Wednesday, August 18, 2010

KAMU MESTI FAHAM....

Inkues Teoh: Bukan bunuh diri, kata Pornthip

Ahli patologi forensik Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand mula memberi keterangan di bangunan mahkamah di Shah Alam, jam 9.31 pagi bagi menyambung keterangan inkues kematian Teoh Beng Hock.
Ia merupakan sambungan kepada keterangan yang diberikannya hujung tahun lalu, yang tidak dapat diteruskannya ketika itu apabila beliau tidak hadir di Mahkamah Koroner, dikatakan berikutan terdapat ancaman terhadap keselamatan dirinya.
Pada keterangannya tahun lalu, Pornthip menyuarakan pendapat terdapat 80 peratus kemungkinan bahawa Teoh mati akibat dicekik dan didera, dan mahkamah kemudiannya membenarkan mayat Teoh dibedah siasat kali kedua oleh Ketua Unit Patologi Hospital Sungai Buloh, Dr Shahidan Md Nor, pada 22 November lalu.
T
eoh, 30, setiausaha politik kepada Exco kerajaan negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai tahun lalu di tingkat lima, Plaza Masalam selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan sama.
Pornthip, sebelum ini menimbulkan kontroversi dengan mendakwa hasil pemerhatiannya mendapati kemungkinan 80 peratus kematian Teoh adalah kerana dibunuh manakala 20 peratus lagi akibat bunuh diri.

Kehadirannya di mahkamah pagi ini disambut tepukan gemuruh oleh penyokong Teoh yang memenuhi bilik perbicaraan hari ini.

Aktivis telah berkumpul bagi menghadiri inkues ini bukan sahaja sebagai sokongan kepada Teoh dan mendengar keterangan terbaru Pornthip tetapi juga untuk meluahkan rasa tidak puas hati mereka kepada pejabat Peguam Negara berhubung sekeping 'nota misteri'.

Bekas ketua forensik Unit Siasatan Lokasi Jenayah, Amidon Anan, juga berada di mahkamah hari ini. Beliau hadir atas kapasiti peribadi.
Saksi pertama
Koroner Azmil Munthapa Abas memulakan prosiding dengan memanggil Pornthip sebagai saksi pertamanya.

Beliau kemudian disoal oleh peguam, Malek Imtiaz Sarwar, yang mewakili kerajaan negeri Selangor dengan meneliti laporannya dan beberapa gambar yang diambil pada bedah siasat kedua.

Pornthip berkata beliau mendapati pendarahan di tengkuk Teoh sehingga ke bahagian otot mangsa. Kesan berkenaan juga, katanya lebih luas daripada kesan dicekik kerana cengkaman fizikal di bahagian leher adalah lebih kuat.
Menurut Pornthip berdasarkan 34-35 kes kajiannya hasil jatuh daripada tempat tinggi sebelum ini, tidak ada yang mempunyai kesan seumpama itu. Katanya, dia berpendapat tidak mungkin lebam adalah kerana impak akibat jatuh.
Pornthip juga menolak kemungkinan lebam itu disebabkan keretakan tulang belakang. Beliau mempertahankan pemerhatiannya sebelum ini bahawa ia adalah kecederaan sebelum jatuh yang dilakukan dengan “tekanan dan kuasa yang lebih besar” berbanding dicekik.

Katanya, ia mungkin “ seseorang meletakkan sesuatu di tengkuk Teoh atau menekan kepalanya ke atas sesuatu”.
Tak sependapat dengan Dr Vaneziz
Merujuk laporan bedah siasat pertama, pakar patologi Thailand itu berkata dia tidak boleh menolak kemungkinan Teoh tidak sedarkan diri semasa jatuh kerana laporan menunjukan berlaku 'cerebral edema'.

Ia menunjukkan Teoh mengalami hypoxia, di mana otak tidak menerima oksigen untuk tempoh sekurang-kurangnya 5 minit. Hypoxia berlaku akibat salur darah, arteri atau trakea yang tersumbat.
Pornthip tidak bersetuju dengan Dr Peter Vaneziz bahawa tanda pendarahan di tengkuk adalah akibat keretakan pada dagu. Katanya, keretakan dagu hanya membabitkan pendarahan di kawasan kecil dan tidak merebak hingga ke dada. Juga tidak terdapat salur darah besar di dagu yang boleh menyebabkan pendarahan berlebihan.

