Ucapan Alu-Aluan
  YAB TAN SRI DATO’ SERI ABDUL KHALID BIN IBRAHIM
 DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR
  
Pada
MAJLIS  PERASMIAN WACANA
‘KEDAULATAN  RAJA-RAJA :
INSTITUSI  YANG MESTI DIPERTAHANKAN”
  Tarikh
 29 NOVEMBER 2010 (ISNIN)
 23 ZULHIJAH 1431
  
Tempat
DEWAN  JUBLI PERAK
BANGUNAN  SSAAS SHAH ALAM
 Masa
 10 PAGI
  
Bismillahirrahmanirrahim, 
Segala  puji bagi Allah yang menciptakan langit dan bumi. Selawat dan salam  kepada junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahualaihiwassalam, keluarga  dan para sahabat baginda. 
 Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam sejahtera dan Salam  mesra. 
  
Menghadap Duli Yang Maha Mulia  Sultan Selangor : Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan  Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz  Shah Alhaj.
 Ampun Tuanku beribu-ribu ampun,
  
Sembah patik pacal tua, mohon  diampun. 
 o Terlebih dahulu dipanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah   Subhanahuwataala  kerana dengan izin-Nya Tuanku dapat mencemar duli   hadir  ke  Majlis Wacana Undang-Undang pada  pagi yang berbahagia ini. 
  
o Bagi pihak Urus Setia Wacana  dan Sidang hadirin, patik mengalu-alukan keberangkatan Duli Tuanku ke  Dewan ini.  Sesungguhnya, kehadiran Tuanku ke majlis ini memberikan  makna dan dorongan yang tinggi terhadap kefahaman dan kepedulian rakyat  terhadap institusi Raja Berperlembagaan di negeri Selangor khususnya. 
 Ampun Tuanku,
  
Menurut seloka,
Raja  Mahkota Negeri berbunyi,
Pantang  Melayu mengundur pasti,
Raja  Melayu Mahkota Negeri,
Agama  Islam tiang seri,
Tunggak  Negeri Agama resmi,
Melayu  itu pusakaku,
Tanah  bertuah bumiku,
Dari  dahulu penuh berliku,
Dirgahayu  Tuanku Raja Melayu.
 o Patik dengan penuh hormat dan takzimnya, merafak sembah memohon  perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk menyampaikan sepatah dua kata  kepada para hadirin.  
  
Ampun Tuanku.   
  
Yang Amat Mulia Tengku-Tengku; 
 Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Diraja; 
  
Yang Berhormat Setiausaha  Kerajaan Negeri Selangor;
 Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor; 
  
Yang Arif Para Pengamal  Undang-Undang;
 Yang Dihormati Orang-Orang Besar Daerah; 
  
Yang Berbahagia Dato’-Dato’,  Datin Paduka - Datin Paduka;  Ketua - Ketua  Jabatan, Pemimpin -  Pemimpin Belia dan Masyarakat,  Rakan-Rakan daripada Media Massa, Tuan -  Tuan dan Puan - Puan yang Budiman.  
 (1) Insya-Allah, sebentar lagi disempurnakan Majlis Wacana Kedaulatan  Raja-Raja oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan.  Patik  merakamkan ucapan  terima kasih dan tahniah kepada semua yang menghadiri Wacana ini.  Mudah-mudahan perbahasan secara intelektual dapat dilakukan terutama  setelah pembentangan kertas kerja oleh mereka yang arif di dalam bidang  ini agar mampu menambahbaik pemahaman dan penghayatan kita terhadap  sistem Raja Berperlembagaan hatta sistem Demokrasi Berparlimen sesuai  dengan peredaran zaman, khususnya di Selangor Darul Ehsan.  
 Ampuan Tuanku;
  
Dif-Dif,  Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang Berbahagia;  
  
