tidak ada kerja lain,”
“Dakwaan KEADILAN jelas bukan fitnah, dan buktinya apabila pemimpin atasan Umno dan pemuda MCA pun pernah menyentuh hal ini. Dalam parti mereka sebenarnya ada rasa tidak puas hati kerana skandal (NFC) ini sampaikan antara mereka bercakaran,” kata Johari.
Semalam, sekitar 80 orang mewakili pelbagai pertubuhan bukan kerajaan menyerbu pejabat Ketua Umno bahagian Cheras Datuk Wira Syed Ali Alhabshee berkaitan kenyataan beliau yang mengumpamakan Shahrizat dan keluarganya “biawak hidup,”
Antara mereka hadir ialah wakil Persatuan Gabungan NGO Malaysia, Persatuan Bekas Tentera Malaysia, National Women Entrepreneurs of Malaysia (Nawem) dan Kelab Sahabat Kebajikan Nusantara.
Shahrizat sebelum ini turut mendapat tekanan dari Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin yang mendesak beliau untuk berundur dari jawatannya.
Malah Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut membuat kenyataan serupa dalam media tempatan.
Skandal NFC mencetuskan kontroversi kepada negara apabila KEADILAN mendedahkan banyak penyalahgunaan wang dari dana RM250 juta yang dilaburkan dalam projek lembu tersebut.
NFC merupakan syarikat menternak lembu kebangsaan yang dimiliki keluarga Shahrizat yang didakwa mengalami kerugian dalam operasinya namun pada masa sama NFC didedahkan membeli dua buah kondominum mewah di Bangsar, membiayai percutian keluarga Shahrizat ke luar negara, dan pakej umrah.
Lebih mengejutkan, NFC didedahkan membeli kereta mewah jenis Mercedes Benz berharga RM534,622 serta dua bidang tanah bernilai RM3,363,507 di Putrajaya.

INILAH GAMBAR TANAH KELUARGA SHARIZAT YANG BERNILAI RM3,363,507 JUTA

Jingga 13  telah mengadakan lawatan ke tanah Sharizat di Presint 10 di Putrajaya..

Tanah seluas dua bidang tersebut dibeli melalui akaun National Meat Lives Corporation (NMLC)  pada tahun 2009 dengan hargaRM3,363,507 juta..

Di sini aku kongsikan beberapa keping gambar lawatan ke tanah tersebut...






Bukti.. plan lot tanah yang dibeli NMLC RM3.4juta..

inilah lot tanah yang di beli NMLC

inilah lot tanah yang di beli NMLC


Sharizat nak menafikan..?

Thursday, November 3, 2011

PERUBAHAN DISEMBER INI...?

"Walau seberapa banyak sekalipun askar, polis atau pengawal istana digaji untuk melindungi dan menjaga tahta, namun tiada satu pun akan dapat mengatasi kehendak dan aspirasi rakyat jelata. Walau seberapa banyak peluru bedil atau peluru meriam sekali pun digunakan, namun tidak satu pun dapat menyekat kemarahan aspirasi rakyat. Jika kehendak rakyat jelata dimakbulkan Allah, maka (berlakulah) perpindahan takhta dari istana ke muzium seni dan budayaSultan Azlan Shah ketika dianugerahkan Doktor Kehormat Undang-undang, di Majlis Konvokesyen, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang pada 29 Jun 1980. 