Pada keterangannya itu, Pornthip juga memberitahu inkues bahawa tiada keretakan pada pergelangan tangan, yang lazimnya berlaku dalam kes apabila seseorang cuba melindungi diri mereka daripada kejatuhan dengan tangan.

Terdapat keretakan dan luka di atas satu daripada pergelangan kaki Teoh tetapi tiada dikesan pada dasar tengkorak mangsa. Justeru, Pornthip berkata dia tidak bersetuju dengan Vaneziz bahawa Teoh mendarat dengan kedua-dua kakinya dan mangsa sedar semasa jatuh.
Pornthip berkata kesan koyak di bahagian dubur dan kecederaan pada bahagian punggung adalah disebabkan akibat kejatuhan dan bukan kerana dipukul seperti yang disangkanya sebelum ini.

'Ini adalah protokol'
Sehubungan itu, Pornthip mempertahankan pendapatnya berhubung kecederaan sebelum kejatuhan tetapi tidak dapat mengesahkan bahawa Teoh sedar semasa jatuh. Beliau juga tidak mahu memberi peratusan punca kematian kerana kesimpulan berdasarkan laporan bedah siasat. Namun Porhthip pasti, kejadian itu bukan percubaan bunuh diri.
Malik (kanan) selesai menyoal pakar patologi Thailand itu pada jam 10.45 pagi dan perbicaraan disambung dengan giliran peguam Gobind Singh Deo, yang mewakili keluarga Teoh pula untuk bertanyakan soalan.
Pornthip berkata berdasarkan pengalamannya sebagai penyiasat lokasi jenayah dan juga ahli sains forensik, sebarang nota yang dijumpai mesti diuji untuk DNA, cap jari dan cetakan tapak tangan pada kadar segera dan kemudiannya dihantar untuk ujian analisis tulisan. “Ini adalah protokol.”

Bagaimanapun bota sedemikian tidak memberi kesan ke atas siasatan kerana ia dianggap bersifat emosi. Justeru, katnya, beliau lebih gemar bergantung kepada sains.
Ketua pendakwa SPRM, Abdul Razak Musa memulakan sessinya dengan cuba mempersoalkan kelayakan Pornthip sebagai saksi yang mempunyai kewibawaan.
Abdul Razak mencadangkan bahawa keterangan Pornthip adalah bersarkan imaginasinya. Pornthip menafikan perkara itu dan berkata kesimpulannya adalah berdasarkan pemerhatian dan kerjanya.

Abdul Razak berkata berdasarkan kelayakan Pornthip, ahli patologi Thailand itu tidak layak bergelar pakar di Malaysia kerana universiti di mana beliau belajar tidak diiktiraf di negara ini. Pornthip menjawab bahawa universiti tempat beliau belajar adalah satu daripada lima yang terbaik di Thailand - mereka yang berada di mahkamah memberikan tepukan.
Cekik diri sendiri
Razak kemudiannya mencadangkan kepada Pornthip bahawa Teoh mencekik dirinya sendirinya. Katanya, ini kerana empat daripada doktor telah mendapati bahawa tiada bukti menunjukkan Teoh dicekik.
Gobind bangkit dan mengarahkan Razak (kanan) menunjukkan bagaimana seseorang mencekik diri sendiri. Razak menyahut cabaran itu dan cuba mencekik diri sendiri sambil digelakan daripada mereka di mahkamah itu.
"Saya cadangkan bahawa anda datang ke mari untuk serang SPRM,” katanya.

Beliau memberi beberapa kesilapan yang didakwa dilakukan oleh Pornthip tetapi dinafikan oleh pakar patologi Thailand itu. Menurut Pornthip, laporan yang dikemukakannya disokong dengan bukti saintifik.

Razak: Awak kata 80 peratus pembunuhan.

Pornthip: Saya telah terangkan. Awak mesti terima...

Razak:
Apabila awak beri keterangan 80 peratus adalah kes pembunuhan, ia dilaporkan di semua media negara ini.