(2) Untuk menjadi sebuah  masyarakat yang bertamadun kita tidak boleh lari dari menyingkap  sejarah. Justeru izinkan patik memulakan kata-kata dengan memberi  asal-usul penggubalan Rukun Negara. Rukun Negara adalah ideologi Negara  Malaysia yang digubal ekoran peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969,  dan diisytiharkan penggunaannya ke seluruh negara sempena sambutan  kemerdekaan pada 31 Ogos 1970. Matlamat utamanya untuk mengukuhkan  perpaduan, memelihara corak hidup demokratik, mencipta masyarakat yang  adil, menjamin sikap liberal terhadap tradisi kebudayaan yang pelbagai  dan membina masyarakat progresif yang menggunakan sains dan teknologi.  Diharapkan Rukun Negara berjaya memanifestasi kecintaan kepada negara  sekaligus memupuk semangat perpaduan antara kaum di Malaysia.
 (3) Lima prinsip utama Rukun Negara, iaitu ; Kepercayaan Kepada Tuhan,  Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan  Undang-Undang, Kesopanan dan Kesusilaan. Bagi tujuan wacana ini, saya  cuba memperkatakan secara ringkas prinsip kedua dan ketiga yakni,  Kesetiaan Kepada Raja dan Negara serta Keluhuran Perlembagaan. Semoga  dengan cara ini, kita sama-sama dapat beringat, menghayati, mengamalkan  serta mempraktikkan dan seterusnya menerangkan dan mengajak seluruh  rakyat bersama-sama mendukung prinsip Raja Berperlembagaan tersebut.
 Ampun Tuanku;
  
Para Hadirin yang Dihormati;
 (4) Persekutuan Tanah Melayu merdeka dengan rasminya pada 31 Ogos 1957.   Lima tahun kemudian, Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963 yang  menggabung Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak, dan Singapura,  tetapi Singapura meninggalkan Persekutuan Malaysia pada 1965.
 (5) Malaysia hari ini mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan  sistem Raja Berperlembagaan. Dari pada sudut Raja Berperlembagaan,  Perlembagaan memperuntukkan institusi Yang DiPertuan Agong, Raja-Raja  Melayu di sembilan negeri dan Majlis Raja-Raja.
 (6) Bagi maksud perbincangan di dalam wacana ini patik mencadangkan  beberapa perkara di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia diambil  perhatian khusus. Menurut Perkara 181 (1) Perlembagaan Malaysia,  kedaulatan Raja-Raja Melayu adalah dijamin, iaitu : “Tertakluk kepada  peruntukan-peruntukan Perlembagaan ini kedaulatan, hak kedaulatan, kuasa  dan bidang kuasa Raja-Raja dan hak kedaulatan, kuasa dan bidang kuasa  pembesar-pembesar pemerintah Negeri Sembilan dalam wilayah mereka  masing-masing sebagaimana yang telah ada dan dinikmati hingga sekarang  adalah tetap tidak tersentuh.”
 (7) Raja-raja diberi kuasa untuk melantik Menteri Besar, memelihara adat  istiadat orang Melayu dan pentadbiran agama Islam di negeri  masing-masing. Raja-raja juga adalah Ketua Negeri masing-masing dan  melaksanakan  tugas mengikut nasihat Menteri Besar atau Ketua Menteri.  Ia juga bermakna, setiap negeri mempunyai Perlembagaannya sendiri yang  digubal dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan. Contohnya, di Negeri  Selangor ia dikenali Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor yang  berkuatkuasa 01 April 1959.
 (8) Tegasnya, raja adalah lambang kesatuan dan penyatuan rakyat serta  pelindung hak istimewa kaum peribumi. Menderhaka kepada raja bermaksud  menderhaka kepada negara. Setiap rakyat sesebuah negara itu wajib setia  kepada negara sekiranya mereka mengakui diri mereka adalah rakyat negara  tersebut.
 (9) Manakala berhubung dengan intipati sistem  demokrasi yang  mengutamakan orang ramai memilih pemerintah untuk mentadbir urusan  mereka, Dr. Yusuf Al-Qardhawi (1997), iaitu seorang pemikir dan ulama  tersohor perpandangan prinsip demokrasi tidak bertentangan dengan ajaran  Islam kerana dalam Islam, adalah dilarang seseorang yang dibenci dan  tidak disukai dalam masyarakat menjadi imam sembahyang. Justeru itu,  pegangan ini bersamaan dalam prinsip demokrasi apabila rakyat sendiri  dengan undi majoriti memilih pemimpin yang mereka sukai.
 (10) Dalam satu hadis sahih Rasullullah, riwayat Muslim daripada ‘Auf  bin Malik, baginda bersabda, yang bermaksud : “Sebaik-baik pemimpin kamu  adalah mereka yang kamu menyayanginya dan dia menyayangimu, kamu berdoa  untuknya dan dia berdoa untukmu. Sejahat-jahat pemimpin pula adalah  siapa yang kamu membencinya dan dia membencimu, kamu melaknatinya dan  dia melaknatimu.”
 Ampun Tuanku;
  