Monday, October 10, 2011

Najib kemuka belanjawan tidak berwibawa- Anwar



KUALA LUMPUR: Belanjawan yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak berwibawa dan tidak dibuat berasaskan angka unjuran defisit dan pertumbuhan yang tepat.
Menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, perbelanjaan besar RM233.8 bilion seperti yang diumumkan Najib juga tidak mengambilkira penambahan beban hutang rakyat dan negara.
“Unjuran defisit pada angka 4.7 peratus ini adalah tidak tepat dan tanpa wibawa kerana ia bergantung kepada pertumbuhan ekonomi tahun 2011 dan unjuran 2012, serta unjuran jumlah pendapatan negara dalam tahun 2012.
“Unjuran pertumbuhan pada 5 peratus – 6 peratus bagi tahun 2012 perlu dibidas keras kerana ia ternyata terlalu tinggi sedangkan analisa dari sumber-sumber lain menunjukkan pertumbuhan yang lebih rendah,” kata Anwar ketika membahaskan belanjawan 2012 di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Anwar, unjuran pertumbuhan terpilih yang dibuat oleh Bank Dunia ialah 5.7 peratus, MIER (5.5 peratus) dan RHB 4.5 peratus.
Unjuran yang lebih mutakhir, katanya  dibuat  Bank Pembangunan Asia di dalam “Asian Development Outlook 2011” yang diterbitkan pada pertengahan September  lalu yang turut mengambil kira risiko ketidaktentuan ekonomi global.
“Bank Pembangunan Asia mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi tahun 2011 sekadar 4.8 peratus dan hanya menokok kepada 5.1 peratus dalam tahun 2012; jauh berbeza dari angka yang terlalu optimistik yang digunakan Perdana Menteri di dalam Belanjawan 2012 iaitu pertumbuhan di antara 5 peratus hingga 5.5 peratus bagi tahun 2011 dan kekal pada 5 peratus hingga 6 peratus bagi tahun 2012.
“Begitu juga dengan unjuran pendapatan sebanyak RM186.9 bilion. Berdasarkan unjuran pertumbuhan yang lebih perlahan, unjuran pendapatan mendedahkan niat tersirat Barisan Nasional untuk menuntut dividen yang tinggi dari Petronas,” kata Anwar.
Anwar berkata, unjuran-unjuran pertumbuhan ekonomi dan jumlah pendapatan yang terlalu optimistik dan tidak realistik akan memburukkan lagi keadaan defisit negara.
“Pertamanya, ia akan memburukkan lagi keadaan defisit negara kerana dakwaan perdana menteri bahawa belanjawan 2012 akan membawa defisit ke paras 4.7 peratus dari  KDNK adalah tidak benar, selain tidak mengambil kira kecenderongan Barisan Nasional berbelanja lebih dan menyeludup peruntukan baru melalui belanjawan tambahan di pertengahan tahun.
“Keduanya, ia mengenepikan keperluan mendesak untuk mengamalkan disiplin fiskal dan pendekatan berbelanja wang rakyat dengan berhemah, pada kala ia sangat penting demi menjamin kelangsungan kewangan dan pertumbuhan sihat ekonomi negara,” katanya lagi.
Justeru itu, beliau mengingatkan kerajaan Umno-Barisan Nasional bahawa rakyat tidak mudah tertipu dengan hamburan data-data yang digunakan.
“Angka yang dipersembahkan kononnya untuk memberi gambaran bahawa keadaan defisit dan hutang dalam keadaan terkawal, sedangkan kita sedia maklum tabiat  Barisan Nasional membentangkan belanjawan tambahan pada pertengahan tahun.
“Tabiat seperti itu menzahirkan niat sebenar pentadbiran ini untuk membelanjakan dana awam sewenang-wenangnya, seperti yang berlaku pada tahun 2010 dan 2011,” kata Anwar.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=21543