Pornthip berulang-kali menggesa Razak supaya membaca laporannya, tetapi ketua pendakwa SPRM itu berkata: “Saya habiskan masa tiga hari membacanya.”
Orang ramai yang mengikuti perbicaraan kemudian mula berbisik yang menunjukkan rasa tidak puas hati mereka dengan cara soalan Razak.

Razak kemudiannya bertanya sama ada objek tumpul yang dirujuk oleh Porthip pada awal inkues pagi ini merujuk kepada kerusi atau benda lain.

Pornthip: Saya ingin tanya sama ada awak seorang peguam?

Razak: Mungkin, saya lebih muda daripada awak tetapi saya telah berkhidmat sebagai peguam untuk 24 tahun.

Ini disambutan dengan cemuhan 'wah' daripada mereka yang hadir.
Pengalaman terjun bangunan
Razak kemudian mengajukan soalan kepada Pornthip, bagaimana Teoh boleh mati pada tingkat 14 (lokasi pejabat SPRM Selangor yang terletak di Plaza Masalam, Shah Alam) tetapi masih bernyawa apabila sampai di bawah.
Soalan Razak semakin bercelaru dan menyebabakan koroner terketawa kecil. Azmil kemudian menjelaskan kepada Razak apa yang Pornthip maksudkan ialah Teoh berkemungkinan sedar semasa jatuh dan belum mati.

Razak: Dari Tingkat 14, 99 kaki dari atas tanah - dia tidak sedarkan diri, jadi badannya semestinya lebih berat.

Pornthip: Tiada perbezaan. Secara saintifik, bagaimana boleh berlaku kehilangan berat berdasarkan tahap kesedaran?

Razak juga bertanya kepada Pornthip sama ada dia mempunyai pengalaman terjun dari bangunan. Ini kerana ahli patologi itu dalam keterangannya berkata mayat yang dijumpai itu didadapti lebih jauh daripada bangunan berkenaan berbanding kes lazim membunuh diri dengan melompat.
Satu lawan empat

Malik bangkit dan berkata Razak cuba 'memasukkan perkatan' dalam mulut Pornthip. “Cara dia mengajukan soalan seolah-olah mahu kami sendiri terjun!”
Razak kemudiannya mengulangi soalan kepada Pornthip bahawa pendapatnya adalah berlainan dengan empat orang doktor yang hadir pada bedah siasat kedua.

Razak: Satu lawan empat...

Pornthip:
Awak perlu hormat hakim (koroner) yang akan membuat keputusan.

Razak:
Kita bekerja berdasarkan majoriti.
Selepas Razak, giliran kerajaan yang dilantik oleh kerajaan Tan Hock Chuan memulakan soalannya.

Menjawap soalan Tan, Pornthip memaklumkan beliau tidak sependapat dengan keterangan Dr Shahidan bahawa kecederaan pada tengkuk Teoh adalah konsisten dengan kejatuhan.

Mahkamah koroner selesai menyoal-balas Porntip sebagai saksi pada jam 12.25 tengah hari.
Koroner Azmil Munthapa kemudiannya mengumumkan perbicaraan ditangguhkan sehingga 1 September ini.

Wednesday, August 11, 2010

SALAM RAMADHAN DARI SAYA...

SALAM RAMADHAN DAN SELAMAT BERBUKA PUASA..!

Pihak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan secara rasminya telah mengeluarkan jadual waktu imsak dan berbuka puasa bagi seluruh kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya bagi bulan ramadan tahun 1431H/2010M ini. Jadual  waktu imsak dan berbuka puasa untuk Wilayah Persekutuan Labuan juga turut dikeluarkan oleh pejabat berkenaan.

SALAM RAMADHAN..

Buat teman-teman yang beragama Islam,
Salam Ramadhan! Mari sama-sama kita manfaatkan Ramadhan kali ini.

Oleh kerana bulan Ramadhan adalah bulan yang paling mulia berbanding dengan bulan-bulan yang lain, sudah tentu ia mempunyai kelebihan-kelebihan tersendiri, antaranya:

1) Ramadhan adalah penghulu bagi semua bulan.
- Ini sebagaimana diriwayatkan oleh al-Tabrani di dalam al-Kabir:

"Penghulu bulan ialah bulan Ramadhan dan penghulu hari ialah hari Jumaat."