Para Hadirin yang Dihormati;
 (11) Sebagaimana yang patik ungkap diawal bicara tadi bahawa bagi  mengwujudkan sebuah Negara yang bertamadun serta masyarakat yang bersatu  padu, kita perlu menyingkap sejarah. Dalam konteks wacana ini walau  mungkin kelihatan agak sensitif, namun patik merasakan perlu untuk kita  memulainya dengan dua persoalan utama. Pertama, mengapakah berlaku  krisis Perlembagaan seawal  1983 dan diikuti pula pada tahun 1992 dan  1993? Dan yang kedua, mengapakah kini rakyat kembali berusaha untuk  mempertahankan institusi raja-raja Melayu yang terkesan dari peristiwa  1983, 1992 dan 1993 tersebut.
(12)  Secara ringkas patik menyatakan Krisis Perlembagaan 1983 berlaku akibat  daripada tindakan para pemimpin negara ketika itu, melakukan beberapa  tindakan diluar Peruntukan Perlembagaan, dalam lain perkataan  membelakangi Raja-Raja. Menurut Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan :  “tiada apa-apa undang-undang yang menyentuh secara langsung  keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran raja-raja boleh  diluluskan dengan ketiadaan persetujuan Majlis Raja-Raja”.
 (13) Walaubagaimanapun, para pemimpin utama ketika itu telah melakukan  beberapa tindakan secara rahsia dengan membawa pindaan itu ke Kabinet  dan kemudiannya ke Parlimen tanpa terlebih dahulu mendapat perkenan  Majlis Raja-Raja. Antara pindaan yang berjaya di lakukan ialah Perkara  66(5). Peruntukan asal berbunyi “Rang undang-undang akan dikuatkuasakan  apabila yang DiPertuan Agung menandatangani”. Manakala peruntukan  pindaan ialah “Rang undang-undang akan dikuatkuasakan sebagai  Undang-undang apabila ditandatangani oleh Yang DiPertuan Agung. Jika di  atas apa-apa sebab Rang Undang-undang itu tidak ditandatangani di dalam  tempoh 15 hari selepas Rang Undang-undang itu disembahkan kepada Yang  DiPertuan Agung, baginda dianggap telah menandatangani Rang  Undang-undang tersebut dan Rang Undang-undang itu, berkuatkuasa sebagai  Undang-undang”. Contoh kedua, pindaan ialah pada Perkara 10(1), dimana  kalau Perdana Menteri mendapati darurat patut diisytiharkan di mana-mana  juga di Negara ini maka Perdana Menteri boleh menasihatkan Yang  DiPertuan Agung dan Yang DiPertuan Agung mesti menerima nasihat  tersebut. Ampuan Tuanku, di sinilah bermulanya penghakisan secara  terancang terhadap kuasa Raja-Raja di Negara ini.  
 (14) Krisis Perlembagaan sekali lagi timbul pada tahun 1993. Persoalan  ketika itu, ialah samada perlu atau tidak mengekalkan kedaulatan  Raja-Raja Melayu apabila tercetusnya peristiwa seorang rakyat menerima  tindakan murka seorang sultan pada hujung tahun 1992. Pada ketika itu,  suasana  dalam negara begitu hingar bingar dan gundah gulana apabila  sekali lagi Perintah Negara mengusik institusi Raja-Raja Melayu dengan  mencadangkan pindaan kepada Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan yakni  yang menyentuh soal kekebalan atau imuniti Raja-Raja Melayu dengan  maksud menghapuskannya.
 (15) Bagi mencapai matlamat tersebut seluruh jentera Kerajaan termasuk  media massa telah dimanipulasi secukupnya, dengan izin patik katakan  “secara biadap” memaparkan cerita-cerita yang memburukkan peribadi  Raja-Raja Melayu, diulang siar dan tokok tambah bagi mewujudkan sentimen  dan emosi benci rakyat terhadap institusi Raja-Raja Melayu. Pemerintah  ketika itu, mengggunakan kuasa rakyat terutama orang Melayu, supaya  bersama-sama mendesak malah “memaksa” Raja-Raja Melayu supaya segera  menerima pindaan Perlembagaan yang menghapuskan beberapa keistimewaaan  Raja-Raja Melayu yang sudah diwarisi sejak ratusan tahun… Malah sampai  kesatu tahap dimana seorang pemimpin politik tergamak mengadakan majlis  pertabalan “Sultan ” di Kelantan.
 (16) Proses adu domba disertai secara khusus pemimpin utama negara pada  ketika itu. Berita Harian 19 Januari 1993 melaporkan bahawa : Menurut  Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir bin Mohamad insiden raja  menganiaya rakyat menyalahi undang-undang sivil adalah satu jenayah,  menyalahgunakan wang, harta kerajaan dan negara serta menekan dan  menganiaya pegawai-pegawai. Beliau berkata apa yang tidak pernah dibuat  di zaman British dan pada tahun-tahun awal Malaysia merdeka dilakukan  dengan semakin ketara dan meluas…
 Ampun Tuanku,
  