Tuesday, October 4, 2011

RINGKASAN BELANJAWAN 2012

OLEH PAKATAN RAKYAT
  
1. Kesejahteraan Untuk Semua
Belanjawan Kesejahteraan 2012 yang diluncurkan Pakatan Rakyat merupakan suatu permuafakatan merangka masa depan baru bagi Malaysia selari dengan pengikraran Agenda Bersama Disember 2009 dan Buku Jingga, Disember 2010.
Kesejahteraan Untuk Semua hanya boleh dicapai apabila mempunyai iltizam politik membawa reformasi secara menyeluruh terhadap institusi-institusi negara serta dipandu oleh prinsip ketelusan dan tadbir urus yang baik. Kepelbagaian Malaysia merupakan kekuatan kita. Pertumbuhan ekonomi kita bergantung kepada muafakat rakyat tanpa mengira gender, etnik dan agama.
Hanya melalui belanjawan yang responsif kepada gender dan berdasarkan agenda memperkukuh rakyat biasa untuk hidup dengan penuh rasa hormat serta punyai segala peluang akan membolehkan mereka menggunakan segala potensi yang ada dengan penuh semangat. Mengakui tekanan inflasi terhadap rakyat Malaysia. Belanjawan Kesejahteraan 2012 berhasrat pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati semua melalui dasar dan kerangka yang bertujuan meningkatkan pendapatan 60 peratus isi rumah di Malaysia yang  berpendapatan kurang daripada RM 3,000 sebulan.
Pengenalan gaji minima, mengurangkan jumlah pekerja asing tidak terlatih, meningkatkan kemahiran dan produktiviti secara besar-besaran akan memberi faedah kepada tenaga kerja rakyat tempatan. Keutamaan adalah memberi perhatian khusus untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja, maka gaji, kemahiran dan produktiviti juga dapat ditingkatkan.
Mempertingkatkan keupayaan pengangkutan awam, perumahan dan penjagaan kesihatan membolehkan pendapatan boleh guna rakyat yang semakin tinggi. Pendapatan boleh guna yang tinggi akan memberi kesan baik kepada perbelanjaan tempatan; sesuatu yang penting dalam persekitaran global yang semakin tidak stabil.
Monopoli dan oligopoli yang dipecahkan akan meningkatkan persaingan serta membantu ahli perniagaan Malaysia untuk mengurangkan kos. Persaingan akan mengurangkan tekanan inflasi dan menjana lebih banyak pilihan kepada rakyat.


 2. Negara Kaya, Rakyat Miskin?
Malaysia merupakan negara yang kaya dengan sumber. Tetapi bagaimana keuntungan dari sumber alam semulajadi yang banyak dapat diagihkan kepada rakyat Malaysia? Pada masa ini, rakyat tidak menikmati pendapatan yang sepatutnya. Kumpulan terbawah iaitu meliputi 40 peratus keluarga hanya menikmati pendapatan purata RM1,500 sebulan manakala kumpulan pertengahan yang juga meliputi 40 peratus menikmati pendapatan purata RM3,500 sebulan.
Secara keseluruhan 80 peratus keluarga hanya menikmati pendapatan purata RM2,500 sebulan. Dari segi kelayakan, sesuatu yang memeranjatkan, 70 peratus penduduk hanya mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai kelayakan tertinggi manakala dari segi pekerjaan lebih satu pertiga ketua keluarga dalam sektor tidak rasmi. Ia sesuatu yang tidak memeranjatkan dalam ketidaksamaan pendapatan di Malaysia adalah tinggi di mana kumpulan 40 peratus dibawah hanya menikmati pendapatan 15 peratus manakala kumpulan 20 peratus diatas menikmati pendapatan 49 peratus.
Gejala sebuah negara yang terperangkap dengan kelembapan ternyata wujud di Malaysia berikutan dasar yang telah ketinggalan zaman dan pengurusan ekonomi yang lemah hanya mengutamakan sekumpulan individu.
Pada masa ini, apa yang kita lihat,
i) ketidakupayaan sekumpulan besar rakyat yang tidak mampu untuk berhadapan dengan kenaikan kos sara hidup.
ii) jumlah pengangguran di kalangan graduan tempatan yang tinggi dan pada yang sama wujud rungutan majikan mengenai kekurangan kemahiran dan bakat.
iii) perbelanjaan subsidi yang telah melambung naik 10 kali ganda.
iv) pelaburan tempatan dan asing adalah kurang menyebabkan Malaysia satu-satunya negara di ASEAN yang mengalami pengaliran keluar pelaburan asing (FDI) kasar.
Perkara ini tidak membantu apabila pada masa yang sama ekonomi global yang memasuki satu lagi fasa gelora. Keupayaan Amerika Syarikat dan Eropah untuk menjana pertubuhan adalah terhad. Eksport ke negara-negara barat bukan lagi sumber pertumbuhan untuk Asia. Kita perlu mencari sumber baru yang akan memberikan kelebihan.