2. Dibuka pintu syurga
- Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah:

"Apabila datang Ramadhan, dibukakan pintu syurga, ditutup pintu neraka dan syaitan dibelenggu."

3. Diampunkan dosa sehingga Ramadhan yang akan datang.
- Sebagaimana hadis riwayat Muslim yang dilaporkan oleh Abu Hurairah:

"Solat fardhu lima waktu, Jumaat kepada Jumaat dan Ramadhan kepada Ramadhan, akan diampunkan di antara keduanya sekiranya seseorang itu melakukan dosa-dosa besar."

4. Ganjaran daripada Allah
- Hadis ini diriwayatkan Muslim daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda:

"Allah berkata: "Setiap amalan anak Adam adalah baginya melainkan puasa dan Aku yang akan membalasnya. Bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan iaitu kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan berjumpa dengan Tuhannya. Dan perubahan bau mulut orang yang berpuasa adalah lebih wangi di sisi Allah berbanding haruman kasturi."

5. Diampunkan dosa terdahulu
- Hadis ini diriwayatkan oleh sebilangan ahli hadis termasuk Bukhari dan Muslim iaitu:

"Sesiapa yang menghidupkan bulan Ramadhan dalam keadaan beriman dan ikhlas (kepada Allah), diampunkan dosanya (yang terdahulu)."

6. Diturunkan al-Quran
- Nabi Muhammad SAW bersabda: "Diturunkan suhuf Nabi Ibrahim pada awal malam bulan Ramadhan dan diturunkan Taurat pada 6 Ramadhan dan diturunkan Injil pada 13 bulan Ramadhan dan diturunkan Zabur pada 18 Ramadhan dan diturunkan al-Quran pada 14 Ramadhan."
(al-Mu'jam al-Kabir)

7. Bulan keberkatan.
Ubadah bin Samit melaporkan Rasulullah SAW bersabda mengenai hadirnya bulan Ramadhan:

"Datang pada kalian bulan Ramadhan bulan berkat, di dalamnya Allah membuka untuk kalian kebaikan-kebaikan, Allah menurunkan rahmat-Nya, menghapuskan dosa-dosa, mengkabulkan doa, Allah memperhatikan usaha-usaha kalian (berlumba-lumba dalam kebaikan) dan Allah begitu membanggakanmu di hadapan pada malaikat, Allah menampakkan daripada diri kalian kebaikan-kebaikan kerana sesungguhnya diharamkan (sesuatu yang halal di bulan Ramadhan) di dalamnya terdapat rahmat Allah Azzawajalla."

8. Lailatulqadar
- Abu Hurairah melaporkan bahawa Nabi SAW bersabda:

"Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh iman dan mengharapkan reda Allah maka akan diampuni dosa-dosanya yang lalu dan sesiapa yang Qiamullail pada Lailatulqadar dengan penuh iman dan mengharapkan reda Allah mak akan diampuni dosa-dosanya yang lalu."
(Riwayat Bukhari)

9. Dibebaskan daripada api neraka
"Sesungguhnya bagi Allah hamba-hamba yang bebas (daripada api neraka) setiap berbuka, dan demikian itu pada setiap malam."
(Riwayat Ahmad)

(Dipetik daripada buku Adab Ramadhan, Suzana Ismail & Absyar Fuad)

Gambar diambil daripada http://testi.iluvislam.com/

Tuesday, August 3, 2010

Kehebatan budu Kelantan


Oleh ZAID MOHD. NOOR
Sos ikan bilis yang diperam hingga hancur telah lama menjadi kegemaran masyarakat Pantai Timur. Kini makanan tradisional itu mendapat kebanggaan baru – dipeketkan dan dijadikan produk kecantikan.