Para Hadirin Yang Berbahagia;
 (17) Negeri Selangor sesungguhnya amat bertuah mempunyai Sultan yang  berilmu tinggi dan bersikap terbuka. Justeru itu, patik difahamkan  wacana ini adalah atas ilham Tuanku sendiri sebagai salah satu siri  program khas untuk pegawai negeri. Patik suka mencadangkan kepada para  hadirin supaya membaca akhbar-akhbar tanah air terbitan akhir tahun 1992  sehingga Mac 1993 mengenai rentetan peristiwa pertelingkahan antara  pemimpin kerajaan Persekutuan, rakyat dan istana yang akhirnya  menghapuskan kekebalan atau imuniti Raja-Raja Melayu agar dapat  benar-benar memahami intipati utama di dalam menjayakan wacana DiRaja  ini.
 (18) Patik yakin ramai di antara kita masih segar ingatan terhadap  krisis-krisis Perlembagaan yang patik ungkapkan diawal tadi. Penilaian  harus juga ditekankan kepada mengetahui siapakah pihak-pihak yang pada  ketika itu beriya-iya benar mahukan supaya kekebalan Raja-Raja Melayu  dihapuskan dan malah banyak pemimpin pihak tertentu  itu seolah-olah  mahu Raja-Raja Melayu dinyahkan daripada tahta dan dan Istana DiRaja.
 (19) Misalnya, Berita Harian, 19/1/1993 menyiarkan berita  seorang Ahli Parlimen dari Perak yang mengingatkan raja-raja supaya   mengambil kira suara rakyat jika tidak raja-raja tidak dapat kekal lama  “malah tahta mereka mungkin akan beralih ke muzium…”
 (20) Tidak kurang juga, ada Menteri Besar dewasa itu yang mendesak  supaya para ulama dan ilmuan Islam menasihati raja-raja Melayu mengenai  perlunya pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk memansuhkan kekebalan  Raja-raja. Seorang Ahli Parlimen dari Pahang turut memberi tempoh 30  hari kepada Raja-Raja bagi memikirkan semula pendirian mereka berhubung  pindaan tersebut.
 (21) Pergerakan Pemuda ketika itu, tidak ketinggalan memain peranan  dengan mendesak Kerajaan Persekutuan berpendirian tegas dan tidak  berganjak daripada sebarang pindaan, terutamanya prinsip kekebalan  Raja-Raja, supaya matlamatnya dapat dicapai..” .
 (22) Malahan, pada ketika itu kakitangan dan pegawai kerajaan termasuk  Datuk Bandar tidak lagi boleh berurusan dengan istana negara kecuali  dengan kebenaran Perdana Menteri. Para pegawai juga dibenarkan untuk  menolak undangan ke istana bagi menghadiri majlis bersama Raja-Raja  Melayu.
 Ampun Tuanku,
  