Belanjawan Kesejahteraan 2012
Belanjawan Kesejahteraan Pakatan Rakyat 2012 menekankan pemerkasaan, peluang dan harga diri untuk seluruh rakyat Malaysia berteraskan kerangka kewangan dan lingkungan yang mampan.  Belanjawan Pakatan Rakyat 2012 menumpukan usaha membangun rakyat Malaysia, bukannya projek mega. Ianya bukan untuk kroni dan mereka yang berkepentingan akan tetapi demi memperkukuh keusahawanan, produktiviti dan kerja yang baik.

3. Perbelanjaan Berhemah
Pakatan Rakyat akan memperuntukkan sejumlah RM 220 billion untuk belanjawan 2012 namun akan memastikan dana tersebut dibelanjakan secara berhemah, bertanggungjawab dan berkesan. Defisit akan dikurangkan kepada 4.4% dari KDNK berbanding 6% pada tahun 2011. Perbezaan itu bersamaan dengan RM 14 billion. 
Pendapatan boleh ditingkatkan tanpa membebankan rakyat dengan memastikan konsesi kerajaan dan permit tidak disalahguna dan disalurkan dengan betul. Sebagai contoh, kita akan memperolehi pendapatan lebihan sekitar RM 1.2 billion sekiranya berjaya menaikkan harga Permit Import (AP).
Menumpukan usaha memastikan dana dibelanjakan secara berhemah dengan memastikan tiadanya ketirisan, pembaziran dan ketidakcekapan. Ini pastinya berjaya meransang lebih dari 20% keuntungan buat rakyat bersamaan dengan jumlah yang sama dibelanjakan. Sebagai contoh Pakatan Rakyat mampu untuk memperuntukkan RM 4.4 billion untuk:
Perkukuh pendidikan. Keseluruhan guru bakal menikmati elaun khas mengajar sejumlah RM 500 sebagaimana yang dijanjikan Buku Jingga.
Gaji minima yang memberi keuntungan buat 300 000 penjawat awam dan kenaikan keseluruhan skala gaji penjawat awam.
Formula dividen yang munasabah akan menggantikan amalan mendesak dividen yang besar jumlahnya dari Petronas. Sungguhpun harga petroleum kini lebih tinggi, dividen untuk 2012 hanya sekitar RM 26 billion, lebih rendah berbanding untuk tahun 2011 berjumlah RM 30 billion.
  
4. Meningkatan Pendapatan
Pakatan Rakyat akan mengutamakan polisi yang inisiatifnya menumpukan untuk meningkatkan tahap pendapatan keluarga dan kemahiran tenaga kerja.
Gaji adalah rendah di Malaysia. Kumpulan terbawah iaitu meliputi 40 peratus keluarga hanya menikmati pendapatan purata RM1,500 sebulan dan gaji rendah ini menyebabkan:
* Bekalan yang banyak untuk tenaga kerja asing tidak terlatih.
* Kekurangan tenaga kerja terlatih.
* Penghalang kepada syarikat swasta untuk meningkatkan produktiviti.
Mengakui bahawa gaji hanya boleh tumbuh secara mampan dengan peningkatan produktiviti, tetapi ia juga adalah satu realiti bahawa mekanisma penentuan gaji tidak berfungsi. Pakatan Rakyat mencadangkan iaitu:
- Gaji minima adalah gaji dasar yang dikuatkuasakan mengikut undang-undang untuk memastikan semua pekerja di peringkat terendah mendapat gaji berperikemanusiaan dan akibat langsung daripada ini, pekerja-pekerja lain akan turut menikmati peningkatan gaji. 
- RM 2 bilion akan diperuntukkan untuk sebuah Tabung Pemudahan (Facilitation Fund) untuk membantu usahawan, pengusaha industri kecil dan sederhana (SME) dan firma-firma kecil untuk memperbaharui peralatan, menjentera dan merubah operasi mereka untuk mewujudkan pekerjaan-pekerjaan baru.
- RM 1.6 bilion akan disalurkan untuk memperluas latihan teknikal dan vokasional untuk mempertingkat kepakaran tenaga kerja.
- 10,000 orang guru akan dilatih dan RM200 juta akan diperuntukkan untuk mengatasi kekurangan guru-guru bahasa Cina, Inggeris, Tamil dan guru-guru agama, serta RM 200 juta akan diberikan dengan serta merta untuk memperbaiki bangunan-bangunan sekolah terutamanya SRJK (C), Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan SRJK (T).