BUDU sangat sinonim dengan masyarakat Kelantan. Dikatakan, hampir setiap keluarga di negeri itu mempunyai sekurang-kurangnya sebotol budu di dapur mereka.
“Walaupun keluarga saya berketurunan Cina, namun kami selalu makan budu bersama ikan bakar dan ulam-ulaman,” akui Tan Chia Ying, 22.
Beliau yang tinggal di Kampung Panji, Kota Bharu, tidak malu mengaku makan budu sejak kecil. Keluarganya sering menyediakan budu yang diperah limau nipis dan dicampur cili api dan bawang.
“Bukan sesuatu yang ganjil sekiranya melihat masyarakat Cina di Kelantan makan budu. Malah ramai kenalan saya yang berketurunan Cina meminati budu,” katanya yang berkulit putih gebu.
Kartilawati Subari, 40, pula berkata, beliau sentiasa menyimpan bekalan budu di rumahnya untuk dihidangkan kepada keluarga.
Terang beliau, walaupun budu merupakan makanan tradisional namun ia mempunyai banyak khasiat tetapi kurang didedahkan.
“Budu dikatakan menyumbang kepada kecantikan dan awet muda,” ujarnya sambil tersenyum.
Bagi seorang usahawan, Mat Ismail, 57, permintaan budu yang tidak pernah putus itu adalah satu idea perniagaan yang hebat.
Pada tahun 1978, Mat mula membuat budu secara kecil-kecilan di belakang rumahnya di Kampung Geting, Tumpat dengan bermodalkan RM1,500. Beliau menubuhkan syarikat Perusahaan Warisan Ketereh dan menggunakan biji ketereh sebagai tanda niaganya.
BUDU Ketereh yang diusahakan Mat Ismail turut digunakan sebagai agen antipenuaan dalam produk kosmetik.


Selepas 30 tahun, ternyata budu telah memberi banyak kebanggaan kepada beliau.
Ia bukan semata-mata kerana beliau kini tinggal di rumah banglo dan memandu kereta Mercedes Benz.
Sebaliknya, Budu Ketereh beliau menjadi budu pertama negara ini yang diiktiraf sebagai harta intelek. Kejayaan itu dicapai pada tahun 2007.
Berikutan pengiktirafan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (PHIM) itu, Budu Ketereh kini dilindungi mengikut Akta Perlabelan.
Budu Ketereh juga digunakan oleh Institut Standard dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim) untuk menghasilkan produk kosmetik.
Buat masa ini, Mat mempunyai sebuah kilang budu di atas tanah seluas 0.8 hektar dengan dibantu 40 orang pekerja.
SOS budu terhasil selepas enam bulan dibiarkan di dalam tong pemeraman.


Empat daripada lapan anaknya hasil perkahwinan dengan Kamariah Hussein, 45, turut melibatkan diri dalam perniagaan itu.
Menurut Mat, proses membuat budu adalah ringkas iaitu hanya mengunakan ikan bilis, garam dan gula.
Katanya, kerja memproses budu dimulakan dari bulan Jun hingga November kerana ia merupakan musim ikan bilis.
IKAN bilis merupakan ramuan utama budu.


 


 
ADAKAH rahsia kehalusan kulit wanita Kelantan kerana mereka mengambil budu setiap hari?