(23) Terpaksa patik nyatakan  serba sedikit peristiwa yang patik kira telah memberi luka yang dalam  kepada institusi Raja-Raja pada ketika itu. Luka yang dalam mungkin  telah sembuh, barangpasti parutnya tetap ada. Patik yakin dengan  mengambil kata-kata keramat dari Seniman Agung Allahyarham P. Ramlee,  “sedangkan Nabi mengampunkan umat” maka keterlanjuran rakyat jelata  turut sama dimaafi, apatah lagi memang sebenarnya Raja-Raja Melayu  adalah Raja-Raja yang berdaulat.
 (24) Namun, karenah manusia itu boleh berubah, menurut zaman dan  kepentingan. Tiba-tiba, sejak awal tahun 2009, setelah 17 tahun berlalu,  kini pihak yang berusaha dan berjaya “menghapuskan kekebalan dan  beberapa hak istimewa Raja-Raja Melayu”, kembali bermuka-muka dengan  seruan supaya orang Melayu menghormati Raja dan Sultan serta  mempertahankan kedaulatan Raja-Raja Melayu sebagaimana termaktub dalam  prinsip kedua Rukun Negara.
 (25) Syukur Alhamdulillah, mungkin akhirnya mereka sedar akan  keterlanjuran. Namun, patik tidak dapat mengelakkan diri dari teringat  peranan ‘si kitul’ didalam sejarah Melayu lama. Adakah “si kitul” moden  ini akan kembali memperalatkan raja atau sultan demi kepentingan politik  mereka?
 Banyak Raja perkara Raja,
 Pertama Raja disembah,
 Yang adil berkitabullah,
 Yang memberi tahu benar salah,
 Yang berpintu selalu terbuka.
  
Ampun Tuanku;
 Para Hadirin yang Berbahagia;
  
(26) Akhirulkalam, patik dan  sekalian rakyat jelata memohon ke hadrat Allah Subhanahuwataala semoga  Duli Yang Maha Mulia Tuanku diberi kesihatan yang sempurna, diperlihara  keselamatan dan kesejahteraan yang berpanjangan.
 (27) Doa juga dipanjatkan ke hadrat Allah Subhanahuwataala untuk Duli  Yang  Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Ibni Sultan  Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Yang Maha Mulia Paduka Bonda, dan  seterusnya kepada puteri-puteri Baginda As-Sultan, adinda-adinda,  waris-waris serta kerabat Diraja sekalian semoga berada dalam keadaan  kesejahteraan, dikurnia taufik dan hidayah serta sentiasa dalam  perlindungan Allah Subhanuwaataala supaya dapat terus memimpin Selangor  Darul Ehsan dengan segala kemuliaan jua.
  
Itulah ucap kata patik,
Itulah  isi hati hamba tua,
Tak  bermanis mulut di bibir,
Tak  bermuka-muka dua,
Tak  berbasa-basa basi,
Putih  di dalam putih di luar,
Pepat  di dalam pepat di luar,
Putih  dapat diselami,
Pepat  dapat diduduki.
 Sambutlah sembah salam patik,
 Sembah nan minta ampun,
 Salam nan minta maaf.
  
(28) Izinkan patik menyusun  sepuluh jari di atas keterbukaan bicara patik di dalam wacana di Raja  ini kerana sesungguhnya patik percaya keikhlasan dan kesediaan Tuanku  membicarakan isu ini dengan secara konstraktif. Wabillahitaufik  walhidayah. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
 Daulat Tuanku!