5. Menamatkan monopoli
Pakatan Rakyat akan membawa masuk suatu era baru dengan melaksanakan reformasi dasar-dasar dan peraturan-peraturan sedia ada untuk mengurangkan kos sara hidup, menggalakkan usahawan kecil dan sederhana (SME) serta pelaburan.
- Dasar tender terbuka untuk perolehan kerajaan yang akan memberi ganjaran kepada mereka yang berkebolehan dan bukan mereka yang mempunyai kenalan dalam kerajaan.
- Langkah-langkah sokongan bagi golongan bumiputera dan mereka yang kurang bernasib baik akan menumpukan perhatian untuk menambah daya saing golongan-golongan ini melalui pendidikan, latihan dan bantuan kewangan.
- Suatu Akta Kontrak Awam Tidak Adil akan digubal untuk mengkaji semula konsesi-konsesi dan perjanjian-perjanjian yang dikenalpasti sebagai tidak adil kepada kepentingan umum.
- Mengembalikan tahap profesionalisme dan kemuliaan perkhidmatan awam agar mampu memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat, dari individu ke peniaga kecil hinggalah ke pelabur besar.
- Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) akan dibebaskan dari gangguan politik dan dibenarkan untuk beroperasi berdasarkan keutamaan perniagaan. Di masa hadapan, hanya GLC dalam sektor strategik sahaja akan dikekalkan.
- Akta Persaingan 2010 akan diperluas ke semua sektor ekonomi, termasuk syarikat telekomunikasi, perkhidmatan televisyen berbayar dan sektor tenaga.
- Monopoli-monopoli berikut (bukan menyeluruh) yang menghakis pendapatan boleh guna rakyat Malaysia dan mengakibatkan kos perniagaan yang tinggi akan distruktur semula pada tahun 2012:
Ø  Memansuhkan monopoli Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) ke atas import beras. Sebaliknya, lesen import akan diberi melalui proses yang kompetitif, terbuka dan telus;
Ø  Telekom Malaysia (TM) akan diarah melepaskan genggaman ke atas pasaran "jarak terakhir" ("last mile") perkhidmatan internet jalur lebar dan fokus kepada perniagaan asas - data dan telefoni - lalu melahirkan pasaran "jarak terakhir" yang tegap dan berdaya saing. Ini akan mengurangkan kos dan menambahkan tahap penembusan internet jalur lebar;
Ø  Kartel syarikat telekomunikasi akan dihapuskan;
Ø  Kartel akhbar dan media akan dihapuskan;
Ø  Kartel perkhidmatan penerbangan akan dihapuskan;
Ø  Monopoli Astro ke atas perkhidmatan televisyen satelit siar terus berbayar akan dihapuskan;
Ø  Lesen teksi akan diberi terus kepada para pemandu teksi.