 
“Dalam tempoh tersebut, kerja-kerja pembersihan dan pengasingan ikan bilis dilakukan oleh pekerja di bahagian pelantar kilang yang dibina di tebing sungai sebelum diangkut ke darat.
“Ikan bilis itu digaul dengan garam dan diperam selama enam bulan di dalam tong gentian kaca atau dalam kolah yang diperbuat daripada simen,” katanya yang kini memiliki 20 buah tong gentian kaca berukuran 1.2 meter tinggi dan 2 meter lebar.
Khabarnya, Mat merancang untuk membeli 200 buah tong lagi.
Penggunaan tong gentian kaca disarankan oleh Sirim bagi meningkatkan kebersihan produk berbanding kolah simen.
Bulan Disember hingga Mei pula adalah masa untuk memasak, menapis dan membotolkan makanan itu.
Selepas budu dimasak, ia ditapis dan disejukkan selama beberapa jam sebelum dibotolkan menggunakan tenaga mesin dan manusia.
Secara purata, kilang Budu Ketereh mampu mengeluarkan 12,000 botol budu sehari untuk memenuhi pasaran di seluruh Malaysia.
Bekalan bilis makin kurang
Bagaimanapun, Mat mengakui kekurangan ikan bilis menyebabkan pengeluaran budunya agak terhad.
Secara purata beliau memerlukan bekalan ikan bilis sebanyak tiga hingga empat tan sebulan, namun bekalan yang diperoleh sejak kebelakangan ini sekitar satu tan sahaja.
“Saya terpaksa membeli ikan bilis dari Sabah untuk memenuhi permintaan.
“Ikan bilis di perairan negara kita semakin berkurangan dan pada masa yang sama banyak kawasan pulau telah diwartakan sebagai Taman Laut Negara,” katanya yang menambah budu yang baik bergantung pada kualiti ikan bilis yang dibekalkan.
Pada awal tahun ini, Mat membeli sebuah mesin pembungkusan baru berharga RM45,000 untuk memasarkan budu dalam bentuk peket.
Budu yang diusahakan oleh Mat Ismail merupakan budu yang pertama di negara ini yang dimodenkan penampilannya hasil bantuan Sirim dan Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC).
Menurut Mat, idea untuk memasarkan budu di dalam peket muncul selepas beliau mendapati kebanyakan produk seperti kopi segera kelihatan lebih moden dan ringkas apabila dipeketkan.
“Selain itu, budu yang disimpan di dalam botol agak sukar dipasarkan ke negara luar kerana ia tidak boleh dibawa dengan kapal terbang.
“Dengan pembungkusan menggunakan teknik lebih canggih, saya berharap Budu Ketereh mampu menembusi pasaran antarabangsa sedikit masa lagi,” katanya.
Mat berkata, mesin pembungkusan baru itu mengeluarkan budu dalam dua peket berbeza iaitu kandungan 20 mililiter dan 80 mililiter. “Dalam sehari mesin itu boleh mengeluarkan lebih 1,000 peket budu,” katanya.
Budu cerahkan kulit dan antipenuaan
RAUT wajah Penyelidik Kanan Alam Sekitar dan Bioproses, Pusat Teknologi Sirim, Hamidah Sidek kelihatan seperti gadis 20-an walaupun umur sebenarnya adalah 40 tahun.
Apabila ditanya rahsia awet mudanya, graduan dalam bidang pertanian dari Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata, beliau pada mulanya menggunakan produk kecantikan terkenal.
“Namun kini saya beralih kepada makan budu setiap kali makan tengah hari dan makan malam,” katanya.
HAMIDAH menunjukkan produk kosmetik dengan jenama BK yang turut mengandungi budu.


Menurut Hamidah, dalam kajian yang dilakukannya selama dua tahun bersama 10 penyelidik Sirim yang lain, makanan tradisional itu mampu mengekalkan wajah muda seseorang.
“Proses penapaian budu menguraikan bahan organik kepada peptida dan asid amino yang menyumbang kepada rasa dan aroma lazat serta mempunyai nilai kosmetik.
“Ia berkesan sebagai agen mencerahkan kulit dan antipenuaan. Semua ini berlaku kerana ekstrak marin daripada budu berupaya melawan radikal bebas, merangsang pertambahan sel kulit dan menggalakkan penghasilan kolagen.
“Ia juga mampu melindungi kulit daripada sinaran matahari,” terang beliau yang telah melakukan kajian makmal dan ujian ke atas 25 individu.
Sebahagian besar individu yang diuji mendapati wajah mereka semakin cerah, bintik jerawat berkurangan dan menyelesaikan masalah kulit berminyak.
Produk kosmetik budu Sirim terbahagi kepada tiga iaitu pembersih dan penyegar, krim kulit dan serum kecantikan kulit. Ia menggunakan jenama BK iaitu Budu Kelantan atau Budu Ketereh.
“Walaupun hanya satu peratus ekstrak budu digunakan sebagai bahan asas kosmetik tetapi ia berkesan kerana komponen itu sudah cukup untuk memberi khasiat kepada pemakainya.
“Malah kami kini mengkaji potensi tempe sebagai produk kosmetik,” katanya.
Hamidah berharap produk BK akan mendapat sambutan daripada pengguna kelak sebaik sahaja Sirim bertemu syarikat yang berminat untuk mengedarkannya. – MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM