
Ketua Angkatan Muda Keadilan Shamsul Iskandar Md Akin berlepas ke Hong Kong sebentar tadi untuk mendesak Badan Pencegah Rasuah Hong Kong menyoal siasat sekutu Ketua Menteri Sabah Musa Aman berhubung kes penyeludupan dan pengurupan wang RM16juta.
Michael Chia ditahan di Hong Kong pada Ogos lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa di Hong Kong apabila cuba berlepas dari wilayah China itu menuju Kuala Lumpur, membawa wang berkenaan.
Wang itu dikatakan mempunyai hubung kait dengan lesen membalak di Sabah yang membawa pulangan lumayan kepada ahli politik Barisan Nasional di negeri itu.
Blog-blog di Sabah telah memberikan liputan meluas kepada penangkapan Chia.
Berikut disiarkan satu daripada laporan itu yang dipetik dari blog "Deep Throat Sabah" yang mendakwa Chia ialah adik angkat Ketua Menteri Sabah.
Penangkapan adik angkat Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman iaitu Michael Chia di Hong Kong pada jam 2.35 petang khamis (14 Ogos 2008) telah membongkar misteri di sebalik enigma.
Michael Chia ditangkap polis Hong Kong di Lapangan Terbang Chek Lap Kok, Hong Kong ketika ingin menyertai penerbangan ke Kuala Lumpur.
Menurut sumber rapat Polis Hong Kong dan Interpol, mereka telah memantau kegiatan haram Michael Chia sejak tiga tahun lalu dan akhirnya berjaya menangkap Michael bersama bukti wang tunai Singapura bernilai RM16 juta yang diseludup keluar daripada Hong Kong di dalam beg pakaiannya.
Setelah disoalsiasat, Michael merayu agar dibebaskan kerana wang berkenaan milik Musa Aman dan beliau hanyalah agen membawa keluar wang berkenaan ke Kuala Lumpur bagi membantu meringankan beban kewangan Barisan Nasional dalam proses penamaan calon di Permatang Pauh dan sebahagiannya untuk kegunaan pilihanraya kecil berkenaan.
“CM (Musa) marah betul atas kebodohan Michael Chia kerana bawa wang tunai. Kenapa tidak TT (Telegraphic Transfer) saja? Saya rasa CM kita dalam bahaya,” ujar Datuk Amin Khan, seorang proksi Musa Aman ketika memberitahu rakannya yang juga Datuk melalui telefon di sebuah coffe house hotel terkemuka yang sempat didengar wakil Malaysia Today di Sabah yang secara kebetulan menikmati makan malam di situ.

Penangkapan Michael ini memberi tamparan hebat kepada Ketua Pengarah BPR, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan kerana desas desus yang tersebar meluas mengatakan bahawa Kes Rasuah Loh Man Heng telah ditutup berikutan pengakuan Loh Man Heng sendiri bahawa beliau telah membayar sejumlah RM4 juta melalui pegawai kanan BPR, Mohd Jamidan Abdullah yang sebelum ini menutup kes Musa Aman dalam kegiatan pembalakan haram di Keningau.
Sebelum ini, Pengurus Besar Operasi Kumpulan Yayasan Sabah, Mohd Daud Tampokong yang sering kelihatan bersama dengan Michael Chia di Hong Kong dan Singapura untuk menjalankan transaksi kewangan bagi pihak Musa Aman.
Musa Aman begitu mempercayai Michael Chia kerana syarikat bapa Michael, Chia & Sons telah banyak membantu Musa di era beliau membina kerjaya dalam bidang pembalakan dan kontrak, terutama penyewaaan skau (tongkang) untuk menarik kayu balak Musa.
Apabila Musa menjadi Pengarah Yayasan Sabah dan Ketua Menteri Sabah, Michael telah menjadi ‘Taiko’ dalam bidang perhutanan terutama di konsesi Yayasan Sabah.
Michael turut dibantu oleh Chong ‘Khung Long’ atau yang digelar ‘Dinosour’ kerana kegiatannya dalam bidang pembalakan haram untuk membekalkan balak kepada Michael selain daripada konsesi dengan kerjasama Pengarah Perhutanan Sabah, Datuk Sam Mannan @ Sam Singh.
Berita penangkapan Michael Chia belum diketahui umum namun tidak mengejutkan penduduk Sandakan kerana selama ini beliau menunjukkan kekayaan luar biasa dan hidup mewah dengan memiliki sekurang-kurangnya dua bungalow dan 17 kereta mewah, selain harta yang dibeli di Hong Kong dan Singapura.







