6. Mempertahan Martabat di Waktu Susah
Pakatan Rakyat peka dan prihatin dengan kegusaran di hati rakyat untuk hidup bermaruah tatkala menghadapi tuntutan kehidupan seharian sebelum dasar-dasar untuk meningkatkan pendapatan membuahkan hasil.
- Langkah-langkah berikut dicadangkan diambil:
Ø  Bonus RM1,000 setahun bagi setiap warga emas di Malaysia;
Ø  Bayaran RM1,000 di tahun 2012 untuk warga suri rumah yang layak;
Ø  Menambah pendapatan isi rumah golongan miskin tegar kepada RM550 sebulan dan memperkukuh jaringan keselamatan sosial dengan menambah bayaran kebajikan terus sebanyak RM550 sebulan untuk memastikan penjajaran dengan bantuan kepada golongan miskin tegar; dan
Ø  Elaun RM700 setahun bagi penjagaan anak berumur 12 tahun ke bawah bagi keluarga yang berpendapatan kurang dari RM1,500 sebulan dan penubuhan pusat penjagaan kanak-kanak berkelulusan melalui penyediaan pinjaman khas dan insentif cukai. Pakatan Rakyat ingin melihat peningkatan kadar penyertaan buruh di kalangan wanita dari 46 peratus ke 55 peratus dalam masa lima tahun. Dasar-dasar lain untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga buruh, melalui latihan dan peningkatan kebolehlenturan waktu bekerja, akan dibincangkan.
Bergantung kepada peningkatan pendapatan rakyat, subsidi ke atas barangan dan perkhidmatan akan dikekalkan pada jumlah RM 22 bilion. Dasar-dasar subsidi dan harga kawalan petrol akan dirombak untuk merasionalisasikan perbelanjaan kerajaan:
Ø  subsidi kepada badan-badan dan syarikat yang bersifat monopolistik akan dihentikan;
Ø  subsidi-subsidi umum akan distruktur semula untuk mendatangkan kebaikan terus kepada kumpulan-kumpulan sasar yang memerlukan.

  
7. Mengurangkan Jurang Bandar-Luar Bandar
Pakatan Rakyat akan meningkatkan pendapatan dan peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia yang menetap di luar bandar.
Pembangunan serantau dan luar bandar akan digalakkan melalui desentralisasi pentadbiran
Monopoli import beras yang dipegang BERNAS akan dihapuskan. Lesen import akan diberi melalui proses yang kompetitif dan terbuka. Subsidi akan diberi terus kepada para petani melalui institusi-institusi pertanian.
RM 100 juta akan diperuntukkan kepada peniaga-peniaga kecil untuk pertingkat tahap kebersihan untuk mewujudkan persekitaran yang bersih dan selesa.

8. Meningkatkan Kualiti Kehidupan
Pakatan Rakyat akan memperjuangkan kualiti kehidupan yang lebih baik buat semua rakyat Malaysia.
- Pasukan polis akan difokuskan semula kepada pencegahan jenayah dan meningkatkan keselamatan awam;
- Dasar "Bina dan Jual" ("Build then Sell") untuk projek perumahan kos rendah-sederhana akan diwujudkan, untuk menjaga keselamatan pengguna. Peruntukan kos perumahan awam akan dinaikkan ke RM 1 bilion.
- Dasar Pengangkutan Nasional akan mengutamakan pengangkutan awam dengan mengetengahkan prinsip "gerakkan rakyat, bukan kereta". Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan dipindahkan dari Jabatan Perdana Menteri ke Kementerian Pengangkutan.
- Mempertingkat penggunaan teknologi hijau untuk menggalakkan penggunaan tenaga yang lebih baik, efisyen, dan mendatangkan kebaikan kepada rakyat melalui penjimatan kos kemudahan awam asas dan lain-lain perbelanjaan isi rumah, dan kepada industri dengan meningkatkan produktiviti dan keberuntungan.

  
9. Mereformasi Landskap Politik 
Pakatan Rakyat akan memperkukuhkan  demokrasi berparlimen dan  Persekutuan.
Pakatan Rakyat akan memperkukuhkan  prinsip dan pelaksanaan persekutuan  yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dimana  negeri-negeri akan diberikan lebih banyak kuasa melalui perkongsian  kuasa dan pengagihan sumber. Pakatan Rakyat juga akan  memperkenalkan refomasi berikut:
·         Memansuhkan semua perintah darurat dan menghapuskan semua undang-undang yang membabitkan  tahanan tanpa perbicaran seperti  yang terkandung di dalam Akta  Pemansuhan Darurat yang  dibentangkan oleh Pakatan Rakyat  pada sesi Parlimen Mac 2011.
·         Menstruktur semula Biro Pengaduan  Awam menjadi sebuah institusi  Ombudsman.
·         Meletakkan beberapa institusi  awam utama seperti Jabatan Audit  Negara, Jabatan Perangkaan,  Suruhanjaya Pelantikan Hakim,  Suruhanjaya,  Pencegahan Rasuah  Malaysia (SPRM), Suruhanjaya  Pilihan Raya Malaysia (SPR)  Suruhanjaya Hak Asasi Manusia  (SUHAKAM) dan institusi Obudsman  dibawah bidang kuasa Parlimen.
·         Untuk memastikan  kebebasan media  dengan menghapuskan keperluan  permit dengan pemansuhan Akta Mesin  Cetak dan Penerbitan 1984. Selaras dengan itu akan ditubuhkan Majlis Media yang bebas dan kawalan sendiri.
·         Memulihkan autonomi dan kebebasan  ahli-ahli akademik universiti- univesiti di Malaysia dengan  menghapuskan Akta Universiti dan  Kolej Universiti (AUKU) 1971,oleh  itu membebaskan pelajar-pelajar  daripadan cengkaman Jabatan Hal  Ehwal Pelajar (HEP) dan kepimpinan  universiti-universiti awam akan  berdasarkan kepada merit.
·         Memansuhkan Akta Rahsia Rasmi  (OSA) dan memperkenalkan Akta  Kebebasan Maklumat pada setiap  peringkat kerajaan dengan  dilengkapkan infrastruktur yang diperlukan. Ini akan memastikan  akses kepada maklumat yang menjadi  kepentingan awam, terkecuali ialah  perkara-perkara yang secara tulen berkait dengan keselamatan negara.
Pakatan Rakyat berjanji untuk memperkukuh Parlimen sebagai sebuah institusi dan menolak amalan Perdana Menteri sebagai diktator:
- RM 10 bilion dari belanjawan budi bicara Perdana Menteri akan disalur keluar kepada Kementerian-Kementerian berkenaan.
- Cadangan-cadangan perbelanjaan akan diteliti dengan rapi di peringkat jawatankuasa parlimen. Sebagai langkah pertama, tujuh Jawatankuasa Belanjawan Parlimen akan ditubuhkan untuk meneliti belanjawan-belanjawan kementerian lalu membolehkan debat dan penilaian yang lebih berkualiti.
- Ahli-ahli jawatankuasa dan Ahli-ahli Parlimen akan diberi peruntukan untuk pembantu penyelidik parlimen demi meningkatkan keberkesanan kajian belanjawan serta meneliti implementasi dan hasil daripada perbelanjaan tersebut.

10. Anak Muda Mendepani Perubahan
- Bergantung kepada kajian semula dan siasatan yang menyeluruh ke atas perbelanjaan dan struktur kurikulum, Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan digantikan dengan program-program luar kurikulum atau program komuniti. RM 747 juta yang diperuntukkan kepada PLKN tahun lepas akan disalurkan kepada inisiatif terbaru ini.
- Sejumlah RM 100 juta akan diperuntukkan kepada program Pilihan Anak Muda, yang melibatkan anak muda Malaysia berumur bawah 30 tahun, untuk mengimplimentasikan projek-projek dan program-program pilihan mereka melalui sistem undian.
- RM 50 juta akan diperuntukkan kepada sebuah dana khas untuk meningkatkan penglibatan anak muda dalam aktiviti-aktiviti berdasar kreativiti dan mewujudkan lebih banyak ruang riadah dan rekreasi khusus untuk anak muda.

Kerajaan Pakatan Rakyat yang akan datang ini tidak akan berjaya melaksanakan dasar-dasar yang mustahak dan bakal merubah wajah negara ini dengan sendirinya tanpa sebarang bantuan. Rakyat Malaysia, sebagai majikan dan pekerja, sebagai suri rumah, sebagai pengasuh dan mahasiswa, dan yang paling utama sebagai warga negara mesti memainkan peranan sama ada secara individu mahupun bersama, dalam menjayakan agenda yang berani ini demi menggerakkan Malaysia ke hadapan, menuju masa depan yang lebih cerah buat semua.

Bajet Pakatan:


Subsidi RM22b, hampir RM6b biaya kenaikan gaji

TERKINI @ 04:57:21 PM 04-10-2011
October 04, 2011
KUALA LUMPUR, 4 Okt ─ Pakatan Rakyat mengesyorkan peruntukan subsidi sehingga RM22 bilion dan menyediakan RM5.9 bilion lagi bagi kenaikan gaji 1.3 juta kakitangan awam -atas alasan mahu membantu mengurangkan kos sara hidup.
Pembangkang peringkat persekutuan ini mengumumkan bajet alternatif 2012 hari ini.
Perikatan itu berkata ia akan mengurangkan perbelanjaan awam sebanyak RM14 bilion kepada RM220 bilion, sekali gus mengurangkan defisit kepada 4.4 peratus.
“Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat akan memperuntukkan RM220 bilion berasaskan kepada sasaran untuk mengekang defisit pada kadar 4.4 peratus daripada KDNK.
“Walaupun jumlah ini melibatkan penjimatan perbelanjaan sebanyak RM14 bilion dari kadar yang dibelanjakan oleh Barisan Nasional, kita yakin melalui pengurusan wang negara yang lebih berhemah, telus, bertanggungjawab dan berkesan, jumlah RM220 bilion ini akan memberi 20 peratus nilai tambah kepada rakyat berbanding apa yang dibelanjakan oleh Barisan Nasional selama ini,” kata Anwar (gambar) dalam ucapan belanjawan 2012 Pakatan Rakyat.
Kata Anwar, keluruhan RM220 bilion itu akan digunakan sebaiknya untuk mengimbangi keperluan membaiki kerangka ekonomi negara yang kian punah di bawah Barisan Nasional dan membela rakyat dalam suasana yang semakin mendesak.
Kata Anwar, tema “Kesejahteraan Untuk Semua” adalah sangat bertepatan kerana Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat akan melaksanakan bantuan-bantuan berikut untuk mengalihkan sumber kekayaan negara dari golongan mahakaya kepada program khusus untuk mengurangkan bebanan rakyat.
Oleh itu katanya, Bajet 2012 Pakatan Rakyat akan menekankan:
─ Peruntukan subsidi sebanyak RM22 bilion dikekalkan dengan mengambil kira unjuran harga minyak mentah terkini. Ini dijangka akan mengelakkan sebarang kenaikan harga minyak di dalam tahun 2012
─ Tumpuan khusus akan diberikan untuk menambah baik sistem penyampaian subsidi agar ia sampai terus kepada rakyat yang memerlukan, bukannya ditadbir dan tersekat di pertengahan akibat monopoli yang diberikan kepada syarikat tertentu. Ini termasuklah penghapusan subsidi korporat yang selama ini menguntungkan golongan mahakaya dan kroni mereka seperti pemilik-pemilik penjana bebas (IPP), monopoli beras oleh Bernas, monopoli lesen teksi oleh golongan berkepentingan dan lain-lain.
─ Kerajaan Pakatan Rakyat akan melaksanakan bayaran bonus warga emas sebanyak RM1,000 setahun kepada warga emas yang layak, berdasarkan pendapatan kurang dari RM18,000 setahun. Ia dijangka akan menelan belanja RM1.7 bilion setahun tetapi difikirkan perlu untuk membantu golongan warga emas dan pencen yang kuasa beli mereka semakin terhakis akibat kenaikan harga barang.
─ Pakatan Rakyat akan melaksanakan bayaran suri rumah sebanyak RM1,000 dalam tahun 2012 kepada mereka yang layak, untuk mengurangkan bebanan keluarga dan menggalakkan suri rumah menabung melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja. Ini akan membabitkan peruntukan RM2 bilion.
─ Bayaran tambahan kepada isi rumah dalam kategori miskin tegar untuk memastikan pendapatan bulanan mencecah sekurang-kurangnya RM550.
─ Bayaran kepada penerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat akan diselaraskan kepada RM550 sebulan, dari kadar sedia ada sebanyak RM300 sebulan.
“Penyelarasan gaji kakitangan awam berikutan pengenalan gaji minima dan janji Buku Jingga akan melibatkan peruntukan tahunan sebanyak RM5.9 bilion,” katanya.